KUALA LUMPUR 12 Mac - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) menerusi anak syarikatnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd (SCIBIBS) telah menerima notis pembatalan kontrak daripada Landasan Kapital (M) Sdn Bhd.
Kontrak berkenaan adalah berhubung projek pembinaan bangunan kediaman pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Bachok yang bernilai RM97.7 juta, yang melibatkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Kontrak yang diperoleh dua bulan lalu pada 16 Januari itu dibatalkan atas persetujuan bersama tanpa syarat dan kedua-kedua pihak dikecualikan daripada semua tuntutan, lien dan kewajipan dalam setiap bentuk yang timbul.
“Syarikat sedang menguatkuasakan haknya di bawah kontrak tersebut dan mengambil langkah diperlukan untuk melindungi kepentingan SCIB dalam mengurangkan risiko projek yang timbul daripada potensi kelewatan projek akibat garis masa projek yang ketat,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Memandangkan projek berkenaan belum dimulakan, tiada hasil atau kos telah diambil dalam akaun.
Oleh itu, pembatalan kontrak tidak akan mempunyai kesan material ke atas penggearan, pendapatan sesaham dan aset bersih SCIB bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
Penamatan kontrak juga tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.
Saham SCIB ditutup rendah pada 32.5 sen hari ini, susut 0.5 sen atau 1.5% dengan permodalan pasarannya bernilai RM208.1 juta. - DagangNews.com








