Belanjawan 2026 memperlihatkan iltizam kerajaan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai nadi utama Ekonomi MADANI.
Dengan suntikan dana digital, ESG dan pembiayaan bersasar, mampukah PKS Malaysia menyesuaikan diri dengan landskap baharu pasca-globalisasi?
PKS terus menjadi nadi ekonomi negara. Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi cerminan bagaimana Malaysia ingin membina ekonomi yang lebih berdaya tahan, inovatif, dan beretika di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Persoalannya, mampukah PKS menyesuaikan diri dengan perubahan ini?
PKS kekal menjadi nadi utama kepada ekonomi Malaysia
Berdasarkan laporan SME Corp Malaysia, sektor ini merangkumi lebih 97 peratus daripada keseluruhan entiti perniagaan, menyumbang 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan hampir 48 peratus daripada jumlah guna tenaga negara.
Dalam konteks Belanjawan 2026 yang baru diumumkan pada 10 Oktober 2025, perhatian terhadap sektor ini amat signifikan kerana ia menjadi kayu ukur kepada keberkesanan dasar fiskal dalam menyuburkan ekonomi yang inklusif di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Tahun 2025 menjadi fasa peralihan yang mencabar bagi kebanyakan PKS. Ketidaktentuan global, kelembapan eksport, dan kenaikan kos bahan mentah telah menjejaskan margin keuntungan perniagaan kecil.
Menurut Laporan Ekonomi Malaysia 2025, hampir 62 peratus PKS masih bergelut dengan kos operasi tinggi, manakala hanya satu daripada lima PKS yang benar-benar menggunakan teknologi digital sepenuhnya dalam operasi harian mereka.
Tambahan pula, kadar gaji minimum yang meningkat, kenaikan tarif elektrik bersubsidi bersasar, serta ketidakseimbangan kadar pertukaran ringgit memberi tekanan kepada aliran tunai.
Dalam landskap yang rumit ini, Belanjawan 2026 dilihat sebagai ruang pemulihan, bukan sekadar menstabilkan, tetapi merangka semula hala tuju ekonomi PKS ke arah daya tahan dan daya cipta.
Belanjawan 2026 memperkenalkan beberapa langkah penting yang menyentuh terus kepentingan sektor PKS. Antaranya:
Perluasan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dengan jaminan kerajaan sebanyak RM30 bilion, bagi membantu syarikat kecil mengakses pinjaman tanpa cagaran tinggi.
Dana Transformasi Digital PKS berjumlah RM1.5 bilion, disalurkan melalui Bank Negara Malaysia dan SME Bank untuk mempercepat penggunaan automasi, AI dan perkhidmatan awan.
Peningkatan peruntukan TEKUN Nasional kepada RM500 juta, memberi tumpuan kepada usahawan mikro luar bandar dan wanita.
Insentif cukai dua kali potongan bagi kos latihan digital dan amalan ESG (Alam Sekitar, Sosial, Tadbir Urus) untuk PKS.
Langkah-langkah ini bukan sahaja bertujuan menyokong pemulihan, tetapi membentuk ekosistem keusahawanan baharu yang lebih berdaya cipta, lestari dan tangkas.
Falsafah MADANI
Belanjawan ini dilihat sebagai kesinambungan kepada falsafah Ekonomi MADANI, yang berasaskan enam prinsip utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan.
Dalam konteks PKS, nilai-nilai ini diterjemahkan dalam beberapa aspek penting:
Kemampanan: dorongan kepada PKS untuk beralih kepada pengeluaran rendah karbon dan tenaga hijau, termasuk potongan cukai bagi pemasangan panel solar dan penggunaan bahan mesra alam.
Daya cipta: penekanan terhadap inovasi dan digitalisasi, melalui dana geran untuk startup teknologi dan program inovasi bersama universiti awam.
Kesejahteraan: memastikan peluang ekonomi diagihkan secara lebih saksama, termasuk latihan semula tenaga kerja di bawah program MyDigitalSkill dan kemudahan inkubator di kawasan luar bandar.
Pendekatan ini memperlihatkan perubahan paradigma daripada sekadar menyalurkan bantuan kewangan kepada membina ekosistem keusahawanan yang matang dan beretika.
Namun, sepertimana belanjawan sebelumnya, cabaran terbesar ialah keberkesanan pelaksanaan dasar. Banyak skim bantuan terdahulu tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana isu birokrasi, kekangan maklumat, dan tahap literasi kewangan yang rendah.
Ramai usahawan kecil tidak tahu wujudnya program pembiayaan atau tidak mempunyai keupayaan menyediakan dokumentasi permohonan.
Turun Padang
Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan pendekatan “turun ke lapangan” menjadi norma baharu, dengan agensi seperti SME Corp dan TEKUN berperanan sebagai fasilitator proaktif, bukan sekadar pentadbir dana.
Tambahan pula, pendekatan subsidi bersasar terhadap bahan api dan tenaga yang diperluas dalam Belanjawan 2026 boleh memberi kesan langsung kepada kos operasi PKS, khususnya dalam sektor logistik, makanan, dan peruncitan.
Tanpa intervensi harga rantaian atau subsidi produktiviti, ramai pemain kecil mungkin terhimpit antara niat reformasi fiskal dan realiti kos perniagaan yang meningkat.
Satu daripada tonggak terpenting Belanjawan 2026 ialah transformasi digital dan kelestarian hijau. PKS yang tidak cepat menyesuaikan diri akan ketinggalan dalam rantaian nilai baharu ini.
Data daripada Laporan Pendigitalan PKS 2025 menunjukkan hanya 34 peratus PKS mempunyai laman web profesional, dan kurang 20 peratus menggunakan data analitik dalam operasi harian.
Maka, langkah kerajaan memperkenalkan Dana Transformasi Digital PKS adalah tepat masanya. Namun, keberkesanan bergantung kepada pendekatan latihan yang praktikal, bukan sekadar teori. Program bimbingan digital perlu disertai case study industri sebenar, mentor profesional, dan pengukuran prestasi agar PKS dapat melihat kesan jelas terhadap produktiviti.
Dalam aspek kelestarian, pengenalan insentif ESG membuka ruang besar kepada PKS tempatan menyertai pasaran global.
Pematuhan ESG
Banyak syarikat multinasional kini hanya berurus niaga dengan rakan kongsi yang mempunyai pensijilan ESG minimum. Jika PKS Malaysia mengambil peluang ini, mereka bukan sahaja memenuhi syarat pasaran antarabangsa, tetapi turut memperkukuh reputasi perniagaan beretika.
Untuk memastikan Belanjawan 2026 benar-benar memberi kesan jangka panjang kepada PKS, tiga langkah strategik wajar dipertimbangkan:
Penubuhan Pusat Data Nasional PKS – bagi mengumpul maklumat bersepadu tentang keupayaan, sektor, dan rantaian bekalan PKS, seterusnya memudahkan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy).
Pengukuhan kerjasama awam-swasta – melalui program mentor industri, rantaian pasaran digital, dan perolehan kerajaan yang lebih terbuka kepada PKS tempatan.
Pendidikan keusahawanan berterusan – dengan pendekatan mikro-pembelajaran (microlearning) yang boleh diakses melalui platform digital, bagi meningkatkan literasi kewangan dan digital di semua peringkat.
Langkah-langkah ini selaras dengan semangat MADANI yang menekankan ihsan dan daya cipta, iaitu membina masyarakat yang berilmu dan berdaya tahan, bukan sekadar bergantung pada bantuan sementara.
Belanjawan 2026 menandakan bab baharu dalam hubungan antara kerajaan dan sektor PKS. Ia bukan lagi sekadar pelan pemulihan ekonomi pasca-pandemik, tetapi sebuah manifesto fiskal untuk masa depan ekonomi MADANI yang menyeimbangkan kemakmuran dan keadilan sosial.
Sinergi Pelaksanaan
Namun, kejayaan sebenar bergantung pada sinergi pelaksanaan: kecekapan agensi, ketelusan peruntukan, serta kesediaan PKS sendiri untuk berubah.
Jika semua pihak mampu menzahirkan semangat MADANI yang berfikiran kreatif, bertindak beretika, dan berani berinovasi maka, Belanjawan 2026 bukan sekadar “suntikan baharu”, tetapi peta jalan ke arah ekonomi rakyat yang matang, inklusif dan berdaya tahan.
Dalam dunia pasca-globalisasi yang semakin tidak menentu, PKS Malaysia perlu bukan sahaja bertahan, tetapi juga berkembang dengan nilai. Ini kerana dalam setiap nilai MADANI tersimpan intipati sebenar pembangunan: manusia yang sejahtera, ekonomi yang adil, dan masa depan yang lestari. - DagangNews.com
Nor Tasnim Syahera binti Rasak merupakan Pensyarah Jabatan Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Perak








