Pada tahun 2004 ketika Wasiyyah ditubuhkan, saya sudah pun tahu untuk membolehkan dakwah fikah mawarith ini disebarkan dengan lebih meluas dalam masyarakat, saya memerlukan penggerak yang ramai.
Penggerak ini, walau apa pun latar belakangnya, akan diberikan latihan agresif berdasarkan modul latihan yang dibangunkan. Merekalah yang akan bergerak aktif dalam masyarakat bagi mendidik ilmu fikah mawarith ini dan seterusnya memberikan rumusan kepada masalah penghartaan masyarakat melalui perkhidmatan Wasiyyah.
Atas sebab itu, daripada titik awal penubuhan Wasiyyah, kami sudah pun bekerja keras untuk membina model terbaik penggerak yang kemudiannya kami panggil 'daie'.
Mengapa daie dan bukannya ejen? Kerana pada Wasiyyah, apa yang kami lakukan ini ialah satu kerja dakwah dan bukan sekadar satu perniagaan.
Konsep Menang-Menang-Menang-Menang-Menang (Lima Pihak)
Konsep menang-menang-menang-menang-menang (lima pihak menang) diaplikasi sepanjang proses pembinaan model ini. Kami akan sentiasa memastikan agama, negara, masyarakat, daie, dan syarikat semuanya menang dalam model ini. Tiada satu pihak pun yang rugi.
Untuk mencapai keseimbangan ini bukanlah mudah seperti yang disangka. Oleh sebab tiada contoh yang boleh diikuti dalam pasaran, Wasiyyah terpaksa menginovasi model ini dan bertindak secara 'cuba jaya' (trial and error). Kami mencuba pelbagai formula.
Ada masanya kami berjaya, namun banyak kali juga kami menemui kegagalan. Semuanya kami terima sebagai sebahagian daripada lengkok pembelajaran kami.
Alhamdulillah, selepas 21 tahun beroperasi, keseimbangan ini nampaknya semakin berjaya dicapai.
Agama untung kerana fikah mawarith kini merupakan ilmu yang subur dalam masyarakat berbanding ketika Wasiyyah baru bermula tahun 2004 dahulu.
Negara untung kerana harta pusaka yang berjaya diturun milik dengan cepat boleh digembleng potensi ekonominya.
Masyarakat untung kerana perkhidmatan Wasiyyah yang cepat, tepat, dan PERCUMA membantu waris menerima harta pusaka dengan cepat dan meminimumkan risiko perbalahan keluarga.
Daie untung kerana model perkhidmatan inovatif Wasiyyah memudahkan mereka menjual dan mendapat pendapatan lumayan daripadanya.
Wasiyyah juga untung kerana perniagaan kami sentiasa berkembang dari tahun ke tahun (tidak pernah rugi semenjak penubuhan pada 2004).
Insentif Duniawi: Percutian Bertaraf Dunia
Saya sebenarnya baru pulang daripada rombongan ke Yunnan, China dari 8 hingga 13 November 2025 bersama daie-daie Wasiyyah. Mereka ini ialah kumpulan daie yang telah berjaya mencapai tahap yang ditetapkan untuk menikmati insentif percutian ini. Selama lima hari, rombongan kami seramai 69 orang telah melawat Kunming, Dali, dan Lijiang. Satu pengalaman baharu yang menyeronokkan.

China mempunyai bentuk muka bumi yang sangat menakjubkan dan makanan yang enak, tetapi keadaan tandas awam mereka tidaklah seperti kita di Malaysia. Apa pun, saya gembira kerana semua ahli rombongan seronok dan menikmati sepenuhnya keindahan alam ciptaan Allah SWT. Bermusafir seperti ini membantu kita mensyukuri nikmat dan mengagumi kekuasaan-Nya. Keseluruhan kos rombongan ini dibiayai sepenuhnya oleh Wasiyyah sebagai tanda penghargaan kepada prestasi membanggakan para daie berkenaan.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama trip insentif seperti ini Wasiyyah anjurkan. Kami pernah menghadiahkan trip insentif seperti ini ke Istanbul, Cappadocia, Seoul, Perth, umrah, Indonesia, Thailand, Taiwan, dan banyak lagi percutian lain ke destinasi menarik di dalam dan luar negara.
Selain daripada daie menerima komisen sehingga 15 tahun, insentif percutian seperti ini juga ditawarkan bagi memastikan daie Wasiyyah sentiasa bermotivasi untuk bekerja dengan lebih keras, mencapai sasaran yang ditetapkan, dan membantu seberapa ramai masyarakat yang boleh.
Namun, saya selalu tegaskan kepada para daie Wasiyyah, insentif percutian ini bukanlah objektif utama kita membuat kerja ini. Ia hanyalah satu bonus. Kita tidak boleh lari daripada niat utama kita, iaitu untuk membantu umat Islam merancang harta mengikut kaedah Syariah dan menyelesaikan masalah harta pusaka yang tertunggak hari ini. Insentif kewangan dan percutian ini hanyalah manfaat duniawi semata-mata.
Manfaat Ukhrawi: Kepuasan Berbakti kepada Umat
Jadi, apakah sebenarnya manfaat terbesar menjadi daie Wasiyyah? Saya ini agak berbeza daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat amanah lain dalam pasaran. Saya bukan CEO makan gaji yang sekadar duduk di pejabat merancang strategi dan hanya sesekali menyampaikan seminar atau bertemu masyarakat.
Saya sendiri selama belasan tahun bermusafir ke seluruh Malaysia dan turun sendiri ke dalam masyarakat bagi 'melibatkan diri' (engage) masyarakat, memberi pendidikan dan solusi kepada permasalahan harta pusaka mereka. Saya tahu apa masalah sebenar masyarakat dalam urusan harta pusaka. Pengalaman ini banyak membantu saya memahami landskap industri dengan lebih baik.
Sehingga hari ini, saya masih memberi perkhidmatan peribadi kepada beberapa pelanggan yang sudah pun menjadi kawan rapat saya semenjak puluhan tahun yang lepas. Saya menjadi penasihat peribadi mereka. Apa sahaja urusan berkaitan penghartaan, mereka akan rujuk kepada saya terlebih dahulu.
Oleh sebab saya sendiri tahu denyut nadi urusan harta pusaka dalam masyarakat, saya faham betapa signifikannya untuk saya memberikan maklumat yang tepat dan perkhidmatan yang terbaik.
Atas sebab itu, saya bersungguh-sungguh bekerja tanpa henti bagi memastikan masyarakat mendapat manfaat maksimum daripada perkhidmatan Wasiyyah. Kesemua perkhidmatan kami bersifat inovatif dan dibangunkan mengikut kerangka patuh Syariah sepertimana yang ditetapkan oleh Panel Syariah kami.
Manfaat terbesar menjadi daie Wasiyyah sebenarnya ialah kepuasan yang dicapai apabila kita tahu usaha kita membantu umat Islam merancang harta di Wasiyyah ini bakal membantu ibu tunggal dan anak-anak yatim menerima harta pusaka yang ditinggalkan secara tepat, mudah, dan PERCUMA!
Untuk pengetahuan para pembaca, setakat pengetahuan saya, Wasiyyah ialah satu-satunya syarikat amanah yang mempunyai rekod terbukti (track record) memberi perkhidmatan pengurusan harta pusaka secara PERCUMA kepada masyarakat.
Saya selalu katakan kepada daie Wasiyyah, apabila ada pelanggan mereka meninggal dunia dan mereka melihat di depan mata sendiri bagaimana perkhidmatan kita memberi kemudahan kepada waris-waris, barulah mereka akan sedar betapa pentingnya peranan kita dalam masyarakat.
Saya telah melalui banyak pengalaman sebegini. Ada waris-waris yang mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Wasiyyah dengan linangan air mata. Apa yang lebih menyentuh emosi mereka ialah apabila TIADA FI dikenakan kepada mereka untuk perkhidmatan ini. Kepuasan berbakti kepada masyarakat inilah yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit.
Sebagai daie Wasiyyah, pastinya manfaat terbesar kepada kita bukanlah manfaat kewangan atau percutian percuma, sebaliknya manfaat ukhrawi dalam bentuk pahala yang bakal diraih kerana membantu mendaulatkan fikah mawarith dan membantu umat Islam merancang harta. Itulah yang menjadi dambaan kita. Semoga Allah SWT menerima semua kerja kita ini sebagai amal kebaikan kita di dunia, aameen. - DagangNews.com








