Saham Sunway masih kekurangan pemangkin untuk penarafan semua, MBSB kekal saranan NEUTRAL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Sunway masih kekurangan pemangkin untuk penarafan semua, MBSB kekal saranan NEUTRAL

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pengembangan berterusan Sunway Berhad di Singapura dilihat terus mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu, namun kekurangan pemangkin dalam tempoh terdekat mengehadkan potensi penarafan semula sahamnya.

 

Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham Sunway Berhad meskipun kumpulan itu terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran hartanah Singapura.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kejayaan terbaharu Sunway memperoleh tapak pembangunan di Bayshore Drive merupakan satu lagi pencapaian penting selepas syarikat berjaya memenangi tender tapak River Valley Green pada Jun 2026.

 

Katanya, kedua-dua projek itu mengukuhkan lagi kehadiran Sunway dalam pasaran hartanah Singapura yang dilihat berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

"Bagi pembangunan bercampur di Bayshore Drive, nilai pembangunan kasar (GDV) indikatif dianggarkan mencecah SGD4 bilion, bersamaan GDV efektif kira-kira RM3.8 bilion.

 

"Projek tersebut dijadualkan dibangunkan dalam tempoh 60 bulan bermula 20 Julai 2026, manakala pelancarannya disasarkan pada awal 2028," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Usaha sama milik 30% Sunway Berhad di Singapura, Gemini Residential Pte. Ltd. dan Gemini Trustee Pte. Ltd., telah dianugerahkan hak membangunkan sebidang tanah pegangan pajakan selama 99 tahun di Bayshore Drive oleh Urban Redevelopment Authority (URA) pada nilai SGD2.1 bilion (kira-kira RM6.74 bilion).

 

Bidaan Tertinggi

Konsortium berkenaan mengemukakan bidaan tertinggi sebanyak SGD2.1 bilion atau SGD1,323 bagi setiap kaki persegi nisbah plot, iaitu 5.8% lebih tinggi berbanding bidaan kedua tertinggi.

 

MBSB Research berkata, dari sudut kedudukan kewangan, pihaknya menganggarkan nisbah gearan bersih Sunway akan meningkat kepada 0.41 kali berbanding 0.32 kali pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), dengan andaian kos pemerolehan tanah dibiayai menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

 

Sekiranya mengambil kira pemerolehan tapak River Valley Green sebelum ini, nisbah gearan bersih kumpulan dijangka meningkat lagi kepada 0.47 kali.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana sumbangan keuntungan daripada projek Bayshore Drive hanya dijangka mula direkodkan pada tahun kewangan 2028 (FY28).

 

Pada masa sama, harga sasaran (TP) saham Sunway disemak naik kepada RM5.36 berbanding RM5.28 sebelum ini selepas mengambil kira sumbangan Nilai Aset Bersih Dinilai Semula (RNAV) daripada pembangunan Bayshore Drive ke dalam penilaian Sum-of-Parts (SOP).

 

Namun begitu, firma penyelidikan berpendapat pengembangan Sunway di Singapura lebih bersifat pemacu pertumbuhan jangka panjang, manakala ketiadaan pemangkin yang signifikan dalam jangka pendek menyebabkan saranan NEUTRAL terhadap saham syarikat dikekalkan. - DagangNews.com