KUALA LUMPUR 19 Jun - Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengumumkan pelantikan presidennya yang baharu, Oon Kim Hung dari Oon Corp Resources bagi menggantikan Dr Supramaniam Shanmugam, bagi penggal selama tiga tahun bermula Jun 2023 hingga April 2026.
MARGMA dalam kenyataan hari ini berkata, selain itu, Hue Kon Fah (Top Glove) akan terus berkhidmat sebagai naib presiden persatuan tersebut.
Katanya, menyertai pasukan kepimpinan sekarang adalah Jennifer Yeo (Koon Seng) sebagai bendahari, Teh Weng Joo (Hartalega) sebagai setiausaha kehormat dan Felix Darrel (Ansell) sebagai penolong setiausaha kehormat.
"Jawatankuasa ini terdiri daripada pemimpin industri dan pakar yang akan menyumbang pengetahuan mereka untuk memantapkan lagi usaha persatuan dalam mempromosi dan menyokong sektor sarung tangan getah.
"Individu yang berpengalaman ini membawa banyak pengetahuan industri dan kepimpinan kepada jawatan masing-masing dan MARGMA yakin dengan kemampuan mereka untuk memacu persatuan ke hadapan," katanya.
Menurut kenyataan itu, kemasukan mereka dalam jawatankuasa itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk memupuk kerjasama dan keterangkuman dalam industri.
Katanya, ahli jawatankuasa yang baru dilantik bersedia untuk menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai bidang, termasuk pembuatan, inovasi, peraturan industri dan trend pasaran global.
"Usaha kolektif mereka akan menyokong pembangunan dan pertumbuhan Industri Sarung Tangan Getah Malaysia (RGI) , dan untuk memastikan industri itu kekal berdaya saing dan mampan.
"MARGMA ingin merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa yang akan keluar untuk dedikasi dan sumbangan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
"Usaha mereka telah memainkan peranan penting dalam membentuk industri dan mengukuhkan kedudukan MARGMA sebagai persatuan industri utama," katanya.
Katanya, jawatankuasa baharu itu juga komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan bahawa RGI di Malaysia kekal sebagai kuasa untuk amalan baik industri dalam inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com








