Margin 3QFY24 lemah, MIDF Research semak turun pendapatan teras Sunview sebanyak 23.4% pada FY24 | DagangNews Skip to main content

Margin 3QFY24 lemah, MIDF Research semak turun pendapatan teras Sunview sebanyak 23.4% pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - MIDF Research menyemak turun pendapatan teras Sunview Group Bhd untuk FY24 sebanyak 23.4% kepada RM10.8 juta disebabkan margin 3QFY24 yang lebih lemah tetapi menjangkakan margin yang lebih baik untuk FY25.

 

Katanya, hasil kumpulan itu menjunam sebanyak 48.7% kepada RM49.7 juta pada 3QFY24 disebabkan tumpuan kumpulan pada suku tersebut, iaitu pada pemasangan modul solar pada projek LSS4 yang sedang berjalan.

 

Hasil nyata lebih tinggi pada suku pertama dan kedua FY24 sebanyak RM108.7 juta dan RM204.3 juta.

 

"Perbandingan suku tahunan menunjukkan peningkatan dalam margin pendapatan teras dan ia dijangka bertambah baik pada suku akan datang dan mungkin stabil pada tahap 5% hingga 6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada 3QFY24, untung bersih kumpulan itu susut kepada RM1.54 juta berbanding RM2.34 juta setahun lalu kesan daripada penyusutan hasil kepada RM49.69 juta berbanding RM96.93 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek Sunview pada FY25 akan dipacu oleh Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).

 

Kumpulan itu sebelum ini memperoleh dua peruntukan 29.99MWac (di bawah konsortium JAKS Solar Power Sdn Bhd, Ann Joo Green Energy Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd dan satu lagi di bawah konsortium Solarcity REIT Sdn Bhd dan Coara Solar Sdn Bhd), yang mana ia memegang kepentingan masing-masing 10% dan 80%. 

 

Pembinaan untuk loji CGPP kebanyakannya dijangka bermula pada separuh kedua 2024 dan perlu disiapkan menjelang 2025.

 

"Prospek kumpulan dilihat positif didorong  dasar dan rancangan kerajaan yang kukuh disediakan untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) yang akan memangkin pertumbuhan Sunview dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

"Selain daripada LSS dan ladang solar, prospek juga kekal cerah untuk segmen kediaman dan atas bumbung C&I kerana permintaan dijangka meningkat pada tahun-tahun akan datang," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 88 sen sesaham. - DagangNews.com