KUALA LUMPUR 12 Mac - MIDF Research masih yakin pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian (IPP) kukuh pada 3.7% tahun ini berbanding 1.1% yang dicapai pada 2023, didorong pemulihan permintaan luar dan peningkatan aktiviti pembuatan global.
Pada Januari 2024, IPP telah memulih dengan kenaikan 4.3% tahun ke tahun selepas menyusut sedikit 0.03% dalam bulan sebelumnya, mencatat pertumbuhan terpantas sejak Mei 2023.
MIDF Research berkata, pertumbuhan tersebut melangkaui jangkaan firma dan pasaran, yang didorong oleh pengeluaran kukuh dalam sektor berorientasikan eksport.
“Kami kekal optimis memandangkan peningkatan berterusan dalam IPP pembuatan menunjukkan penstabilan selanjutnya dalam aktiviti pembuatan domestik pada Februari 24.
“Secara keseluruhan, pertumbuhan permintaan domestik yang mampan bakal menyokong pertumbuhan keluaran bagi sektor berorientasikan domestik seperti makanan dan minuman (F&B), kenderaan bermotor dan kelengkapan pengangkutan.
ARTIKEL BERKAITAN: Indeks pengeluaran perindustrian meningkat 4.3% pada Januari 2024, pertumbuhan tertinggi sejak Mei 2023 – DOSM
“Sementara itu, sektor berasaskan sumber (seperti bahan kimia serta minyak dan gas) dan sektor elektrik dan elektronik (E&E) akan meningkatkan pengeluaran untuk menampung permintaan global yang semakin meningkat,” katanya dalam nota ringkas ekonomi hari ini.
Selain IPP, nilai jualan sektor pembuatan turut berkembang 3.2% pada Januari 2024, sejajar dengan prestasi eksport yang lebih baik dan ini merupakan pertumbuhan positif yang pertama selepas tujuh bulan berturut-turut jualan sektor menguncup.
Ini didorong oleh jualan yang lebih tinggi bagi kenderaan bermotor; komputer dan persisian; produk kimia dan bahan kimia; serta elektronik pengguna.
Berbanding bulan sebelumnya, jualan pembuatan juga melantun dan berkembang pada 3.9% bulan ke bulan berbanding penurunan 4% dalam Disember tahun lalu, selepas menyesuaikan diri dengan kesan bermusim, disokong oleh jualan yang lebih baik bagi pelbagai produk seperti petroleum, sarung tangan getah, komputer dan persisian, dan kenderaan bermotor.
“Kami menjangkakan jualan pembuatan akan bertambah baik sejajar dengan pemulihan dalam sektor berorientasikan eksport, di samping pertumbuhan berterusan dalam permintaan dalam negara.
“Dalam erti kata lain, jualan komponen E&E, bahan kimia dan produk kimia; dan petroleum ditapis adalah antara yang produk yang akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan luar,” tambahnya.
Meskipun IPP diunjur berkembang kukuh kepada 3.7% tahun ini, MIDF Research tetap berhati-hati dengan risiko negatif yang berpotensi mengekang pertumbuhan indeks tersebut.
Firma penyelidikan itu berkata risiko negatif mungkin datang daripada kelemahan pertumbuhan ekonomi utama seperti China dan Amerika Syarikat (AS) dan potensi gangguan kepada rantaian bekalan global akibat ketegangan geopolitik yang kian meningkat. - DagangNews.com








