Akses baharu buka peluang besar kepada PMKS di negeri-negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Akses baharu buka peluang besar kepada PMKS di negeri-negeri

Oleh Khairul Annuar, Ketua Pegawai Operasi, Yusri Maju Sdn. Bhd.

Projek infrastruktur berskala besar lazimnya dinilai berdasarkan kelajuan pelaksanaan, saiz pembinaan, dan tahap penyiapan.

 

Namun, impak sebenar bukan hanya terletak pada jumlah kilometer yang dibina atau masa perjalanan yang dijimatkan, sebaliknya pada bagaimana projek itu membentuk semula peluang ekonomi.

 

Satu contoh ialah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini melepasi 91% tahap penyiapan dan hampir memulakan operasi. Laluan sepanjang hampir 665 kilometer ini menghubungkan 20 stesen dari Pelabuhan Klang ke Kota Bharu dan bertujuan memendekkan perjalanan rentas Semenanjung kepada hampir empat jam, sekaligus merapatkan jurang fizikal antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

 

Dengan meningkatkan akses antara Kota Bharu dan Pelabuhan Klang, projek ini mewujudkan koridor logistik yang lebih langsung dan kukuh di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Walaupun penjimatan masa sering menjadi tumpuan, kepentingan sebenar terletak pada pengukuhan integrasi timur–barat bagi perniagaan di sepanjang koridor ini.

 

Di Malaysia, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merangkumi 97% daripada keseluruhan perniagaan, menyumbang hampir 38% kepada KDNK dan menggaji hampir separuh tenaga kerja negara. Justeru, daya saing sektor ini menentukan sama ada pertumbuhan ekonomi tertumpu di kawasan tertentu atau dapat dikongsi secara lebih meluas.

 

Dalam konteks ini, akses memainkan peranan yang amat penting.

 

Apabila Jarak Mempengaruhi Keputusan

Bagi banyak firma di luar pusat komersial utama, faktor jarak terus mempengaruhi realiti perniagaan. Kos pengangkutan mengecilkan margin keuntungan, ketidaktentuan penghantaran merumitkan penjadualan, dan tempoh menunggu yang panjang menyukarkan komitmen terhadap kontrak berskala besar.

 

Walaupun semua ini merupakan pertimbangan operasi harian, kesannya bersifat strategik. Sesebuah perniagaan mungkin teragak-agak untuk meneroka peluang di luar kawasan geografi terdekat bukan kerana kekurangan permintaan, tetapi disebabkan risiko logistik yang terlalu tinggi.

 

Sebagai kontraktor Bumiputera berpangkalan di Kelantan, pengalaman beroperasi dalam persekitaran infrastruktur berskala besar menunjukkan bagaimana akses yang lebih baik dapat mengubah hasil perniagaan.

 

Pengangkutan kargo yang lebih kukuh mengurangkan geseran dalam rantaian bekalan serta membolehkan mobilisasi dan penyelarasan dilaksanakan secara lebih teratur dan boleh dijangka. Malah, penyertaan dalam rantaian bekalan berskala besar menjadi lebih praktikal.

 

ECRL mula mengubah persamaan ini. Pergerakan kargo yang lebih cekap dan boleh dipercayai mengurangkan ketidaktentuan. Apabila garis masa penghantaran menjadi lebih jelas dan pergerakan lebih konsisten, perancangan bertambah baik. Selain itu, aliran tunai lebih mudah diurus dan risiko dapat dikawal dengan lebih baik.

 

Bagi subkontraktor atau pembekal serantau, perubahan ini boleh menjadi faktor penentu. Peluang yang sebelum ini kelihatan mencabar kini menjadi lebih berdaya maju secara komersial.

 

Dalam jangka panjang, akses yang semakin baik akan memperkukuh skala operasi dan kedudukan kewangan. Walaupun syarikat seperti kami mendapat manfaat daripada integrasi yang diperluas ini, kesannya turut dirasai oleh subkontraktor, pembekal, dan penyedia perkhidmatan di sepanjang koridor tersebut.

 

Keadaan ini amat relevan khususnya bagi negeri seperti Kelantan, yang mempunyai banyak firma berkeupayaan tinggi — daripada pengeluar makanan dan usahawan agro hingga jenama pengguna yang berkembang di peringkat nasional — namun sebelum ini terikat oleh kekangan logistik.

 

Integrasi yang lebih kukuh tidak menjamin kejayaan, tetapi ia memperluas medan persaingan dan menjadikan penyertaan dalam pasaran nasional lebih realistik dari sudut komersial.

 

Akses Perlu Disokong Keupayaan

Akses yang lebih baik boleh merendahkan halangan kemasukan, tetapi ia tidak mengurangkan tuntutan bagi projek berskala besar. Ekosistem infrastruktur beroperasi dengan piawaian keselamatan yang ketat, keperluan pematuhan yang tegas, serta kawalan kewangan yang berdisiplin.

 

Ramai PMKS yang ingin berkembang masih berdepan kekangan lazim seperti keterbatasan modal, jurang tenaga kerja, dan sistem operasi yang kurang memadai.

 

Apabila projek bertambah kompleks, pembangunan kemahiran menjadi faktor kritikal. Tenaga kerja bertauliah, pengurusan projek yang tersusun, serta tadbir urus kewangan yang mantap bukan lagi nilai tambah, tetapi asas kepada penyertaan ekonomi secara mampan.

 

Firma yang melabur lebih awal dalam aspek ini bukan sahaja berpeluang menembusi rantaian bekalan yang lebih besar, malah berkembang di dalamnya. Pendedahan kepada persekitaran yang lebih kompleks lazimnya mempercepat proses profesionalisasi — operasi menjadi lebih formal, piawaian meningkat, dan dalam jangka panjang perniagaan mampu beralih kepada peranan yang lebih khusus serta bernilai tinggi.

 

Akses membuka peluang. Keupayaan menentukan kemajuan.

 

Impak Ekonomi yang Lebih Luas

Nilai jangka panjang ECRL melangkaui aktiviti pembinaan atau jumlah penumpang. Integrasi timur–barat yang lebih kukuh meningkatkan akses pasaran bagi pengilang, pengusaha agribisnes, penyedia logistik, dan firma perkhidmatan di sepanjang koridor tersebut.

 

Apabila lokasi tidak lagi menjadi kekangan struktur, persaingan beralih kepada kecekapan dan kualiti. Bagi pelabur dan pemimpin korporat, ini bermakna asas rakan niaga domestik yang lebih luas dan berkeupayaan serta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

 

Aktiviti ekonomi menjadi lebih tersebar dan seimbang secara serantau. Pelaburan infrastruktur memang besar, tetapi pulangan paling bermakna terletak pada kekuatan perusahaan yang berkembang seiring dengannya.

 

Menilai Kejayaan Secara Berbeza

ECRL akan mengangkut penumpang dan barangan dengan lebih cekap merentasi Malaysia.

 

Namun, legasi yang lebih berkekalan terserlah pada petunjuk lebih halus — firma yang menembusi pasaran baharu, pekerja yang meningkatkan kemahiran, dan perniagaan serantau yang bersaing secara lebih setara.

 

Apabila akses mentakrifkan semula peluang untuk bersaing, ia turut mentakrifkan semula peluang untuk berkembang. Itulah ukuran kejayaan yang sebenar. - DagangNews.com