Tidak semua ke universiti, ada yang belajar dari dunia, tanah, manusia kata James, peladang kaya di Hastings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tidak semua ke universiti, ada yang belajar dari dunia, tanah, manusia kata James, peladang kaya di Hastings

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Pagi itu langit Aotearoa kelihatan jernih, seolah-olah baru disapu halus oleh tangan bayu. Matahari memancar tanpa garang, mengintai dari balik bukit-bukit yang menghijau dan menunduk kepada waktu. 

 

Seusai bersarapan, saya bersama abang Sham menyusuri lorong ke universiti ternamanya, Massey University, tempat beliau menyemai ilmu dalam bidang pertanian untuk PhD, sedang saya pula bersiap melangkah ke arah yang berlainan — sebuah perjalanan yang tiada dalam silibus, namun akan menjadi satu bab penting dalam hikayat hidup saya.

 

Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada abang Sham dan bersalaman erat dengan kakak  yang menghantar saya ke pinggir jalan utama, saya berdiri di antara langit dan bumi dengan beg sandang yang memikul harapan serta secebis debar. 

 

Itulah pertama kali saya hitch-hike, mengangkat tangan dengan ibu jari ke udara, menanti simpati pemandu yang sudi memberikan tumpangan kepada seorang pengembara asing — bukan sahaja pada geografi, tetapi juga dalam makna.

 

Namun saya yakin orang New Zealand yang semuanya peramah dan baik.


 

Hastings
Pemandangan malam pusat bandar Hastings di New Zealand

 

 

Pondok Usang dan Harapan yang Gugup

Jalan raya itu luas, namun sepi dan tidak banyak kenderaan mengisi hari. Kenderaan yang lalu bagaikan burung kelicap — pantas menyelinap pergi, enggan berhenti.

 

Saya berjalan perlahan, menoleh ke belakang saban langkah, mengharap ada yang bersedia mempercayai saya walau sesaat. Walau saya sedikit gementar.

 

Setengah jam berlalu dan saya masih berjalan melihat keindahan alam terbentang. Matahari mula menanjak, tetapi udara pagi masih mengendong dingin.

 

Di hadapan saya, berdiri sebuah pondok lama di tepi trek kereta api — kayunya reput, atapnya berkarat, tetapi menjadi tempat teduh bagi musafir kecil seperti saya. Saya bersandar di dindingnya yang mengelupas, menanti takdir seterusnya.

 

Tiba-tiba, sebuah kereta kecil berhenti tidak jauh dari saya. Seorang lelaki tua, senyum di bibir dan kedut di dahi, menegur mesra. Katanya dia hanya mampu membawa saya lima kilometer ke ladangnya. 

 

Saya bersyukur — kerana perjalanan sejauh mana pun, selalu bermula dengan langkah pertama. Dan inilah langkah pertama saya hitch-hike, dalam kereta tua, bersama seorang asing yang baik hati yang bertanya mahu ke mana.

 

Pertemuan Tanpa Bicara, Persimpangan Tanpa Tanda

Sesudahnya, saya kembali berjalan. Jalan tetap lengang, bunyi angin menyisir telinga menjadi satu-satunya simfoni. Langit mulai memancarkan cahaya siang yang penuh. Sekali lagi, saya melambai tangan. Sebuah kereta berhenti. 

 

Pemandunya, seorang lelaki muda, tidak berkata sepatah pun, hanya mengangguk dan memberi isyarat untuk saya naik. Kami diam sepanjang perjalanan yang singkat, sebelum dia berhenti dan menyatakan bahawa inilah rumahnya.

 

Saya mengucapkan terima kasih dan turun, kembali berdiri di persimpangan antara langit yang tiada awan dan bumi yang tiada bayang.

 

Saya sempat bertanya kepada diri sendiri — adakah perjalanan ini akan berakhir dengan sia-sia? Adakah ini ujian kecekalan atau isyarat untuk berpatah balik? Namun saya tetap berdiri, walau tidak tahu apa yang menanti.

 

 

Hastings

 

 

James dan Mercedes : Hikmah dalam Bongkah Perak

Beberapa ketika kemudian, sebuah kereta Mercedes berhenti di hadapan saya. Seorang lelaki muda yang tampak kemas dengan kaca mata hitam dan rambut perang membuka tingkap.

 

"Going anywhere?" soalnya.

"Towards Gisborne," jawab saya, masih gugup tapi bersedia.

"I’m heading to Hastings. Hop in!"

 

Saya tidak berfikir dua kali. Saya terus menaiki keretanya. Di dalam, kereta itu bersih dan nyaman, muzik klasik perlahan menyusup dari pembesar suara. Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai James.

 

"I live with my family in Hastings. The farm’s just outside the town," katanya.

 

Saya mengangguk dan memandang ke luar. Pemandangan mula berubah. Ladang terbentang luas, domba-domba putih seperti tompokan awan di atas rumput hijau yang tebal. Jalan raya kelihatan seperti lukisan air yang disapu dengan tenang oleh pelukis yang tahu bila perlu berhenti.

 

“Where do you want to go?” tanya James sambil memegang stereng dengan tangan yang yakin.

“Hamilton, but I follow this route to see beautiful New Zealand.”

Dia tertawa kecil.

“Good. What will you do in Hamilton?”

 

Dengan suara yang saya cuba kuatkan, saya menjawab penuh bangga, sesuatu yang terasa amat bernasib baik:

“I am enrolling in the varsity!”

 

Bagi saya, universiti itu puncak. Tanda kejayaan dan suatu kemenangan. Sebab itu saya menyebutnya dengan yakin.

Namun James mengangkat kening, lalu berkata:

“So what? Going to varsity? What the hell. I didn’t go to varsity, but I’m rich. What’s so proud?” James bercakap ketawa sambil mencemik.

 

Saya terkejut. Kata-katanya tajam, bukan dengan niat menghina, tetapi seperti ingin membuka mata. Diam saya panjang dalam memikirkan sesuatu yang mula menghimpit perasaan.

 

James menyambung, lebih lembut kali ini:

“Not everyone needs university. Some of us learn from the world, from the land, from people.”

 

Kata-katanya menusuk. Saya yang selama ini melihat universiti sebagai mercu, mula sedar bahawa ada menara-menara lain yang menjulang — bukan dengan batu bata, tetapi dengan pengalaman, kerja keras dan keberanian.

 

“Saya pernah fikir pelajaran itu segalanya,” ujar saya, perlahan. “Tapi mungkin pengalaman pun guru yang besar.”
James mengangguk sambil memandu dan menatap wajah saya.

“You’re welcome to my house and farm. See for yourself.”

Dan saya bersetuju.

 

 

Xi

 

Di Ladang James: Pelajaran yang Tak Ada dalam Kuliah

Sekitar jam sebelas pagi, saya tiba di perkarangan rumah James. Namun untuk menyebutnya sebagai ‘rumah’ terasa seperti memendekkan keajaiban.

 

Bangunan itu lebih dekat kepada istana dalam takrifan musafir seperti saya — luas terbentang di tengah ladang yang saujana mata memandang. Atapnya megah, dindingnya berseni, dan seluruh persekitarannya dilingkari ketenangan yang bukan direka, tetapi diwarisi oleh tanah.

 

James, dengan senyum mesra dan sikap santainya, menyuruh saya berehat. Namun hati saya lebih ingin menyelusuri ladang — ladang yang dipenuhi bisikan angin dan matahari yang menggeliat di antara dedaunan. Beliau mengizinkan saya bergerak dengan kereta elektrik mini, dan saya  seperti seorang yang baru sahaja mengenal dunia luar dari kepompong pengajian dan kota.

 

Isteri James, seorang wanita bersahaja tetapi rapi, menyapa dengan lembut. Dua orang anak mereka — seorang lelaki dan seorang perempuan — mendekati saya dengan wajah penuh ingin tahu.

“Kami akan masak kambing tengahari ini. Mahu makan bersama?”

Saya terdiam sebentar, lalu menjawab dengan lembut,

“Saya orang Islam. Hanya daging yang disembelih mengikut hukum halal boleh saya makan.”

Wajah mereka tidak berubah sedikit pun — tidak kecewa, tidak pelik. Malah si isteri pantas menjawab,

“Kalau begitu, kita semua makan salad sahaja.”

 

Saya terpempan dengan kefahaman dan toleransi itu. Mereka bukan sekadar menerima kehadiran saya sebagai tetamu, tetapi sebagai manusia dengan maruah dan pegangan yang wajar dihormati.

 

Saya sempat menyesal kerana tidak membawa makanan sendiri, tetapi kemudian saya insaf — asal halal dan beradab, maka makanan itulah sebenar rezeki.

 

Saya meminta izin untuk menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak, dan James dengan cepat menunjukkan saya ke bilik tetamu — salah satu daripada lapan buah bilik besar dalam rumahnya.

 

Saya mengambil wuduk dan bersujud di dalam tandas moden dan solat di atas karpet tebal, memohon agar perjalanan ini diberkati dan pertemuan ini menjadi saksi ukhuwah manusiawi.

 

Selepas solat, saya terlelap sebentar di tilam. Letih tubuh, tetapi damai jiwa. - DagangNews.com