Malaysia Airlines jalin perkongsian strategik MHcruise dengan Apple Vacations | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines jalin perkongsian strategik MHcruise dengan Apple Vacations

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 April - Malaysia Airlines menandatangani perjanjian dengan Apple Vacations bagi memenuhi keperluan para pengembara terhadap konsep 'terbang dan berlayar' atau fly cruise yang semakin popular ketika ini.

 

Perkongsian strategik MHcruise dengan Apple Vacations itu untuk tempoh setahun dan dilengkapkan dengan usaha sama laluan pelayaran global: Peace Boat, Princess Cruises, Resorts World dan Uniworld River Cruises.

 

Malaysia Airlines berkata, kerjasama ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan ASEAN yang sebenar.

 

Katanya, perkongsian ini menggabungkan perjalanan udara Malaysia Airlines dengan rangkaian luas Apple Vacations bersama rakan kongsi pelayaran yang dihormati.

 

"Kerjasama ini membolehkan Malaysia Airlines mempromosikan pengalaman perjalanan yang lancar melalui pakej MHcruise, melengkapkan tawaran flycruise Apple Vacations.

 

"Pakej ini menjemput pengembara untuk menikmati yang terbaik dari dua dunia; kemudahan perjalanan udara dan daya tarikan pelayaran pada tambang yang menarik dan disesuaikan untuk memenuhi pilihan yang pelbagai, daripada mewah kepada mesra bajet," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

mhcruise

 

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (Syarikat Penerbangan), Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama ini telah menyemarakkan seluruh industri pelancongan Malaysia.

 

"Dengan memilih pengalaman perjalanan yang tiada tandingan, kami bukan sahaja menarik pelawat, tetapi juga memupuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

 

"Bersama-sama, kami merintis piawaian baharu, menghidupkan semula landskap perjalanan, dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pengembara global serta menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia dan seterusnya," jelasnya.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Kumpulan Apple Vacations, Datuk Seri Koh Yock Heng berkata, percutian pelayaran semakin popular dengan Resorts World Cruise dan Royal Caribbean menjadi pilihan serantau.

 

Katanya, pilihan peringkat antarabangsa pula seperti pakej pelancongan Princess Cruise untuk Alaska dan Peace Boat untuk lawatan global.

 

"Pakej pelayaran sungai di sepanjang Sungai Danube dan Rhine (Eropah) yang kini ditawarkan oleh Uniworld Cruises, juga menyaksikan lonjakan minat. 

 

"Selain itu, trend pakej fly-cruise yang semakin meningkat menarik minat pelancong yang ingin bercuti dan mencari sambungan yang lancar dan pilihan tempahan yang mudah,” ujarnya.- DagangNews.com