Antara Keluli dan Maruah: Pantai Timur dalam bayangan kapitalisme baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Antara Keluli dan Maruah: Pantai Timur dalam bayangan kapitalisme baharu

Ilustrasi ini dijana secara AI sebagai gambar hiasan - DagangNews.com
Oleh Muhammad Yunus Zakariah

Kami di sini, di Balok dan Bukit Kuang, tidak perlukan peta untuk tahu di mana Malaysia berakhir dan di mana Tanah Untung bermula.

 

Kami hanya perlu melihat Tembok Konkrit yang sempadan kian berkembang dan menjulang tinggi, mengepung konklaf MCKIP (Malaysia-China Kuantan Industrial Park) dan Eastern Steel – sebuah kota besi yang didirikan atas janji gemilang.

 

Mereka menjanjikan lonjakan ekonomi Pantai Timur. Lima tahun kemudian, apa yang kami peroleh? Bau masam asap dan abu yang dihembus oleh cerobong raksasa. Bukan bau kemajuan; bau maruah yang dijual murah.

 

 

yunus
             Muhammad Yunus Zakariah

 


Perlumbaan Melarat

Siapa sebenarnya yang berunding bagi pihak kami? Pentadbir negeri, dengan kepala yang sarat dengan visi kosong, menyambut setiap syiling asing bagai penemu harta karun. Mereka menyertai “Perlumbaan Melarat” (Race to the Bottom) — bertarung sesama sendiri, bukan untuk mendapatkan yang terbaik, tetapi untuk menjadi yang paling bodoh.

 

Mereka bersaing dengan negeri lain untuk menawarkan pengecualian cukai terbanyak, pemotongan red-tape terpantas, dan yang paling jijik, pengabaian peraturan alam sekitar paling cekap.

 

Fokus mereka? Angka. Berapa bilion masuk, berapa ribu kononnya kerja diwujudkan. Mereka peduli apa dengan syarat bukan-fiskal? Program perantisan lokal? Pusat kesihatan komuniti?

 

Lupakan. Itu semua dianggap halangan birokrasi yang boleh menjejaskan deal. Jual tanah murah, tutup mata pada kesan sosial — itu resipi kegilaan mereka.

 

Masuklah ke kawasan industri itu sendiri, dan kau akan faham maknanya penjajahan ekonomi baharu. MCKIP dan Eastern Steel bukan sekadar kilang; ia adalah enklaf yang serba lengkap. Perumahan sendiri, komuniti sendiri, pasar raya sendiri dan — barangkali — pusat hiburannya sendiri.

 

Ini bukan kebetulan; ini adalah strategi syarikat kapitalis tulen yang hanya mahukan untung.

 

Tembok Pemisah

Pembinaan enklaf ekonomi jelas menunjukkan ketiadaan minat untuk membina jambatan yang menghubungkan mereka dengan komuniti; mereka membina Tembok Pemisah yang bertujuan untuk memutuskan rantaian nilai ekonomi.

 

Mereka melahirkan Hantu Keluli — sebuah entiti industri yang secara fizikal wujud di tanah kita, tetapi secara sosial, terasing sepenuhnya. Pekerja asing duduk, makan, dan berbelanja di dalam tembok, menjadikan “kesan pengganda ekonomi” yang dijanjikan itu hanya dongeng basi.

 

Balok dan Bukit Kuang menyumbang air, tanah, dan daya tampung alam sekitar. Balasannya? Kami terima sisa buangan dan perasaan seorang yang terpinggir.

 

Perasaan terpinggir itu membiak menjadi kebencian senyap.


 

parafrasa
Pemandangan dari puncak Bukit Penjajat, Kemaman

 


Apabila ada warga keluli yang melangkah keluar dari pintu pagar, melintasi jalan raya kami untuk ke Chukai atau Kuantan, mereka dilihat membawa aura keangkuhan yang dingin. Tiada salam, tiada senyuman. Hanya pandangan kosong, seolah-olah kami adalah hantu di rumah sendiri, atau kotoran di kaki jalan mereka.

 

Ketegangan itu terasa setiap kali kami beratur di stesen minyak yang sama, atau berpapasan di pasar malam. Mereka berada di sini, tetapi mereka bukan milik sini.

 

Jarak sosial itu bukan hanya diukur dengan tembok konkrit; ia diukur dengan kedangkalan interaksi dan kecurigaan yang membeku di mata kami. Ini adalah harga yang kami bayar untuk “pembangunan” — kami mendapat kilang besar, tetapi kami kehilangan maruah sosial dan keupayaan untuk berasa selesa di kampung halaman sendiri.


 

parafrasa

 


Tembok Keluli

Tembok Keluli itu adalah peringatan kepada anak-anak Balok dan Bukit Kuang: pelaburan asing bukan untuk kau. Ia adalah untuk pemegang saham yang tinggal di seberang laut, dan untuk kroni ibu kota yang sibuk mengira komisyen.

 

Jika pentadbir kita mahu melihat contoh visi sebenar, lihat sahaja syarikat seperti Petronas dan pendahulu mereka, Perwaja, yang meninggalkan sesuatu yang jauh lebih berharga daripada dividen segera.

 

Walaupun Perwaja akhirnya tumbang — sebuah tragedi ekonomi — masyarakat tempatan masih bercerita tentang peluang kerjaya, kemudahan perumahan, dan anak tempatan yang menjadi jurutera hasil daripada pembangunan sosial mereka. Kisah yang dikenang dan disebut-sebut adalah simpati sosial yang kekal bergenerasi.

 

Lihatlah penerimaan komuniti yang dinikmati pekerja Petronas yang berseragam coverall kuning. Mereka membina politeknik, kemudahan sukan, dan mereka hidup bersama masyarakat, bukan terpisah daripadanya. Anak-anak mereka bersekolah di sekolah yang sama dengan anak-anak petani dan nelayan di Kemaman.

 

Kemudahan pendidikan yang mereka bina, yang dibiayai oleh kekayaan petroleum negeri, dibuka sepenuhnya kepada anak-anak komuniti sekeliling, bukan terhad di dalam tembok berkunci. Mereka bersolat di masjid yang sama, membeli-belah di pasar basah yang sama, dan hidup dengan adat resam yang sama. Mereka adalah sebahagian daripada komuniti itu, bukan penjajah sementara.

 

Eastern Steel dan MCKIP mengajar kita bahawa lesen sosial untuk beroperasi adalah satu pembohongan. Tanpa mandat keras daripada pimpinan yang berintegriti, pelaburan langsung asing (FDI) akan sentiasa memilih jalan yang paling menguntungkan. - DagangNews.com

 

Muhammad Yunus Zakariah adalah Eksekutif Pemasaran berpengalaman selama 20 tahun. Terlibat dan bekerjasama dalam projek seperti APEC 2020, Selangor Data Exchange, dan juga mewakili organisasi sukan seperti Malaysian Football League, Johor Darul Ta’zim FC, Sporting Clube de Portugal dan banyak lagi. Kini bertugas sebagai Konsultan Komunikasi dan Pemasaran.

 

Penafian:
Artikel ini ditulis atas pandangan peribadi penulis yang tidak mewakili pendirian rasmi mana-mana organisasi, institusi kewangan atau agensi kerajaan, atau DagangNews.com yang menyiarkannya atas dasar hak kebebasan bersuara.