Mulai 30 September 2025, rakyat Malaysia membayar RM1.99 seliter untuk RON95, turun enam sen daripada RM2.05.
Kedengaran seperti kemenangan rakyat, tetapi hakikatnya sekadar kompromi fiskal dengan sentuhan politik. Subsidi ini tidak lagi pukal, sebaliknya dikawal ketat melalui program BUDI95.
Hanya warganegara dengan lesen memandu sah berhak menikmatinya, dengan had 300 liter sebulan. Pemandu e-hailing diberi pengecualian, manakala bukan warganegara membayar harga pasaran RM2.60 seliter. Kenderaan asing pula hanya boleh mengisi RON97.
Subsidi kini bukan hak umum, tetapi hak bersyarat yang dipagari teknologi, kuota serta kawalan identiti.
MyKad: Subsidi Berpagar
Setiap liter RON95 mesti disahkan melalui imbasan MyKad atau aplikasi mudah alih. Kerajaan menawarkan penggantian cip rosak secara percuma, dengan lebih 294,000 kad telah diganti tahun ini.
Perubahan ini membawa simbolik besar. Subsidi tidak lagi automatik. Ia memerlukan bukti identiti, boleh dijejak, serta diaudit semula bila perlu.
Kerajaan menutup ruang ketirisan, tetapi pada masa sama menegaskan bahawa petrol murah hanyalah keistimewaan yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Langkah ini mungkin tampak kecil, tetapi kesannya besar. Setiap liter kini dikaitkan dengan nama pemilik. Subsidi berubah wajah daripada jaring keselamatan sosial kepada alat kawalan fiskal.
Penjimatan RM8 Bilion: Realiti atau….?
Kementerian Kewangan menganggarkan penjimatan sekitar RM8 bilion setahun, sekali gus menurunkan defisit fiskal kepada 3.8% KDNK pada 2025.
Namun angka ini sebenarnya rapuh. Harga minyak mentah Brent kini berlegar sekitar USD 75–80 setong. Jika melonjak, penjimatan itu lenyap sekelip mata.
Pasaran kewangan melihat disiplin fiskal, tetapi mereka tahu Malaysia masih bergantung pada nasib komoditi global. Defisit mungkin turun di kertas bajet tetapi tidak semestinya berlaku dalam realiti pasaran.
Tambahan pula, kerajaan sudah mengurangkan unjuran penjimatan selepas bantahan rakyat. Angka rasmi kini lebih rendah daripada jangkaan awal, membayangkan dasar ini belum benar-benar stabil.

Inflasi: Kos Kecil, Naratif Besar
Enam sen penurunan hanya mengurangkan inflasi sekitar –0.1 mata peratusan. Angka terlalu kecil untuk mengubah kos sara hidup, tetapi dari sudut psikologi ia besar.
Petrol barangan asas; sedikit turun memberi naratif bahawa kerajaan mendengar keresahan rakyat.
Namun, struktur baharu menolak kos kepada pengguna berat. Syarikat logistik serta keluarga besar melebihi kuota akan membayar harga pasaran, lalu memindahkan kos tambahan itu kepada pengguna lain.
Apa yang diselamatkan di pam akhirnya hilang di pasar raya atau bil bulanan. Kerajaan menagih populariti daripada pengumuman kecil ini, tetapi kesannya mungkin terhapus sebaik sahaja barangan asas lain kembali naik harga.
Ketirisan: Luka Lama Belum Pulih
Pada hari BUDI95 diumumkan, SPRM berjaya menumpaskan sindiket diesel bersubsidi bernilai RM247 juta. Bukti jelas bahawa subsidi pukal ialah pintu bocor fiskal serta ruang ekonomi gelap.
Pendigitalan MyKad bersama kuota bulanan memang langkah logik. Tetapi ia hanya berkesan jika diiringi audit telus serta hukuman keras. Tanpa itu, ketirisan hanya berubah wajah, bukan hilang daripada sistem.
Malaysia sudah terlalu lama membayar harga bagi ketirisan subsidi. BUDI95 sepatutnya menjadi titik mula menutup ruang, bukan sekadar mengubah bentuk kawalan.
Keadilan yang Kabur
BUDI95 menimbulkan persoalan keadilan. Isi rumah kaya dengan empat kereta berhak menikmati lebih liter subsidi berbanding keluarga miskin bermotosikal. Kuota 300 liter tidak membezakan antara orang kaya atau miskin, hanya mengira lesen memandu.
Kerajaan memilih kesederhanaan pentadbiran kerana mudah dilaksanakan serta mudah dipasarkan sebagai naratif politik. Tetapi paradoks kekal: yang banyak terus mendapat lebih; yang sedikit terus terpinggir.
Inilah masalah asas subsidi petrol sejak dulu, ia bersifat regresif. Selagi ia tidak diubah kepada bentuk lebih terarah, jurang manfaat akan terus melebar.

Petrol Murah, EV Lemah
Malaysia menyasarkan 15% jualan kenderaan baharu menjelang 2030 datang daripada EV atau hibrid.
Sehingga Ogos 2025, kenderaan elektrik menyumbang kira-kira 4.4% daripada pendaftaran bulanan, manakala infrastruktur pengecas awam telah melepasi 4,100 unit dan masih belum mencapai sasaran 10,000 pada 2025.
Dengan petrol kekal di bawah RM2 seliter, mengapa rakyat harus beralih kepada EV? Subsidi petrol terus memanjangkan hayat enjin pembakaran dalaman, sedangkan kerajaan melaungkan peralihan tenaga.
Paradoks ini jelas: Malaysia membina kilang EV, tetapi pada masa sama mengekalkan petrol murah untuk rakyat.
Tanpa penyaluran semula penjimatan ke arah tenaga baharu, janji karbon neutral 2050 hanya akan tinggal slogan.
Petrol Tidak Pernah Murah
RM8 bilion bukan angka kecil. Ia mampu membina rangkaian MRT, memasang ribuan pengecas EV, atau membiayai bas elektrik.
Tetapi jika ia hanya menampal defisit, ia menjadi candu politik yang menenangkan rakyat seketika sambil mengekalkan ketagihan lama.
Petrol murah hanyalah ilusi. Di pam, ia RM1.99. Tetapi dalam fiskal, ia mahal. Dalam iklim, ia mahal. Dalam masa depan negara, ia terlalu mahal.
BUDI95 menangguh masalah, bukan menyelesaikannya. Penjimatan yang gagal diterjemahkan kepada pelaburan sebenar menjadikan Malaysia terus terikat dalam kitaran sama: petrol murah hari ini, tetapi kos lebih besar menanti esok. - DagangNews.com








