MITI ambil 68 tindakan antilambakan, lindungi PKS daripada import murah termasuk dari China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI ambil 68 tindakan antilambakan, lindungi PKS daripada import murah termasuk dari China

MITI akan terus lindungi PKS Malaysia daripada lambakan produk import. -Gambar hiasan NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menguatkuasakan 68 tindakan antilambakan dan tiga tindakan pelindung terhadap barangan dimport yang dilambak atau diberi subsidi yang membawa kemudaratan ke atas industri tempatan sejak 1993. 

 

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata, sembilan daripada tindakan antilambakan yang diambil dari tahun 2015 hingga 2023 ialah terhadap pengeksport negara China bagi melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil.

 

Kata beliau, kerajaan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dilindungi daripada kesan perdagangan yang tidak adil berikutan kemasukan barangan import murah dalam kuantiti besar, termasuk dari negara China ke pasaran Malaysia melalui penguatkuasaan remedi perdagangan.

 

Jelasnya, remedi perdagangan ini selaras dengan perundangan negara iaitu Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 [Akta 504] serta Peraturan-peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 [Peraturan 1994].

 

"Antara langkah remedi yang diambil adalah pengenaan duti anti-lambakan, duti timbal balas dan duti pelindung. 

 

"Tindakan remedi perdagangan ini adalah bersasar terhadap pengilang atau pengeksport luar negara yang mengakibatkan kemudaratan terhadap industri tempatan termasuk PKS di Malaysia serta skop pengenaannya merangkumi kesemua industri tempatan," katanya pada Sidang Dewan Negara hari ini.

 

liew
LIEW CHIN TONG

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang meminta MITI menyatakan bagaimanakah Kementerian menyokong PKS di Malaysia untuk mengatasi kesan kemasukkan perniagaan China.

 

Menurut Chin Tong, MITI dalam proses untuk mengkaji semula Akta Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 yang dijangka akan dibentangkan pada Januari 2025.

 

"Kesimpulannya, Kerajaan sentiasa memantau kemasukan produk dari luar negara termasuk negara China untuk memastikan ekosistem industri yang sihat dalam negara," jelasnya.

 

Kata beliau, negara China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut, menyumbang 17% daripada keseluruhan jumlah perdagangan. 

 

Jelas Chin Tong, jumlah perdagangan Malaysia dan China bagi tempoh Januari hingga April 2024 meningkat sebanyak 5.9% kepada RM151.06 bilion berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas.

 

"Walau bagaimanapun, Kerajaan sentiasa waspada dengan kemungkinan wujudnya lambakan produk ke dalam pasaran tempatan," ujarnya. - DagangNews.com