Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, banyak pihak meletakkan harapan besar agar dasar fizikal negara bukan sahaja mampu memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memberikan nafas baharu kepada agenda peralihan tenaga negara.
Dalam konteks ini, Persatuan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Alam Sekitar (PINTARE) tampil dengan pandangan dan cadangan yang jelas tentang keperluan belanjawan seterusnya, terutamanya dalam memastikan industri tenaga solar terus berkembang pesat dan memberi manfaat meluas kepada rakyat Malaysia.
PINTARE
PINTARE merupakan sebuah entiti yang menggabungkan kepakaran, pengalaman, serta jaringan industri dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, khususnya tenaga solar.
Sejak penubuhannya, PINTARE konsisten memperjuangkan dasar yang inklusif dan berpandangan jauh bagi memastikan teknologi solar dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat, daripada individu, komuniti, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), hinggalah ke sektor korporat besar.
Aspirasi utama PINTARE adalah untuk melihat Malaysia beralih daripada kebergantungan bahan api fosil kepada sistem tenaga yang lebih hijau, mampan, dan berdaya saing di peringkat serantau.
Perjuangan ini turut digerakkan oleh barisan kepimpinan PINTARE, termasuk Ir. Ts. Ahmad Fathi Zainazlan selaku Timbalan Pengerusi, yang sentiasa lantang menyuarakan kepentingan dasar-dasar mesra tenaga boleh diperbaharui demi manfaat negara.
Harapan pada Belanjawan 2026
Belanjawan 2026 dianggap sebagai medan penting untuk menentukan hala tuju peralihan tenaga negara. PINTARE berharap kerajaan akan memperuntukkan dana yang signifikasi bukan sahaja untuk memperkasa infrastruktur tenaga, tetapi juga untuk memperkukuh rangka kerja insentif kepada rakyat.
Belanjawan ini seharusnya memberi tumpuan kepada keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar, dan kesejahteraan rakyat.
Dalam erti kata lain, belanjawan kali ini perlu dilihat sebagai pemacu transformasi tenaga negara, bukannya hanya dokumen fizikal semata-mata.
Galakan pemasangan solar kepada orang awam termasuk penjawat awam
Salah satu cadangan utama PINTARE adalah agar kerajaan memperkenalkan skim galakan khusus bagi orang awam, termasuk penjawat awam.
Insentif seperti pinjaman mudah, pembiayaan tanpa faedah, atau potongan gaji bulanan secara automatik untuk pemasangan sistem solar di kediaman boleh membuka ruang lebih luas kepada rakyat.
Penjawat awam sebagai kumpulan berpendapatan tetap boleh dijadikan model awal yang membuktikan bahawa tenaga solar mampu mengurangkan bil elektrik rumah tangga dalam jangka panjang.
Jika inisiatif ini berjaya, ia akan mendorong masyarakat umum untuk turut serta, sekali gus mempercepat kadar penggunaan solar domestik.
Insentif rebat perlu diperkenalkan semula
PINTARE turut menegaskan perlunya kerajaan memperkenalkan semula skim rebat untuk pemasangan solar yang pernah dilaksanakan pada peringkat awal pembangunan industri ini.
Rebat berfungsi sebagai pemangkin utama bagi mengurangkan kos permulaan pemasangan yang sering menjadi halangan terbesar kepada pengguna.
Dengan adanya rebat, rakyat akan lebih terdorong untuk membuat pelaburan jangka panjang ini, apatah lagi ketika kos sara hidup semakin mencabar. Selain itu, insentif ini juga mampu mencipta ekosistem yang lebih mesra pelabur dalam industri solar tempatan.
Kuota pemasangan solar perlu ditambah dan penglibatan sektor kerajaan sebagai institusi contoh
Dalam pada itu, PINTARE melihat keperluan untuk kerajaan menambah kuota pemasangan solar di bawah program Net Energy Metering (NEM). Kuota yang ada kini sering habis dalam tempoh singkat, menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.
Tambahan kuota akan membolehkan lebih ramai rakyat meraih manfaat daripada program ini. Pada masa sama, PINTARE mencadangkan agar sektor kerajaan sendiri menjadi institusi contoh melalui pemasangan solar di bangunan-bangunan kerajaan, sekolah, hospital, serta pejabat daerah.
Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos operasi, malah memberi isyarat kuat bahawa kerajaan serius dalam agenda tenaga boleh diperbaharui.
Inisiatif NETR perlu ditambah baik dan diteruskan
National Energy Transition Roadmap (NETR) yang diumumkan sebelum ini merupakan pelan penting dalam peralihan tenaga negara.
Namun, PINTARE berpendapat pelaksanaan NETR perlu lebih diperincikan dengan garis masa jelas, keutamaan projek, serta mekanisme pemantauan yang telus.
Belanjawan 2026 wajar memperuntukkan dana tambahan untuk memperkukuh pelaksanaan NETR agar setiap inisiatif yang dirancang benar-benar dapat direalisasikan. Penambahbaikan NETR juga harus memberi penekanan kepada penglibatan rakyat biasa, bukan hanya syarikat besar.
Inklusiviti kepada pemaju projek solar kecil dengan konsep solar park bersama GLC seperti TNB
Selain itu, inklusiviti dalam pembangunan industri solar juga perlu menjadi fokus Belanjawan 2026. PINTARE mencadangkan agar pemaju projek solar kecil diberikan peluang melalui konsep Solar Park yang dilaksanakan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta syarikat tempatan berpengalaman.
Kerjasama ini akan membolehkan pemaju kecil menikmati infrastruktur sokongan yang lebih kukuh sambil memastikan projek-projek berskala kecil tidak terpinggir.
Dengan penglibatan pemain tempatan seperti Solar Timur, model ini juga mampu meningkatkan daya tahan industri solar negara kerana tidak hanya bergantung kepada pemain besar semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada kolaborasi yang lebih inklusif.
Belanjawan tambahan kepada TNB bagi membangunkan Grid ASEAN
Akhir sekali, PINTARE turut menggesa agar kerajaan memperuntukkan belanjawan tambahan kepada TNB bagi membangunkan Grid ASEAN.
Projek ini bukan sahaja membuka ruang tanah baharu untuk tujuan pembangunan tenaga solar, malah membolehkan Malaysia menjadi hab tenaga bersifat serantau.
Melalui Grid ASEAN, tenaga boleh diperbaharui termasuk solar boleh dieksport ke negara jiran, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara. Ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam pasaran tenaga bersih di Asia Tenggara.
Rakyat dapat manfaat
Secara keseluruhan, hajat PINTARE dalam Belanjawan 2026 adalah jelas: memastikan rakyat mendapat manfaat langsung daripada teknologi solar, memperkukuh pelan peralihan tenaga, serta membuka peluang kepada semua pihak untuk terlibat dalam industri ini.
Dengan sokongan dasar fiskal yang tepat, Malaysia bukan sahaja dapat mencapai matlamat tenaga bersih, malah meletakkan dirinya sebagai kuasa utama dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui serantau.
Ir. Ts. Ahmad Fathi Zainazlan, Timbalan Pengerusi PINTARE, menegaskan bahawa kerjasama inklusif antara kerajaan, GLC, syarikat tempatan dan pemaju kecil mampu memperkukuh daya saing industri solar negara.
Belanjawan 2026 diharap akan menjadi bukti komitmen kerajaan untuk mengangkat tenaga solar sebagai pemacu kemakmuran ekonomi hijau Malaysia. - DagangNews.com








