Malaysia catat jumlah dagangan bernilai RM213 bilion pada Ogos 2023 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia catat jumlah dagangan bernilai RM213 bilion pada Ogos 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Sept - Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM213 bilion pada Ogos 2023 dengan nilai eksport RM115.2 bilion dan import bernilai RM97.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan dagangan Malaysia meningkat 0.1% tahun ke tahun kepada RM17.3 bilion pada Ogos 2023, yang mana 10 negeri mencatatkan lebihan dagangan iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Pahang, Terengganu, Perak, Kelantan dan Perlis.

 

Katanya, prestasi eksport Malaysia pada Ogos 2023 bernilai RM115.2 bilion, menurun sebanyak RM26.4 bilion kepada 18.6% berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. 

 

"Penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM9.1 bilion), Johor (-RM7.9 bilion), Selangor (-RM3.6 bilion), Sarawak (-RM2.7 bilion), Kuala Lumpur (-RM2.5 bilion), Melaka (-RM607.1 juta), Sabah (-RM484.8 juta), Kelantan (-RM253.5 juta), Terengganu (-RM191.6 juta), Perak (-RM124.7 juta), Pahang (-RM86 juta) dan Perlis (-RM26 juta). 

 

"Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Labuan sebanyak RM719.1 juta, Kedah (+RM431.3 juta) dan Negeri Sembilan (+RM246.8 juta). Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 28.8%, diikuti oleh Johor (22.1%), Selangor (18.4%), Sarawak (7.9%) dan Kedah (4.2%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Mohd Uzir memaklumkan, import pada Ogos 2023 juga menurun RM26.4 bilion kepada 21.2% berbanding bulan yang sama pada 2022. 

 

Penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM12.2 bilion), Pulau Pinang (-RM6.2 bilion), Selangor (-RM4.2 bilion), Negeri Sembilan (-RM1.2 bilion), Kuala Lumpur (-RM721.2 juta), Pahang (-RM402.3 juta), Kedah (-RM348 juta), Labuan (-RM347.1 juta), Sabah (-RM257 juta), Melaka (-RM237.1 juta), Perak (-RM190 juta), Sarawak (-RM63.7 juta), Perlis (-RM15.8 juta) dan Kelantan (-RM6.1 juta). 

 

 

DOSM

 

 

Walau bagaimanapun, nilai import meningkat di Terengganu sebanyak RM188.1 juta. Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 27.7%, diikuti oleh Johor (21.1%), Pulau Pinang (21.1%), Kuala Lumpur (7.1%) dan Kedah (5.9%). - DagangNews.com