Dolar Goyah: Adakah Sistem Kewangan Dunia Bersedia Untuk Era Baharu? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dolar Goyah: Adakah Sistem Kewangan Dunia Bersedia Untuk Era Baharu?

Oleh NOR TASNIM SYAHERA RASAK

Selama lebih tujuh dekad, dolar Amerika Syarikat menjadi tunjang utama sistem kewangan global. Ia bukan sahaja digunakan dalam perdagangan antarabangsa, malah menjadi rizab utama bank pusat serta penentu harga komoditi seperti minyak dan emas. Kedudukan ini memberikan Amerika Syarikat kelebihan strategik yang luar biasa dalam ekonomi dunia.

 

Namun dominasi dolar kini mula dipersoalkan. Beberapa kuasa ekonomi global mengambil langkah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang ini, menimbulkan persoalan: adakah dunia sedang bergerak ke arah sistem kewangan yang baharu?

 

Peralihan Kuasa Ekonomi Global

Pengaruh ekonomi global kini semakin beralih ke Asia. China muncul sebagai kuasa kedua terbesar dunia dengan jaringan perdagangan luas merentasi Asia, Afrika, dan Amerika Latin.

 

Pertumbuhan pesat serta kapasiti industri yang besar menjadikan China pemain utama dalam perdagangan antarabangsa.

 

Negara ini juga mula mempromosikan yuan dalam perdagangan global. Beberapa perjanjian membolehkan transaksi menggunakan mata wang tempatan tanpa melalui dolar. Walaupun di peringkat awal, langkah ini menunjukkan bahawa dominasi dolar sedang diuji secara berperingkat.

 

Ketegangan perdagangan turut mempercepat perubahan ini. Dasar tarif Amerika Syarikat terhadap pelbagai import, khususnya dari China, telah mencetuskan perang perdagangan yang memberi kesan luas kepada ekonomi global dan sistem perdagangan antarabangsa.

 

Fenomena De-Dollarisation

Perang perdagangan dan ketegangan geopolitik mendorong beberapa negara menilai semula kebergantungan kepada sistem kewangan berpusat pada dolar.

 

Fenomena “de-dollarisation” semakin mendapat perhatian – usaha negara untuk mengurangkan pergantungan terhadap dolar dalam perdagangan, pelaburan, dan rizab kewangan.

 

Perubahan tingkah laku pelabur juga jelas. Dalam ekonomi global yang tidak menentu, emas kembali menjadi aset lindung nilai yang stabil.

 

Bank-bank pusat di pelbagai negara meningkatkan pegangan rizab emas sebagai strategi mengimbangi kebergantungan terhadap mata wang asing.

 

Selain emas, aset digital seperti mata wang kripto menambah dimensi baharu. Teknologi blockchain membuka peluang sistem pembayaran lebih terdesentralisasi dan kurang bergantung kepada institusi kewangan tradisional, walaupun pasaran kripto masih volatile.

 

Transformasi Sistem Kewangan Global

Gabungan faktor ini menunjukkan sistem kewangan dunia sedang mengalami transformasi lebih besar daripada sekadar perubahan nilai mata wang.

 

Kuasa ekonomi kini tersebar kepada pelbagai negara, bukan lagi tertumpu kepada satu blok atau negara sahaja.

 

Bagi Malaysia, sebagai ekonomi terbuka, perubahan ini memberi implikasi penting.

 

Pergerakan sistem kewangan global boleh menjejaskan kestabilan ringgit, aliran pelaburan, dan kos perdagangan. Kepelbagaian strategi kewangan seperti penggunaan mata wang tempatan, memperkukuh rizab negara, dan memanfaatkan teknologi kewangan digital menjadi langkah strategik untuk meningkatkan ketahanan ekonomi.

 

Malaysia dalam Lanskap Ekonomi Multipolar

Malaysia perlu peka terhadap perubahan geopolitik dan ekonomi global. Hubungan perdagangan, kerjasama kewangan, dan penyertaan dalam inisiatif ekonomi serantau menentukan kedudukan negara dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks.

 

Dominasi dolar mungkin tidak berakhir dalam masa terdekat, memandangkan kecairan pasaran dan kepercayaan institusi kewangan Amerika masih tinggi.

 

Namun, tanda-tanda perubahan sistem kewangan global semakin jelas. Dunia bergerak ke arah ekonomi multipolar, di mana pengaruh kewangan terbentuk oleh interaksi pelbagai negara, mata wang, dan teknologi baharu.

 

Persoalan utama bukan lagi sama ada dolar akan kekal dominan, tetapi sejauh mana negara dan pelabur bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan. Memahami trend global kini menjadi kunci daya tahan dan kemakmuran sesebuah negara. - DagangNews.com

 

Nor Tasnim Syahera binti Rasak adalah Pensyarah Jabatan Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA Perak