Sekolah berasrama tempat yang sepatutnya menjadi simbol disiplin, kesepaduan dan pembentukan karakter kini bergelut dengan bayangan “budaya senior-junior toksik.”
Rantaian buli yang membarah bukan sekadar cerita lalu; ia kembali muncul dengan insiden yang menyayat hati dan mendesak perubahan radikal.
Kes terbaru yang mengejutkan ialah kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah Sekolah Menengah Agama berasrama di Sabah pada 16 Julai 2025. Beliau ditemukan terjatuh dari tingkat tiga asrama, dengan kecederaan parah dan tiada saksi; namun ramai percaya ada unsur buli yang menjadi pemangkin tragedi tersebut.

Aktiviti buli asrama tidak boleh lagi dianggap sebagai “jenaka,” tetapi ancaman serius kepada kesejahteraan fizikal dan mental pelajar.
Seiring itu, laporan pada pertengahan Mac 2025 mengesahkan bahawa tujuh pelajar Tingkatan Dua dan Tiga sebuah SBP di Teluk Intan menjadi mangsa buli oleh senior mereka; mereka telah dipaksa melakukan 200 tekan tubi oleh pelajar Tingkatan Lima, di surau sekolah tindakan yang disiasat polis mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Tidak cukup dengan itu, di daerah Bera, seorang pelajar juga telah menjadi mangsa buli ketika sesi “roll call” yang diambil alih pelajar senior, yang memaksa mangsa menari tarian viral “wadidaw” dan tahan leher.
Masyarakat dan mantan pelajar juga mula bersuara. Seorang bekas pelajar berkongsi pengalaman traumatik dipaksa membasuh baju atau lakukan kerja-kerja pelajaran senior “supaya tak jadi mangsa,” dan trauma itu masih menghantuinya hingga kini.
Budaya hierarki seperti ini sebenarnya tidak wajar kerana ia berlaku secara berulang dan menjadi sebahagian daripada sistem di asrama.
Punca Utama “Senior-Junior Toksik”
- Budaya Hierarki Asrama
Sistem sosial di asrama sering meletakkan senior di posisi “berkuasa” berbanding junior. Keadaan ini mendorong tindakan buli untuk menunjukkan dominasi, seperti memaksa junior melakukan tekan tubi atau kerja berat.Akhirnya, sistem hierarki ini akhirnya dianggap norma, walaupun ia sebenarnya tidak wajar.
- Kelemahan Warden & Pengawasan
Kebanyakan warden merupakan guru yang sudah terbeban dengan tugas mengajar dan mengurus asrama. Mereka kekurangan masa, tenaga, atau latihan untuk memantau sepenuhnya aktiviti pelajar, khususnya pada waktu malam. Pelantikan warden profesional sepenuh masa mungkin dapat menangani isu ini dengan lebih berkesan.
- Lumpuhnya Sistem Aduan & Tindakan
Banyak kes buli di asrama lambat diambil tindakan kerana proses aduan yang tidak efektif atau pihak sekolah enggan menyiasat secara menyeluruh. Astro Awani melaporkan bahawa kelewatan atau keengganan bertindak ini menyebabkan budaya buli terus berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.
Siapa Perlu Bertanggungjawab?
- Kementerian Pendidikan (KPM)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah tegas membanteras buli dengan menjalankan audit keselamatan di semua asrama dalam tempoh tiga bulan, melaksanakan inisiatif Bangkit Bermaruah bagi pelajar yang digantung, serta menegaskan tindakan tanpa kompromi seperti penggantungan atau pembuangan sekolah terhadap pelaku.
- Pengurusan Sekolah & Warden
Pengurusan sekolah dan warden perlu menyediakan sistem pengawasan yang berkesan dan inklusif, disokong dengan latihan berterusan serta sokongan profesional. Selain itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs), melalui presidennya Datuk Adnan Mat, mencadangkan supaya jawatan warden asrama dilantik secara khusus dan professional, bukan hanya diberikan sebagai tugas tambahan kepada guru pelaksana demi memastikan keselamatan dan kecekapan penjagaan pelajar dapat ditingkatkan.
- Guru Bimbingan & Kaunseling
Guru Bimbingan & Kaunseling harus diberikan peranan lebih besar dalam mengenal pasti dan merawat trauma; bukan difokus hanya kepada akademik.
- Ibu Bapa & Komuniti
Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan tingkah laku anak dan segera membuat aduan, manakala komuniti seperti PIBG dan NGO boleh menyediakan saluran aduan selamat serta memantau budaya sekolah agar bebas buli.

Langkah Praktikal untuk Memutuskan Rantaian Toksik
- Audit Berkala & Infrastruktur Selamat
Audit SOP keselamatan perlu dijalankan secara berkala meliputi fizikal (CCTV, ruang terbuka) dan sosial (hotspot buli)
- Saluran Aduan Mesra & Sulit
Sistem Lapor Buli perlu mudah diakses dan tertutup identitinya dan percaya bahawa aduan dibalas dalam masa ditetapkan.
- Latihan “Active Bystander” & Pendidikan Emosi
Latih pelajar dan warden untuk bertindak atau melaporkan secara selamat apabila melihat insiden buli berlaku.
- Intervensi Restoratif & Kaunseling Trauma
Pelaku perlu dibimbing untuk memperbaiki sikap mereka, bukan sekadar dikenakan hukuman.
- Kempen “Sifar Buli” & Literasi Keselamatan
Kempen pendidikan dan kesedaran perlu berterusan untuk mengubah budaya sekolah supaya tidak membisu terhadap buli.
“Asrama Tanpa Trauma: Putuskan Rantaian Senior-Junior Toksik” bukanlah sekadar slogan. Ia ikrar untuk menghapus budaya lama dan mencipta semula ruang asrama yang menyokong, bukan menakutkan.
Audit keselamatan, latihan profesional untuk warden, saluran aduan selamat, dan sokongan psikososial adalah kunci membentuk persekitaran yang lebih manusiawi dan selamat.
Sekiranya semua pihak seperti KPM, sekolah, ibu bapa dan komuniti melaksanakan tanggungjawab masing-masing, baharulah asrama boleh menjadi tempat pelajar membesar dengan penuh keyakinan, bukan trauma. - DagangNews.com








