Strategi Kewangan atau ....? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi Kewangan atau ....?

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

Dalam pelaburan, peraturannya mudah: beli rendah, jual tinggi. Malah, budak sekolah yang menjual jajan pun faham konsep ini.

 

Ada yang menjual aset pada harga rendah, kemudian membelinya semula pada harga lebih tinggi. Lebih menarik, keputusan ini diangkat sebagai “strategi pelaburan jangka panjang.”

 

Malah, ada yang mempertahankan keputusan ini dengan hujah berikut:

"Penjualan dan pembelian semula adalah dua transaksi berasingan, jadi tidak ada isu."

 

Strategi ini bukan sahaja diterima, tetapi dipuji oleh mereka yang lebih cekap bermain angka daripada mengurus dana dengan baik.

 

Jika “jual murah, beli mahal” dianggap strategi baharu, di manakah logik pelaburan sebenar?

 

Atau kita sebenarnya sedang meraikan kecuaian, selagi angka keuntungan sementara kelihatan meyakinkan dalam laporan kewangan?

 

CFA Asset Manager Code: Baca, Faham, Tapi Tak Diguna?

CFA Institute’s Asset Manager Code wujud untuk memastikan pengurus dana:

 

  1. Mengutamakan pelabur – bukan mencantikkan angka dalam laporan tahunan.
  2. Bersikap telus – bukan menonjolkan keuntungan sementara sambil menyembunyikan kos sebenar.
  3. Membuat keputusan berasaskan analisis pasaran – bukan mencipta naratif bagi menutup langkah yang tidak masuk akal.

 

Namun, apabila kita melihat kes "jual murah, beli mahal" ini, jelas ada yang lebih gemar membaca PowerPoint mesyuarat berbanding membaca piawaian antarabangsa.

 

Sama ada ini keputusan yang silap atau hanya satu justifikasi yang direka, hakikatnya tetap sama, yang benar-benar mendapat manfaat bukanlah pemegang unit dana, tetapi mereka yang berada di dalam sistem itu sendiri.

 

Adakah CFA Asset Manager Code ini wujud untuk dipatuhi atau sekadar hiasan dalam laporan pematuhan yang hanya dirujuk apabila perlu?

 

Sebab jika logik ini terus dipertahankan, menjual rumah pada RM350,000 hari ini dan membelinya semula pada RM500,000 minggu depan patut dianggap genius.

 

Ini bukan pelaburan, ini seni menyusun angka sambil pemegang unit terus membayar harga kebodohan orang lain.

 

 

parafrasa

 

 

Apa Kata Nombor? Sebab Nombor Tak Pandai Menipu

Kita tak perlu percaya kepada naratif, tetapi kita boleh percaya kepada angka. Ini ialah gambaran bagaimana transaksi ini memberi kesan kepada pemegang unit:

 

Fasa

NAV Per Unit (RM)

TER (%)

Sharpe Ratio

Sebelum Transaksi

20.00

0.80

0.25

Selepas Jualan

21.00

0.78

0.31

Selepas Pembelian Semula

20.85

0.79

0.22

 

Apa yang ditunjukkan oleh angka ini? Tiada nilai sebenar yang dicipta. Kenaikan NAV hanyalah ilusi sebelum jatuh semula selepas pembelian semula pada harga lebih tinggi.

 

Keputusan transaksi bercanggah dengan logik pelaburan. Jika aset itu bernilai, mengapa dijual awal? Jika tidak, mengapa dibeli kembali pada harga lebih mahal?

 

Kos tetap wujud, tetapi pemegang unit tidak mendapat apa-apa. Yuran transaksi dan caj pengurusan terus berjalan, tetapi pulangan tidak sepadan dengan risiko tambahan.

 

Jika seorang penganalisis melihat ini sebagai kejayaan, dia bukan penganalisis, dia sekadar pembaca angka yang gagal memahami realiti.

 

Ya, tidak dinafikan, angka untung ada dicatatkan. Tetapi yang berubah hanyalah nombor dalam laporan, sedangkan nilai dana tetap terhakis.

 

Kegagalan Strategi Pengurusan Dana

Pengurus dana bukan sekadar pedagang biasa yang bertindak mengikut sentimen pasaran.

 

Mereka diamanahkan untuk membuat keputusan berasaskan logik, bukan sekadar mencipta angka yang kelihatan baik dalam laporan tahunan.

 

Mereka sepatutnya menjaga kepentingan pemegang unit, mematuhi mandat pelaburan, dan memastikan setiap transaksi dibuat dengan analisis risiko serta pulangan jangka panjang.

 

Tetapi di sini, kita melihat dua keputusan bercanggah dalam tempoh singkat.

 

Jika aset ini begitu bernilai, mengapa ia dijual terlalu awal?

 

Jika aset ini tidak bernilai, mengapa ia dibeli semula pada harga lebih tinggi?

 

Bagaimana mungkin satu organisasi bertindak seperti dua pihak yang tidak pernah berbincang, dan tetap mendakwa ini sebagai strategi?

 

Jawapannya? TIADA.

 

Ini bukan strategi, ini kegagalan yang diberi lesen besar kerana tiada siapa yang bertanya soalan yang betul.

 

Kenapa seperti BlackRock, Vanguard, State Street, dan Norges Bank Tak Buat Perkara Sama?

Jika strategi ini benar-benar hebat, mengapa institusi gergasi seperti BlackRock, Vanguard, State Street, Threadneedle Columbia, Northern Trust dan Norges Bank Investment Management tidak berlumba-lumba menirunya?

 

Sebab mereka tahu beli rendah, jual tinggi ialah asas pelaburan, bukan sekadar frasa menarik dalam laporan tahunan.

 

Mereka berpegang kepada prinsip asas pelaburan:

  • Mematuhi IFRS 9 dan IFRS 13, yang menuntut penilaian aset berdasarkan nilai pasaran sebenar.
  • Mengikuti Global Investment Performance Standards (GIPS), yang menghendaki ketelusan dalam setiap transaksi dan memastikan pemegang unit dana tidak dikelirukan dengan laporan yang memaparkan angka sementara yang mengaburkan realiti.
  • Mengamalkan CFA Institute’s Asset Manager Code secara ketat, dengan menekankan tanggungjawab pemegang amanah bagi memastikan setiap keputusan diambil berdasarkan kepentingan pelabur.

 

Institusi ini tidak akan sesekali menjual aset pada harga rendah hanya untuk membelinya kembali pada harga lebih tinggi.

 

Mereka memahami bahawa pelaburan bukan soal menampilkan keuntungan dalam satu suku tahunan sahaja, tetapi bagaimana keputusan dibuat untuk membawa pulangan yang stabil dalam jangka panjang.

 

 

parafrasa

 

 

Strategi Atau Seni Memperbodohkan Pasaran?

Menjual murah dan membeli mahal bukan strategi pelaburan, ia adalah seni memanipulasi angka supaya kegagalan kelihatan seperti kejayaan.

 

George Orwell pernah berkata, "In a time of deceit telling the truth is a revolutionary act."

 

Dan di sini, kita menyaksikan kebohongan yang disembunyikan dengan angka dan naratif, sementara realiti disapu ke bawah karpet.

 

Ini bukan pelaburan, ini seni memutar logik supaya kelihatan cerdik, sementara semua pihak yang bertanggungjawab hanya menonton tanpa mengubah apa-apa. - DagangNews.com

 

 Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat