Kami baru menjalani proses penjenamaan semula pada 10 April 2025. Kini secara rasmi keseluruhan syarikat di dalam Kumpulan kami dikenali sebagai WASIYYAH.
Satu proses penjenamaan strategik yang kami lakukan bagi melangkah dengan lebih gagah di peringkat domestik dan antarabangsa.
Saya menceritakan pengkisahan perjalanan WASIYYAH bermula daripada 5 Mei 2004 sehingga ke hari ini. Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Malaysia International Islamic Finance Council (MIFC) selepas mendengar cerita saya membuat kesimpulan bahawa WASIYYAH ini ialah salah satu contoh perniagaan yang dibina dengan prinsip ‘Substance over forms’.


Prinsip ini bermaksud kami sangat fokus kepada produktiviti dan operasi perniagaan sehingga tiada masa untuk memikirkan tentang lambang atau penampilan syarikat. Bila dia bertanya kepada saya apa maksud logo Wasiyyah Shoppe yang lama, saya pun tidak boleh menerangkan kerana secara jujurnya, pada ketika itu saya langsung tidak memberikan sebarang fokus kepada logo.
Apa yang saya tekankan kepada itu ialah untuk memperbaiki aspek operasi syarikat, mengembangkan saluran pemasaran (distribution channel), mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat dan membangunkan lebih banyak solusi pewarisan Islam yang inovatif. Begitu banyak masa, tenaga dan wang yang dicurahkan kepada usaha-usaha ini. Ada masanya kami bekerja selama beberapa bulan tanpa henti.
Dengan berbekalkan semangat, visi dan keazaman tinggi, Wasiyyah Shoppe Berhad memulakan langkahnya pada 5 Mei 2004. Sejujurnya saya meragui kemampuan diri untuk memimpin syarikat dengan berkesan kerana saya tidak mempunyai latarbelakang Syariah. Saya graduan pengurusan perniagaan dan hampir tidak tahu apa-apapun tentang bidang pewarisan Islam.
Saya masih ingat dengan jelas, orang yang paling banyak memberikan semangat untuk saya istiqomah membangun Wasiyyah Shoppe Berhad ialah Allahyarham Ustaz Hj Ridzuan Awang, salah seorang Panel Syariah asal Wasiyyah Shoppe Berhad dan merupakan pensyarah kanan Fakulti Pengajian Islam UKM (Semoga Allah SWT mencucuri rahmah ke atas rohnya).
“Ana ada ilmu tapi ana tiada kemahiran untuk menguruskan syarikat yang boleh membantu umat Islam merancang harta mereka. Anta buatlah dan ana akan sokong daripada belakang.” Pesanan Allahyarham ini sehingga hari ini masih terngiang-ngiang di telinga saya. Saya berdoa agar jika ada sebarang pahala yang Allah kurniakan untuk segala usaha saya membantu umat Islam di dalam bidang ini, akan dinikmati juga oleh Allahyarham.


Atas semangat itulah saya berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat lelah selama 20 tahun membangunkan Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga ke tahapnya hari ini. Saya masih ingat modal fizikal pertama dan terpenting kepada kami ketika itu ialah sebuah komputer riba atau laptop.
Dengan laptop inilah saya mengembara ke seluruh Malaysia membentangkan kepentingan perancangan harta secara Syariah kepada umat Islam. Apa sahaja serba sedikit bayaran yang kami terima daripada masyarakat, itulah yang dipusingkan semula sebagai modal untuk aktiviti perniagaan seterusnya.
Usaha ini tidak mudah kerana pada tahun 2004 itu, tidak banyak organisasi yang bergerak aktif di dalam masyarakat untuk bercerita tentang isu ini. Sambutan masyarakat hanya suam-suam kuku sahaja. Saya pernah dituduh sebagai Ayah Pin 2 kerana dikatakan membawa ajaran sesat tentang ‘hibah’ yang didakwa sesetengah masyarakat sebagai tidak wujud dalam Islam.
Tidak cukup dengan tohmahan masyarakat yang tidak faham, pemain industri juga ketika itu melemparkan pelbagai kritikan dan fitnah kepada saya kerana dikatakan memandai-mandai bercakap tentang sesuatu perkara yang bukan kepakaran saya. Alhamdulillah dengan bantuan Panel Syariah asal termasuk Allahyarham Ustaz Hj Ridzuan Awang, semua cabaran ini berjaya diatasi.
Hari ini hibah ialah antara rumusan perancangan harta secara Syariah yang semakin diterima masyarakat, undang-undang berkenaan mulai digubal, diiktiraf sebagai sah oleh Mahkamah Syariah seluruh Malaysia malah usaha Wasiyyah Shoppe Berhad memperkenalkan hibah kepada umat Islam seluruh dunia juga semakin diterima. Syukur kepada Allah SWT kerana telah mempermudahkan urusan kami.

Ketika permulaan Wasiyyah Shoppe Berhad, saya ada idea yang banyak bagaimana model perniagaan ini hendak dibangunkan tetapi saya tidak ada modal kewangan yang banyak. Sebaik sahaja memulakan perjalanan, saya menggunakan kesemua wang di dalam tangan saya, sedikit wang daripada ayah saya dan tentunya sebahagian modal juga disumbangkan oleh isteri saya, Hairunisa Abdul Rahman.
Dengan dialah saya banyak bercerita idea-idea ‘gila’ saya yang tidak pernah dibuat oleh sesiapa pun pada ketika itu. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri solehah yang sangat menyokong dan memahami suaminya. 10 tahun pertama operasi sangat susah dan mencabar namun setiap kali kami berhadapan dengan cabaran yang sukar, Allah melorongkan jalan keluar untuk kami.
Bayaran perkhidmatan yang kami terima daripada masyarakat memang ada tetapi di dalam banyak keadaan, ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan syarikat. Saya sendiri tidak mengambil sebarang gaji daripada syarikat bagi 5 tahun pertama operasi. Bila ditanya kawan-kawan bagaimana saya mengharungi situasi bekerja tanpa henti dan tanpa gaji selama 5 tahun, saya pun tak tahu!
Saya tidak ada ‘godfather’ yang menaja sepenuhnya operasi kami. Saya hanya ada ‘God’ iaitu Allah SWT tempat saya mengadu dan memohon pertolongan. Dialah yang mempermudahkan semua urusan kami. Pejam celik sudah 20 tahun Wasiyyah Shoppe Berhad beroperasi. Pelbagai pengalaman pahit manis telah dilalui.
Hari ini WASIYYAH telah pun mempunyai lebih daripada 100,000 orang pelanggan dengan nilai harta dalam pewarisan (asset under inheritance) mencecah RM45 bilion. Hujah paling penting yang saya ingin utarakan di dalam artikel saya minggu ini ialah MODAL KEWANGAN bukanlah penentu kejayaan perniagaan. Mempunyai modal kewangan penting namun ia bukan faktor utama.
ARTIKEL BERKAITAN: Wasiyyah unjur tambah hingga RM8 bilion nilai aset dalam pewarisan pada FY24
Selepas melalui sendiri pengalaman membangunkan WASIYYAH dari ‘0’ sehingga ke hari ini, saya suka berkongsi dengan rakan-rakan usahawan bahawa modal paling kritikal untuk perniagaan ialah IDEA, USAHA YANG ISTIQOMAH, DOA dan TAWAKKAL.
IDEA akan membolehkan kita mengatasi segala halangan dan cabaran. USAHA ISTIQOMAH akan memberikan pulangan hasil yang berpanjangan. DOA akan menyedarkan kita bahawa kita ini hanya hamba dan pergantungan kita mutlak hanya kepadaNya. TAWAKKAL akan memusatkan minda kita untuk terima bahawa Allah hanya memberikan yang terbaik kepada kita.
Jika apa yang cuba dicapai tidak menjadi, teruskan berusaha tanpa mengenal penat lelah. Cubalah formula saya ini. Ia bukan formula yang dipelajari daripada mana-mana universiti atau buku teks. Ia kesimpulan koleksi pengalaman sepak terajang yang saya sendiri telah lalui di dalam dunia perniagaan. Jika anda yakin in shaa allah berjaya. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









