Manfaatkan sepenuhnya khazanah alam semasa musim cuti sekolah | DagangNews Skip to main content

Manfaatkan sepenuhnya khazanah alam semasa musim cuti sekolah

Hutan rekreasi kaya dengan flora dan fauna boleh memberikan ilmu pengetahuan di luar bilik darjah. - Gambar Ramzi Bezzoudji
Oleh Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

Musim cuti sekolah perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti yang boleh membantu meningkatkan pembangunan karekter anak-anak selain menambah pengetahuan mereka.

 

Aktiviti ini boleh mengurangkan kebergantungan anak-anak kepada gajet elektronik untuk mengisi hari cuti mereka. Lumrahnya gajet ini yang mendominasi aktiviti seharian mereka berbanding aktiviti lain yang lebih memberi manfaat.

 

Antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama mereka ialah berkelah atau berkhemah disamping aktiviti merentas hutan di hutan rekreasi.

 

Hutan rekreasi kaya dengan flora dan fauna boleh memberikan ilmu pengetahuan di luar bilik darjah kepada anak-anak selain menjamin gaya hidup sihat keluarga.

 

Walaupun begitu, menjadi trend masa kini bagi kumpulan penggemar aktiviti lasak untuk mencari tempat bagi melakukan aktiviti merentas hutan, mandi-manda di kawasan air terjun yang disulami dengan acara berkelah ataupun BBQ di tempat tersebut.


 

Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa
Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

 


Namun, dalam keghairahan melakukan aktiviti ini, masyarakat dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan larangan terutama sekali membabitkan hutan simpan kekal di bawah Jabatan Perhutanan Negeri.

 

Pada dasarnya terdapat empat jenis hutan simpan kekal di Malaysia iaitu hutan perlindungan, hutan berhasil/ pengeluaran, hutan lipur dan hutan penyelidikan dan pendidikan.

 

Daripada senarai hutan simpan kekal ini hanya hutan lipur dibuka kepada orang ramai dan diperuntukkan sebagai tempat rekreasi, ekopelancongan dan untuk kesedaran masyarakat mengenai perhutanan di bawah Dasar Perhutanan Taman Eko-Rimba 1978 (pindaan 1992).

 

Ia dibuka hampir sepanjang tahun kepada orang ramai kecuali pada waktu tertentu yang akan diumumkan oleh Jabatan Perhutanan atau pihak berkuasa tempatan.

 

Sebelum ini hutan lipur turut dikenali sebagai Taman Rekreasi tetapi telahpun dijenamakan semula dengan nama Taman Eko Rimba oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2016.

 

Tahukah anda bahawa Selangor mempunyai beberapa hutan lipur yang dibuka sebagai kawasan untuk melakukan aktiviti berekreasi yang bertaraf dunia atau antarabangsa?

 

Kebanyakan hutan lipur ini terletak di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS). Pada tahun 2017, JPNS telah mewujudkan 10 Taman Eko Rimba dan sebuah Taman Negeri Selangor dengan keluasan sekitar 113,780 hektar yang mampu menyediakan kemudahan bagi tujuan rekreasi kepada masyarakat daripada pelbagai golongan.

 

Kebanyakan taman eko rimba ini menyediakan kemudahan untuk para penggunjung juga bertaraf antarabangsa serta diselia dengan baik seperti, gerai makan dan minum, parkir kereta dan tandas awam.

 

Salah satu taman eko rimba yang mempunyai kemudahan dan persekitaran bertaraf antarabangsa adalah Taman Eko Rimba Templer yang terletak di Rawang.


 

parafrasa

 


Kawasan ini mempunyai keunikan tersendiri selain kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem yang kompleks serta menarik untuk dikunjungi. Pelbagai aktiviti menarik yang sesuai dilakukan bersama untuk semua golongan masyarakat seperti aktiviti berkhemah, mandi manda, memerhati burung dan merentas hutan.

 

Selain itu, kepada mereka yang gemar mendaki dan merentas hutan boleh mendaki ke kawasan yang lebih tinggi untuk mendapatkan pemandangan yang lebih cantik dan kawasan air terjun yang lebih bersih serta tidak ramai penggunjung.

 

Oleh itu para pengunjung turut dapat melawat taman eko rimba yang berdekatan sekiranya mereka mempunyai masa untuk berbuat demikian. Ini juga telah menghasilkan suasana persekitaran yang mendamaikan dan nyaman.

 

Demi keselamatan keluarga dan pengguna lain, masyarakat dinasihatkan untuk peka dan sensitif dengan undang-undang seperti kesalahan menebang pokok, meninggalkan sisa makanan, membakar sampah serta meninggalkan sampah setelah selesai menjalankan aktiviti termasuk pencerobohan hutan simpan kekal.

 

Para penggemar rekreasi luar terutama yang menggelarkan diri mereka sebagai pencinta alam semulajadi boleh mengunjungi kawasan-kawasan taman eko rimba yang telah diwartakan untuk menjalankan aktiviti yang digemari mereka.


 

parafrasa

 


Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab untuk tidak menceroboh mana-mana kawasan yang dilarang untuk dikunjungi, oleh pihak berkuasa.

 

Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab demi menjaga kelestarian alam sekitar di negara kita serta jadilah contoh yang baik kepada semua. - DagangNews.com

 
Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa adalah pensyarah kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM