MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu bakal rancakkan pembangunan kawasan lama - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu bakal rancakkan pembangunan kawasan lama - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pembukaan Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan lama atau belum dibangunkan sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, melalui pembukaan laluan tersebut, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

 

"Lima tahun dahulu, MRT Laluan Kajang telah dibuka untuk menghubungkan kawasan Sungai Buloh ke Kajang, Selangor dan projek rangkaian rel berkaitan kini semakin diperluas dan dimanfaatkan ramai penduduk Lembah Klang.

 

"Kemudahan laluan MRT Putrajaya ini, misalnya akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

 

"Rakyat juga akan lebih mudah bergerak dan berulang-alik ke tempat kerja, bersosial dan mengakses kemudahan awam yang lain," katanya ketika Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang. 

 

Katanya, ia diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur.

 

 

pm

 

 

Dalam pada itu, beliau berkata, sektor pengangkutan merupakan pemacu pertumbuhan negara dan penyediaan sistem pengangkutan yang berkualiti amat penting bagi mencapai aspirasi negara maju.

 

Beliau berkata, negara maju bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah turut memiliki perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan yang efisien bagi meningkatkan gaya hidup rakyatnya.

 

"Selaras dengan teras Dasar Pengangkutan Negara, sememangnya menjadi hasrat utama kerajaan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang selamat, cekap, mampan dan boleh dipercayai, bagi Keluarga Malaysia.

 

"Penyediaan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan supaya Keluarga Malaysia menikmati akses lebih baik kepada perkhidmatan dan ketersambungan yang lancar seperti dirancang dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)," katanya.

 

Tambahnya, ia juga merupakan antara agenda utama yang dilaksanakan kerajaan bagi memulihkan dan menstabilkan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan hidup Keluarga Malaysia. - DagangNews.com