KWSP, Petronas entiti paling dipercayai di Malaysia pada 2022 - kajian Ipsos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP, Petronas entiti paling dipercayai di Malaysia pada 2022 - kajian Ipsos

KUALA LUMPUR 6 Jan - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) kekal sebagai entiti paling dipercayai di Malaysia, demikian menurut firma penyelidikan pasaran, Ipsos Malaysia.

 

Kaji selidik Trust Track Ipsos turut menunjukkan senarai yang dikeluarkan turut merangkumi Nestlé (Malaysia) Bhd., PLUS Expressways Bhd. dan Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd., yang kesemuanya merupakan penyertaan baharu dalam senarai lima teratas pada 2022.

 

Pengarah Bersekutu Hal Ehwal Awam Ipsos Malaysia, Lars Erik Lie berkata, tahap kepercayaan pada 2022 berada pada tahap yang sama seperti pada tahun sebelumnya, berikutan peralihan beransur-ansur negara daripada wabak COVID-19.

 

Katanya, rakyat Malaysia terus menyatakan kepercayaan yang kukuh terhadap pengawal selia kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, manakala syarikat telekomunikasi dan perkhidmatan kewangan berada di bawah spektrum yang lebih rendah.

 

"Syarikat-syarikat dalam sektor media dan barangan pengguna berkembang pantas (FMCG) paling banyak mendapat kepercayaan dengan ketara pada tahun lalu," katanya dalam kenyataan seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Beliau menyifatkan 2022 adalah tahun wabak itu kehilangan cengkaman terhadap kehidupan seharian kebanyakan orang, tetapi ia digantikan dengan kebimbangan baharu.

 

"Peningkatan inflasi, kos sara hidup dan kenaikan kadar faedah menjadikan peralihan kepada pasca pandemik kurang lancar daripada yang diharapkan dan dijangka oleh ramai orang,” jelasnya. 

 

Dengan pembukaan semula ekonomi dan perjalanan, menurut beliau, jenama yang membabitkan pengguna seperti PLUS dan Petron, kedua-duanya memasuki lima teratas syarikat paling dipercayai.

 

Di sebalik kenaikan kos bagi barangan pengguna, syarikat FMCG menyaksikan peningkatan ketara dari segi kepercayaan sepanjang tahun lalu, menunjukkan pemahaman daripada orang ramai bahawa tekanan makro mendorong kenaikan harga.

 

Malah, kaji selidik itu juga mendapati sektor media memperoleh kelulusan orang ramai pada tahun pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang mendominasi keseluruhan media.

 

Bagaimanapun, Ipsos mendapati walaupun dengan keuntungan kecil berbanding 2021, kepercayaan terhadap sektor perkhidmatan kewangan adalah lebih sederhana, pastinya tidak dibantu oleh kenaikan kadar faedah sebagai tema berulang dalam kitaran baharu. - DagangNews.com