Krisis kesihatan mental di Malaysia: Cabaran Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content

Krisis kesihatan mental di Malaysia: Cabaran Malaysia MADANI

Oleh Siti Rosnita Sakarji & Nurbabirah Ahmad

KESIHATAN mental sering dikaitkan dengan keupayaan seseorang untuk menjalani, menghargai dan menikmati hidup dalam cara yang positif, produktif dan seimbang.

 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat serta mampu memberi sumbangan kepada komuniti.

 

Walaupun kesihatan mental sering kali dikaitkan dengan penyakit mental, namun kedua-duanya adalah berbeza, namun berkait antara satu sama lain. Seseorang yang memiliki kesihatan mental yang baik masih mampu menangani tekanan hidup dalam keadaan terkawal.

 

Ini berbeza dengan individu yang mempunyai kesihatan mental yang buruk, tekanan yang dihadapi akan mengakibatkan mereka mengalami kemurungan dan menyebabkan kesihatan mental mereka terjejas.

 

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Buku Kesihatan Mental dan Fizikal pada 2012 turut mengaitkan kesan kemurungan dengan penyakit-penyakit yang lebih serius.

 

Kemurungan bukan hanya melibatkan perubahan emosi dan tingkah laku, malah boleh menjadi penyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang lain seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, HIV/AIDS dan lain-lain.

 

Merujuk matlamat ketiga Pembangunan Lestari (SDG) juga menunjukkan bahawa menjelang 2030, kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit perlu dikurangkan sebanyak satu pertiga iaitu melalui pencegahan dan rawatan, serta meningkatkan kesejahteraan kesihatan mental.


 

parafrasa

 


Namun, sehingga kini, matlamat tersebut masih belum dapat dicapai. Malah, berdasarkan Laporan Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) (2017), keadaan kesihatan mental semakin membimbangkan di mana 29.2% orang dewasa (16 tahun dan ke atas) dan 12.1% kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

 

Laporan NHMS (2019) pula melaporkan bahawa kira-kira setengah juta atau 2.3% orang dewasa di Malaysia menghadapi kemurungan. Peningkatan kes-kes melibatkan masalah mental telah menjadikan ia sebagai masalah kesihatan kedua terbesar rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

 

Terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilancarkan oleh kerajaan termasuklah pelaksanaan Pelan Strategik Nasional Kesihatan Mental (NSPMH) 2020-2025 yang antara lainnya memberi penekanan terhadap penilaian kesihatan mental di klinik-klinik kesihatan kerajaan, penubuhan pusat kesihatan mental komuniti di seluruh negeri, seperti Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) di bawah Kementerian Kesihatan.

 

Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) secara atas talian juga disediakan bagi individu yang terkesan dan memerlukan bantuan emosi dan psikososial.

 

Selain daripada itu, Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau Talian HEAL 15555 telah mula beroperasi sebagai tambahan kepada MHPSS.

 

Pengumuman Bajet 2023 juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam usaha membanteras masalah kesihatan mental di Malaysia dengan memperuntukkan sebanyak RM413.58 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk Program Kesihatan Mental dan Psikiatri.

 

Langkah ini dilihat amat bertepatan dengan krisis kesihatan mental yang telah mendapat perhatian semenjak berlakunya fenomena COVID-19 pada tahun 2019 lalu yang telah melonjakkan lagi peningkatan kes berkaitan masalah kesihatan mental. Kejadian membunuh diri juga turut meningkat seiring dengan peningkatan kes berkaitan kesihatan mental.  


 

parafrasa

 


Kesihatan mental menjejaskan pelbagai aspek, termasuk dalam sektor pekerjaan. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 2018 melaporkan bahawa sektor pekerjaan kini berada dalam situasi yang membimbangkan, di mana masalah kesihatan mental meningkat dengan nisbah 1 dalam setiap 10 pekerja mengalami tekanan kronik, kebimbangan, keletihan, atau kemurungan.

 

Malah, laporan daripada Majlis Keselamatan Negara pada Mac 2023 yang lalu mendedahkan bahawa terdapat sebanyak 212,319 panggilan diterima oleh MHPSS pada tahun 2021 berbanding pada tahun 2020 dengan hanya 44,061 panggilan.

 

Peningkatan sebanyak lima kali ganda ini menunjukkan masalah kesihatan mental terus meningkat di Malaysia. Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa turut melaporkan bahawa terdapat sebanyak 3.35 peratus daripada 76,381 petugas kesihatan daripada pelbagai skim perkhidmatan dikesan mengalami gejala tekanan, keresahan serta kemurungan pada tahun lalu menerusi ujian saringan kesihatan mental di bawah Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN).

 

Beliau turut mengulas bahawa masalah kesihatan mental boleh berpunca daripada pelbagai faktor psikologi termasuk kegagalan mencapai keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.

 

Dalam sektor Pendidikan, menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia mengenal pasti pelbagai perkara yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental warga pendidik itu termasuk guru duka lara, beban kerja, dan tekanan lain.

 

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Oktober 2022 lalu mengesahkan tingkah laku bunuh diri akibat daripada kesihatan mental menunjukkan kadar membimbangkan dan meningkat ketara iaitu sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding dengan 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020.


 

parafrasa
       Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar

 


Menurut Pakar Psikologi Klinikal, Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar, kegagalan menguruskan kesihatan mental akan menyumbang kepada kes-kes jenayah seperti penderaan, pembunuhan akibat menanggung emosi yang melampau.  

 

Ini adalah kerana apabila mengalami tekanan dan konflik yang berpanjangan atau berlarutan, keupayaan fungsi mental akan terjejas dan akhirnya mencetuskan penyakit mental.

 

Merawat dan mencegah kesihatan mental adalah perlu dititikberatkan kerana ia boleh membantu perkembangan individu untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan.

 

Kerjasama di antara pihak kerajaan, swasta, NGO, komuniti dan di peringkat individu perlu diperkukuhkan bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan mental diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat dapat dicapai.

 

Stigma dan diskriminasi terhadap individu dengan masalah kesihatan dan penyakit mental haruslah ditangani agar mereka berani melangkah ke depan untuk merawat masalah tersebut.

 

Malah tidak keterlaluan, refleksi diri di peringkat individu harus dilakukan tidak mengira bangsa dan anutan agama.


 

parafrasa

 


Sebagai contoh, bagi masyarakat Muslim, aktiviti ibadah seperti solat, zikir dan membaca al-Quran dapat diterapkan untuk memberikan ketenangan diri sepertimana firman Allah dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28: Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.”

 

Malaysia Madani yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 berasaskan kepada enam prinsip utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, dan ihsan dilihat sebagai strategi relevan ke arah pemerkasaan kesihatan mental di Malaysia.

 

Malaysia Madani bertanggungjawab memikul dan melaksanakan inspirasi ke arah Malaysia Sejahtera seperti yang diperkenalkan.

 

Malaysia Madani harus terus meneruskan kesinambungan komitmen dalam meningkatkan kesihatan mental rakyat yang berbilang kaum di Malaysia dan bukan sekadar satu lagi metafora popular di atas kertas hitam putih.


 

parafrasa

 


Sinergi antara pengurangan bebanan serta kepelbagaian sumber yang boleh membantu masyarakat perlulah diterokai lagi dan dimanfaatkan agar dapat melahirkan masyarakat yang maju dan makmur dalam pelbagai sudut dan bebas daripada masalah kesihatan mental. – DagangNews.com

 

Siti Rosnita binti Sakarji adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Kelantan, dan Nurbarirah binti Ahmad adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka