SST menyasar golongan Maha Kaya tetapi tempias bagaimana? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SST menyasar golongan Maha Kaya tetapi tempias bagaimana?

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Malaysia tidak lagi menunggu belanjawan tahunan untuk menentukan untung nasib rakyat. Mulai 1 Julai 2025, setiap ringgit yang dibelanjakan bukan sekadar transaksi. Ia menjadi data. Setiap data dihantar terus ke dalam sistem kutipan fiskal.

 

Membeli ikan. Menempah katering. Menonton Netflix. Malah ketika mengurut badan. Semua ini bukan lagi urusan peribadi. Ia telah diserap ke dalam sistem pungutan. Dalam realiti baharu ini, anda bukan lagi pengguna. Anda adalah kod. Negara pula bukan lagi penjaga tetapi algoritma yang menghitung dan memungut.

 

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2025 bukan sekadar perluasan senarai cukai. Ia merupakan penstrukturan semula hubungan antara rakyat dengan negara. Rakyat dilihat sebagai nod data yang mesti dimaksimumkan hasilnya.

 

Seni Memungut Tanpa Kertas Undi

Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai Jualan)) 2025 atau PU(A) 170/2025 yang mewartakan perluasan cukai ini tidak pernah melalui perbahasan Dewan Rakyat. Tiada kertas putih. Tiada rundingan awam.

 

Tiada sesi penerangan yang memberi ruang kepada rakyat untuk memahami beban yang bakal ditanggung. Apa yang wujud hanyalah senarai panjang barang dan perkhidmatan yang digugurkan daripada senarai pengecualian, berkurangan daripada lebih 8,000 kepada sekitar 1,800 sahaja.

 

Langkah ini menimbulkan persoalan tentang hak rakyat untuk mengetahui, memahami dan menilai beban fiskal sebelum ia dikuatkuasakan secara sah. Dalam sistem yang mendakwa berlandaskan demokrasi, pungutan seharusnya hadir bersama penjelasan, bukan hanya melalui pewartaan.

 

Kini, garam, gula mentah, air laut dan barangan basah yang sebelum ini dianggap tidak wajar dicukai akan dikenakan 5% cukai jualan. Tiada pemberitahuan dalam resit. Tiada perincian kadar di kaunter. Cukai diserap masuk ke dalam harga, menjadikan beban itu ghaib tetapi tetap nyata. Inilah sihir fiskal abad ini. Barang kelihatan biasa. Bebannya luar biasa.

 

Walaupun kadar kelihatan rendah, sistem SST mengenakan cukai pada setiap peringkat pengeluaran – daripada pengilang kepada pemborong, pemborong kepada peruncit, akhirnya kepada pengguna. Ini mencipta kesan bertindan. Dalam istilah pasar malam, ia bermakna harga barang naik tanpa penjelasan yang kelihatan.

 

Menyasar Maha Kaya

Dalam sistem ini, golongan terkaya telah lama lari dari radar. Mereka melabur dalam struktur luar pesisir, menikmati pengecualian yang disusun oleh penasihat cukai profesional. Golongan termiskin pula tidak cukup ‘komersial’ untuk diperah. Yang terasa ialah kelas pertengahan.

 

Golongan M40 bandar bakal menjadi penyumbang utama hasil. Setiap suapan, setiap transaksi dan setiap keperluan hidup seperti kesihatan, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan harian kini menjadi medan kutipan yang sah. 

 

Mereka hidup dalam sebuah realiti yang dimurnikan secara halus. Subsidi ditarik perlahan-lahan sementara cukai ditambah tanpa bunyi, diserap masuk ke dalam harga yang telah dibersihkan daripada sebarang label “cukai”.

 

Maka yang ditindas bukan hanya dompet mereka. Yang lebih parah ialah kesedaran mereka, yang tidak lagi mempersoal mengapa harga sentiasa naik, tetapi hanya mampu untuk belajar menyesuaikan diri.

 

Kod yang Tidak Dilihat, Beban yang Tidak Dirasa

Dahulu, cukai hanya menyentuh kemewahan. Kini, hampir semua aspek kehidupan dikomersialkan. Membeli ikan salmon atau avokado, menggunakan perkhidmatan e-wallet, sewaan khemah kahwin, atau berurusan dengan broker saham, semuanya menjadi sasaran SST.

 

Perbezaan terbesar antara GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan SST adalah psikologi pengguna. GST dipaparkan dalam resit. SST dibenamkan dalam harga. Maka apabila harga barang naik, rakyat tidak melihat perkataan “cukai”, sebaliknya melihat nombor baharu yang lebih tinggi.

 

Peniaga menjadi kambing hitam. Farmasi dipersalahkan. Peniaga pasar malam dikecam. Tetapi yang menyusun kod tarif dan meletakkan cukai bukan peniaga, tetapi sistem. 

 

Di sinilah negara telah berjaya mencipta ilusi. Pengguna rasa bebas, tetapi mereka sebenarnya terkurung. Harga bukan lagi ditentukan oleh pasaran, tetapi oleh struktur kod tarif yang tidak difahami oleh rakyat. 

 

Ketika kemarahan semakin meningkat, sistem kekal senyap. Ia terus memungut tanpa perlu menjawab.

 

Ketidaktentuan Fiskal Separuh Kedua 2025

Perluasan SST tidak datang bersendirian. Ia diiringi oleh gelombang rasionalisasi subsidi dan tekanan inflasi yang sedang membentuk semula landskap fiskal negara secara senyap tetapi menyeluruh.

 

Antara langkah yang dijangka memberi kesan langsung kepada rakyat termasuk:

•    Penamatan subsidi ayam, telur dan minyak masak secara berperingkat.

•    Pengenalan harga dua peringkat untuk petrol RON95 kepada 15% pengguna tertinggi dan warga asing.

•    Pengenaan cukai pada perkhidmatan digital seperti e-wallet, kad kredit dan transaksi kewangan.

•    Penetapan kadar dasar OPR sekitar 3% sehingga Q12026 untuk mengekang permintaan pengguna.

 

Akibatnya, inflasi makanan diunjur meningkat ke paras 4% hingga 5% menjelang hujung tahun. Indeks Harga Pengguna pula dijangka naik daripada 2.3% kepada sekitar 3.2% hingga 3.5% antara Ogos hingga Disember. Ini berpunca daripada cukai bertingkat ke atas bahan mentah, perkhidmatan digital, dan pelbagai barangan pengguna harian.

 

Rakyat bukan sahaja membayar lebih untuk keperluan asas seperti ayam dan telur. Mereka juga dicukai ketika membayar bil, memindahkan wang, atau mengakses platform digital. Daripada pam minyak ke pasar tani, cukai dan subsidi kini bergerak serentak menyedut baki pendapatan boleh guna rakyat.

 

eksponen


 

Unjuran ini adalah hasil simulasi makroekonomi berdasarkan pemodelan impak cukai berganda pasca SST, dan tidak merujuk kepada sebarang angka rasmi daripada Bank Negara Malaysia atau Jabatan Perangkaan.

 

Apa yang bermula sebagai penyelarasan cukai kini berubah menjadi tekanan menyeluruh ke atas keseimbangan ekonomi isi rumah.

 

Malaysia bukan sekadar menukar formula fiskal. Kita sedang menyaksikan satu fasa baru di mana rakyat menjadi subjek utama percubaan fiskal, tanpa pilihan, tanpa suara, dan tanpa jaminan bahawa beban ini akan menghasilkan kesejahteraan sebenar.

 

Bila Rakyat Membaca Kod Lebih Fasih daripada Rukun Negara

SST 2025 bukan lagi sekadar mekanisme pungutan, tetapi eksperimen senyap terhadap had psikologi rakyat. Bila keperluan asas seperti makanan, pendidikan dan kesihatan dikomersialkan melalui cukai yang tersembunyi dalam harga, sistem ini tidak lagi bersifat neutral. Ia menjadi regresif, tidak telus, dan membebankan golongan yang tidak sedar mereka sedang dibebankan. 

 

Tanpa sempadan antara keperluan dan kehendak, tanpa sistem kredit input, dan tanpa ketelusan harga, SST berisiko menjadi lebih menyakitkan daripada GST – bukan kerana kadarnya, tetapi kerana beban itu hadir tanpa disedari, diserap ke dalam kehidupan seharian seperti bayang yang tidak berwajah.

 

Bila rakyat mula membaca PU(A) 170/2025 lebih teliti daripada menyemak baki akaun bank sendiri, maka cukai bukan lagi sekadar angka. Ia adalah lambang kuasa yang tidak perlu meninggikan suara, cukup sekadar terus dikutip selagi rakyat mampu membisu dengan tertib. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

DISCLAIMER:
Artikel ini merupakan ulasan analitik yang disusun secara bebas berdasarkan dokumen rasmi dokumen rasmi seperti PU(A) 170/2025 dan panduan SST Kastam yang tersedia serta sumber-sumber lain percukaian yang tersedia kepada umum. Segala hujah dan tafsiran adalah hasil pembacaan dan penelitian penulis, tanpa sebarang kaitan atau pengesahan daripada mana-mana institusi. Ia tidak ditulis untuk memberikan arahan kewangan atau hukum, sebaliknya bertujuan membuka ruang pemikiran terhadap cara sistem fiskal dibentuk dan dijalankan. Sebarang tindakan susulan adalah tanggungjawab pembaca yang arif menilai maklumat dalam konteks sebenar.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN