Peningkatan kes influenza di seluruh dunia dan Asia — termasuk kematian tragik pelakon Taiwan Barbie Hsu akibat radang paru-paru berkaitan influenza, diikuti pelakon China Liang You Cheng serta kematian seorang kanak-kanak perempuan Malaysia berusia tiga tahun akibat komplikasi selsema — menjadi peringatan nyata bahawa penyakit ini bukan sekadar demam biasa.
Di Malaysia, influenza menyerang antara 5 hingga 15 peratus pendudk setiap tahun, menyumbang kepada ribuan kes serius dan kematian.
Walaupun sering dianggap gangguan bermusim, influenza kekal sebagai ancaman kesihatan awam yang serius, menyebabkan berjuta-juta kes teruk di seluruh dunia setiap tahun.
Dua pakar dari Sunway Medical Centre, Sunway City (SMC) — Dr. Megat Razeem Bin Abdul Razak, Pakar Perubatan, Pakar Perubatan Pernafasan dan Pakar Pulmonologi Intervensi; serta Dr. Noor Zehan Binti Abdul Rahim, Pakar Pediatrik dan Pakar Pernafasan Pediatrik — berkongsi pandangan tentang bagaimana influenza memberi kesan berbeza terhadap orang dewasa dan kanak-kanak, selain menekankan pentingnya langkah pencegahan awal.
Influenza Dalam Kalangan Dewasa: Lebih Serius Daripada Sangkaan
Menurut Dr. Megat, peningkatan kes influenza sering berlaku ketika musim cuti sekolah apabila ramai rakyat Malaysia pulang dari luar negara membawa virus tersebut. “Memandangkan influenza mudah merebak melalui titisan udara dan sentuhan rapat, tempat seperti sekolah, pejabat dan pengangkutan awam menjadi kawasan panas penularan,” jelasnya.
Berbeza dengan selsema biasa, influenza menyerang lebih teruk dengan gejala seperti demam tinggi, sakit tekak, lenguh badan dan keletihan melampau.
“Bagi kebanyakan orang, ia hanya tidak selesa tetapi masih boleh diurus. Namun bagi warga emas, wanita hamil, kanak-kanak kecil dan pesakit kronik seperti asma atau penyakit jantung, ia boleh menjadi serius dengan cepat,” katanya.
Beliau menambah, gejala influenza sering menyerupai jangkitan lain termasuk COVID-19. “Sebab itu ujian pengesahan penting untuk diagnosis tepat,” jelasnya lagi.
Antara tanda bahaya yang perlu diberi perhatian ialah demam melebihi tiga atau empat hari, loya, muntah, cirit-birit, atau dehidrasi. “Ubat antivirus paling berkesan jika dimulakan dalam tempoh 48 jam pertama. Selepas lima hingga tujuh hari, risiko komplikasi seperti radang paru-paru bakteria meningkat,” katanya memberi amaran.
Kanak-kanak Paling Terdedah
Influenza boleh menyerang sesiapa sahaja, namun kanak-kanak — terutamanya bawah lima tahun — tergolong antara kumpulan paling berisiko. Sistem imun mereka yang masih berkembang menjadikan mereka lebih mudah mengalami gejala teruk berbanding orang dewasa.
“Influenza boleh berkembang dengan cepat dalam kalangan kanak-kanak. Rawatan awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang yang boleh menjejaskan fungsi paru-paru mereka,” jelas Dr. Noor Zehan.
Kes influenza yang teruk boleh menyebabkan radang paru-paru, dehidrasi dan dalam kes jarang, jangkitan pada otak atau jantung seperti ensefalitis atau miokarditis. Katanya, gejala seperti demam tinggi, batuk, keletihan dan sakit badan tidak harus dipandang ringan.
“Jika simptom berlarutan lebih 48 jam atau demam tidak reda dengan ubat, ibu bapa perlu segera mendapatkan rawatan. Tanda-tanda seperti sukar bernafas, muntah berterusan dan dehidrasi perlu dirawat segera,” tegasnya.
Vaksinasi Influenza: Langkah Mudah, Impak Besar
Ramai masih salah faham tentang vaksin influenza, walhal ia terbukti selamat dan berkesan. “Vaksin ini disyorkan untuk kanak-kanak seawal usia enam bulan,” jelas Dr. Noor Zehan. “Ia dapat mengurangkan risiko penyakit serius dan kemasukan ke hospital secara signifikan.”
Beliau juga menolak mitos bahawa vaksin menyebabkan jangkitan flu. “Vaksin mengandungi virus yang telah dilemahkan atau dinyahaktif. Simptom ringan selepas vaksinasi adalah tanda sistem imun sedang bertindak balas.”
Selain risiko segera, jangkitan influenza berulang juga boleh memberi kesan jangka panjang. “Keradangan berulang akibat influenza boleh meningkatkan risiko kanak-kanak menghidap asma di masa depan,” katanya.
Dr. Megat pula menyatakan beliau gembira melihat kesedaran masyarakat meningkat, terutamanya selepas berita kematian Barbie Hsu. “Saya juga menyokong inisiatif kerajaan menyediakan vaksin kepada warga emas dan kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
Bagi mereka yang kerap melancong, terutama ke negara bermusim sejuk, vaksin tahunan amat disarankan. “Beritahu doktor tentang rancangan perjalanan anda kerana strain influenza berbeza mengikut rantau. Amalan mencuci tangan, memakai pelitup muka dan mengelak kawasan sesak juga penting,” tambahnya.
Lindungi Anak di Sekolah dan di Rumah
Langkah pencegahan perlu bermula seawal mungkin — di rumah dan di sekolah — kerana kedua-dua tempat ini sering menjadi lokasi utama penularan.
“Sekolah perlu menggalakkan amalan mencuci tangan, memastikan pengudaraan baik, menyediakan makanan berkhasiat dan mengadakan aktiviti luar untuk menguatkan imuniti,” kata Dr. Noor Zehan.
Beliau turut mengingatkan bahawa influenza boleh merebak sebelum gejala muncul, menjadikan pencegahan lebih penting. “Melindungi diri dan anak-anak daripada influenza adalah tanggungjawab bersama. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan,” tegasnya.
Mengurangkan risiko
Kesimpulannya, influenza bukan sekadar selsema bermusim. Ia boleh membawa kepada komplikasi serius yang mengancam nyawa.
Dengan vaksinasi, rawatan awal dan amalan kebersihan diri yang konsisten, risiko penyakit ini boleh dikurangkan dengan ketara — sekaligus melindungi keluarga dan komuniti. - DagangNews.com








