KUALA LUMPUR 21 Ogos - Malaysia dijangka berdepan pelbagai cabaran pada masa hadapan sekiranya kekuatan ekonomi China semakin berkurangan.
TA Research berkata, ekonomi Malaysia bergantung kepada China terutama dalam sektor perdagangan, pelaburan dan infrastruktur.
Katanya, China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan semakin meningkat sejak beberapa tahun dan hubungan itu didominasi oleh eksport bahan mentah dan komoditi dari Malaysia ke China, manakala China mengeksport barangan perkilangan dan elektronik ke Malaysia.
"Selain itu, pelaburan China dalam pelbagai sektor seperti hartanah, infrastruktur dan pembuatan telah berkembang dengan ketara, menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
"Malaysia harus mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan potensi risiko merangkumi strategi kepelbagaian perdagangan, pelaburan dan perkongsian ekonomi.
"Menerusi cara itu, Malaysia boleh mengurangkan kelemahannya dengan berkesan dan memupuk ekonomi yang lebih teguh dan berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan mengetatkan dasar monetarinya, sekali gus mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 3% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang pada 6 hingga 7 September 2023.
Kataya, permintaan domestik akan berdepan cabaran kerana eksport yang lemah mengalir kepada pendapatan perniagaan dan menjejaskan pelaburan, pengambilan pekerja dan pertumbuhan gaji.
"Kami percaya rancangan jangka sederhana lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu dan Kajian Separuh Penggal bagi Rancangan Malaysia Ke-12 mungkin memberi sedikit dorongan kepada kedua-dua sektor perniagaan dan pelaburan.
"Malaysia juga menghadapi tekanan aliran keluar daripada ringgit, mata wang berprestasi paling teruk di rantau ini dan BNM akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk menstabilkan ringgit, yang telah jatuh lebih daripada 5% berbanding dolar AS tahun ini," katanya.- DagangNews.com








