Majuperak Holdings, Shizen International dari Jepun meterai kerjasama teroka potensi projek solar di Perak | DagangNews Skip to main content

Majuperak Holdings, Shizen International dari Jepun meterai kerjasama teroka potensi projek solar di Perak

Kerjasama antara Majuperak Holdings, Shizen International bagi meneroka projek solar di Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 26 April - Majuperak Holdings Berhad (MHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat terkemuka Jepun dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, Shizen International Inc. (Shizen International) bagi meneroka projek solar di Perak.

 

Ia bagi pembangunan projek fotovoltan solar yang dibina di atas darat dan menilai potensi kawasan air yang sesuai untuk projek fotovoltan terapung di negeri ini.

 

Kerjasama tersebut membabitkan kajian boleh laksana permulaan dan usaha sama untuk meneroka peluang pelaburan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim berkata, kerjasama itu membuka peluang besar bagi Perak terutamanya pelaburan luar.

 

Mou
Syed Agil (empat dari kanan) dan Rei Ushikubo bertukar dokumen MoU dengan disaksikan Saarani (tiga dari kanan) dan Redza Rafiq (kanan).
 

 

Menurut beliau, Shizen International merupakan rakan kongsi yang ideal kerana kepakaran dan rekod pencapaiannya yang terbukti. 

 

“Kerjasama ini menjanjikan kemajuan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan membawa manfaat kepada penduduk tempatan, termasuk peluang pekerjaan, perkongsian teknologi dan kemakmuran ekonomi.

 

“Bersama dengan Shizen Energy Japan, kami sedia memanfaatkan kepakaran dan sumber bersama kami untuk menggiatkan penggunaan teknologi tenaga bersih di rantau ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani antara Syed Agil dan Ketua Pegawai Eksekutif Shizen International, Rei Ushikubo.

 

Mou

 

Majlis disaksikan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

 

Menurut Syed Agil lagi, Shizen International, anak syarikat Shizen Energy Inc., terlibat secara aktif dalam pembangunan dan pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania, dan Amerika Latin.

 

Ia merangkumi loji jana kuasa angin dan solar yang ditubuhkan sejak tahun 2020. 

 

Shizen Energy Group telah berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 MW di Jepun dan peringkat antarabangsa.

 

Shizen Energy Inc. berpangkalan di Fukuoka City, yang mempunyai hubungan sebagai bandar kembar Ipoh, Perak. 

 

Sejak menandatangani perjanjian bandar kembar pada 1989, kedua-dua pihak giat melaksanakan program pertukaran pendidikan dan kebudayaan.  - DagangNews.com