Selat Melaka bukan sekadar laluan air antara Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Ia ialah nadi yang menghubungkan ekonomi, keselamatan dan maruah geopolitik Asia. Dalam satu jalur laut yang sempit ini bertemu minyak, perdagangan, ketakutan dan strategi negara-negara besar.
Apabila dunia bergelora di Teluk Hormuz, mata semua pihak kembali tertumpu ke Selat Melaka kerana kedua-duanya ialah “chokepoint” yang boleh mengubah harga, bekalan dan sentimen pasaran global dalam sekelip mata.
EIA menyatakan Selat Hormuz kekal kritikal kepada aliran minyak dan gas ke Asia, manakala Reuters menggambarkan Selat Melaka sebagai laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia serta terbesar dalam kategori transit minyak.
Krisis di Hormuz mengajar dunia satu perkara penting: apabila sebuah pintu minyak digoncang, pintu yang lain akan turut diperhatikan. EIA menganggarkan 84% minyak mentah dan kondensat serta 83% LNG yang melalui Hormuz pada 2024 menuju ke pasaran Asia, dengan China, India, Jepun dan Korea Selatan antara penerima utama.
Ini bermakna apa-apa gangguan di Teluk Parsi bukan isu Timur Tengah semata-mata, sebaliknya terus menyentuh Asia Timur dan Asia Tenggara. Dalam logik perdagangan tenaga, Selat Melaka menjadi sambungan penting selepas Hormuz kerana kapal yang datang dari Barat masih perlu melalui perairan ini untuk sampai ke pasaran Asia Timur.
Di sinilah hubungan Hormuz dan Melaka menjadi sangat nyata. Apabila Hormuz tertekan, Selat Melaka menerima gelombang kedua iaitu kebimbangan terhadap bekalan minyak, kenaikan kos penghantaran dan pencarian laluan alternatif yang tidak mudah.
Tekanan Rantaian Tenaga Asia
Reuters melaporkan, Selat Melaka ialah “world’s busiest waterway for international trade”, sepanjang kira-kira 900 kilometer dan pada 2025 lebih 102,500 kapal melaluinya. Laporan itu turut menyebut, pada separuh pertama 2025, kira-kira 23.2 juta tong minyak sehari melaluinya, bersamaan 29% aliran minyak maritim global.
Dalam bahasa mudah, jika Hormuz ialah pintu masuk utama tenaga dari Barat, Melaka ialah lorong sempit yang membawa tekanan itu ke jantung Asia.
Di sinilah “Malacca Dilemma” China menjadi sangat penting. Kajian Chen Shaofeng menjelaskan bahawa istilah ini merujuk kepada keadaan sensitif apabila China mempunyai kepentingan ekonomi dan strategik yang besar di Selat Melaka, tetapi hanya mempunyai pengaruh yang terhad ke atas laluan itu.
Kajian itu juga menyebut, sekitar 80% import minyak China perlu melalui selat tersebut dan kebergantungan ini berubah daripada kekuatan perdagangan menjadi kelemahan strategik.
Inilah punca sebenar kebimbangan Beijing: bukan hanya soal minyak, tetapi soal siapa yang boleh menekan nadi ekonominya ketika dunia sedang tegang.
Ketakutan itu masuk akal kerana Selat Melaka bukan laluan yang luas dan selesa. Reuters menyebut bahagian paling sempitnya hanya 2.7 kilometer, dengan kawasan tertentu yang cetek dan padat dengan lalu lintas. Laluan sempit seperti ini sangat mudah terdedah kepada kesesakan, kemalangan, jenayah maritim dan tekanan politik.
“Malacca Dilemma”
Dalam undang-undang laut antarabangsa, kapal dan pesawat menikmati hak “transit passage” melalui selat antarabangsa, dan laluan itu tidak boleh dihalang secara sewenang-wenangnya. Namun, hak undang-undang tidak pernah menghapuskan kebimbangan geopolitik; ia sekadar meletakkan garis panduan.
Bagi China, selat yang terbuka atas kertas tetap boleh menjadi titik lemah jika kuasa luar memiliki keupayaan memantau, mempengaruhi atau mengganggu aliran di sekelilingnya.
Atas kerana itu Beijing berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap laluan ini. Kajian akademik tersebut menyebut beberapa langkah yang diambil China termasuk memodenkan kuasa laut, mempelbagaikan sumber import tenaga dan membina laluan alternatif melalui daratan serta pelabuhan lain.
Saya melihat semua ini bukan sekadar dasar ekonomi biasa, tetapi usaha China melepaskan dirinya daripada satu “titik cekik” strategik.
Namun, usaha sedemikian tidak pernah benar-benar memadamkan kebimbangan. Selagi ekonomi China terus bergantung kepada perdagangan laut dan import tenaga, Selat Melaka tetap berada dalam pusat pertimbangan keselamatan negara itu.
Di pihak lain, Asia Tenggara tidak duduk diam. Kawasan ini bukan sekadar ruang lalu lintas, tetapi juga ruang tanggungjawab.
Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand bekerjasama dalam Malacca Straits Patrol, manakala kajian UKM menyatakan Indonesia memperuntukkan sumber dan aset yang besar untuk rondaan terkoordinasi bersama Malaysia dan Singapura.
Persaingan Kuasa Besar
Ini menunjukkan bahawa negara-negara pesisir memahami satu perkara: Selat Melaka mesti kekal terbuka, selamat dan tidak menjadi alat tawar-menawar kuasa besar.
Inilah kekuatan sebenar Asia Tenggara, bukan berlagak gagah sebagai empayar, tetapi mempertahankan kestabilan melalui kerjasama.
Atas sebab itu juga hubungan pertahanan Amerika Syarikat dan Indonesia dilihat sebagai sebahagian daripada permainan strategik yang lebih besar, walaupun ia belum semestinya bermaksud pakatan muktamad.
Reuters melaporkan, AS dan Indonesia sedang membincangkan cadangan akses pesawat tentera AS melalui ruang udara Indonesia, tetapi Kementerian Pertahanan Indonesia menegaskan belum ada persetujuan akhir dan draf itu masih bersifat awal serta tidak mengikat.
Dalam masa yang sama, Jabatan Negara AS menyatakan asas kerjasama keselamatan dengan Indonesia memang sudah wujud.
Semua ini menandakan bahawa Washington semakin serius melihat Asia Tenggara sebagai ruang penting dalam persaingan kuasa dengan China.
Asia Tenggara Tidak Lagi Di Pinggir Dunia
Pada akhirnya, Selat Melaka ialah cermin masa depan dunia. Ia bukan milik satu kuasa, tetapi semua kuasa ingin memastikan pengaruh mereka dirasai di sekelilingnya.
Selat ini menjadikan Asia Tenggara pusat geopolitik global kerana di sinilah perdagangan, tenaga dan keselamatan saling berkait.
Dan apabila China bimbang nadi ekonominya boleh disekat di Melaka, dunia memahami bahawa persaingan kuasa besar bukan lagi sesuatu yang jauh di Lautan Atlantik atau di padang pasir Timur Tengah.
Ia sudah berada di halaman kita sendiri, di perairan yang setiap hari dilalui kapal-kapal dunia. Selagi Hormuz bergolak dan Selat Melaka kekal kritikal, selagi itulah Asia Tenggara akan terus menjadi pentas yang tidak boleh dipandang ringan. - DagangNews.com








