Petrol, Ringgit dan Reformasi: Membaca isyarat BUDI95 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petrol, Ringgit dan Reformasi: Membaca isyarat BUDI95

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Apa yang lebih berharga? 61 sen di pam atau keyakinan pasaran terhadap disiplin fiskal negara? BUDI95 cuba menjawabnya dengan memisahkan harga subsidi daripada harga pasaran.

 

Warganegara berlesen memandu mendapat RON95 pada Ringgit Malaysia 1.99 seliter hingga 300 liter sebulan, manakala bukan warganegara dikenakan RM2.60. Di mata pengguna, ia sekadar perbezaan harga.

 

Tetapi di mata fiskal dan pasaran, ia adalah tanda bahawa Malaysia akhirnya bersedia menukar ketagihan subsidi dengan kawalan bersyarat.

 

Hari Pertama dan Seterusnya

Kerajaan merekodkan 11.5 juta liter bernilai RM22.9 juta pada 28 September 2025. Sehari selepas itu, jumlah meningkat dua kali ganda kepada 21.8 juta liter dengan transaksi RM43.7 juta.

 

Dalam tempoh empat hari, nilai terkumpul melepasi RM91 juta melibatkan hampir tiga juta pengguna.

 

Lonjakan pantas ini bukan sekadar tanda penerimaan rakyat yang meluas, tetapi juga bukti ketelusan data yang tidak pernah dicapai di bawah model lama.

 

Ia memperlihatkan anjakan struktural daripada subsidi pukal kepada mekanisme yang disaring melalui identiti digital.

 

Mekanisme Yang Membezakan

BUDI95 bergantung pada padanan data MyKad dan JPJ. Kelayakan dan kuota 300 liter dipantau automatik, termasuk laluan rayuan bagi kelompok khusus.

 

Kerajaan turut memaklumkan isu peratus kecil pemegang lesen dengan rekod MyKad lama yang perlu dikemas kini di kaunter JPJ supaya sistem dapat mengesahkan warganegara.

 

Dalam masa sama, kira-kira 900,000 pemegang lesen warga asing dikecualikan daripada subsidi, satu keputusan yang menyasar kebocoran rentas negara.

 

Sebaliknya, era Najib Razak 2009 hingga 2014 mengekalkan kawalan harga pukal di pam tanpa semakan individu. Harga RON95 dikekalkan sekitar RM1.90 hingga RM2.10 sehingga kenaikan 20 sen pada 3 September 2013. Larangan kenderaan asing mengisi RON95 dilaksana sejak Ogos 2010 tetapi penguatkuasaan bersifat manual.

 

Apabila harga minyak dunia merosot pada hujung 2014, subsidi petrol dan diesel dimansuhkan dan harga diapungkan mulai 1 Disember 2014.

 

Minyak dan Ringgit

Perbandingan yang adil memerlukan konteks harga minyak dan kadar tukaran.

 

Pada 1 hingga 2 Oktober 2025, Brent berada sekitar AS$65.5 hingga AS$66.3 setong. Pada 2012, purata Brent mencecah sekitar AS$111.7, antara punca beban subsidi yang tinggi ketika itu.

 

Data ini menerangkan mengapa subsidi pukal menekan fiskal apabila minyak mahal, manakala subsidi bersasar lebih terkawal dalam rejim harga sederhana.

 

Kos efektif tidak terlepas daripada kesan tukaran mata wang. Setakat 2 Oktober 2025, rujukan BNM menunjukkan kadar 1 dolar AS bersamaan Ringgit Malaysia 4.20.

 

Jurang BUDI95 sebanyak 61 sen seliter bersamaan lebih kurang 0.61 sen bahagi RM4.20 iaitu sekitar 0.145 dolar per liter. Ditukar ke asas gelen, 0.61 didarab 3.785 bersamaan RM2.31 setiap gelen atau sekitar 0.55 dolar pada kadar yang sama.

 

Pengiraan ini membantu menilai kesan campur tangan harga pada mata wang rujukan serantau.

 

Saiz Fiskal dalam Ringgit Malaysia dan dolar AS

Kerajaan menganggarkan perbelanjaan BUDI95 sekitar RM11 bilion setahun, dengan penjimatan RM2.5 hingga RM4 bilion hasil pengecualian bukan warganegara dan penetapan kuota.

 

Pada kadar 4.20, RM11 bilion menghampiri AS$2.6 bilion. Ini ketara lebih kecil daripada pengalaman subsidi pukal.

 

Skala fiskal pada era Najib Razak jauh lebih besar. Beliau ketika itu menegaskan bahawa subsidi bahan api sahaja mencecah RM25 bilion pada 2012, bersamaan hampir 13.6% daripada keseluruhan Belanjawan.

 

Pada 2013, kenaikan 20 sen dijangka menjimatkan RM1.1 bilion dalam tahun tersebut dan RM3.3 bilion pada 2014.

 

Akhirnya, pemansuhan subsidi mulai 1 Disember 2014 dijangka menjimatkan hampir RM20 bilion setahun. Angka ini menjelaskan mengapa model pukal tidak lestari apabila Brent melebihi AS$100 dolar.

 

Agihan dan Ketirisan

Subsidi pukal bersifat regresif kerana isi rumah berpendapatan tinggi yang memandu lebih jauh menyerap lebih banyak faedah. Sebahagian kesan dialih melalui BR1M sebagai bantuan tunai kepada B40 bagi mengimbangi rasionalisasi.

 

Realitinya, selagi harga di pam murah untuk semua, ketirisan rentas sempadan dan penggunaan berlebihan sukar dihadkan.

 

BUDI95 membetulkan struktur itu melalui penapisan kelayakan dan had penggunaan. Data awal menunjukkan jutaan transaksi direkodkan, memudahkan audit dan pengesanan anomali.

 

Larangan warga asing menikmati harga subsidi digabungkan dengan dua tingkat harga, menjadikan arbitraj lebih sukar. Kesan agihan lebih sejajar kerana majoriti pemandu persendirian berada di bawah 300 liter sebulan.

 

Sensitiviti dan Daya Tahan

Dalam model pukal, setiap kenaikan Brent mengalir terus kepada fiskal kerana kerajaan menanggung hampir semua liter yang dijual.

 

Manakala, dalam model bersasar, beban tambahan dihadkan oleh kuota individu. Sekalipun Ringgit Malaysia lemah, liabiliti kerajaan berkembang lebih perlahan kerana jumlah subsidi terkawal secara efektif dan penerima disaring.

 

Ini menjadikan BUDI95 alat pengurusan risiko harga, bukan sekadar alat populis. Analisis ini sejajar dengan rasional kerajaan yang menyasar penjimatan tahunan RM2.5 hingga RM4 bilion bergantung pada paras minyak.

 

Dari Subsidi ke Reformasi

Apple to apple, era Najib mengekalkan harga murah untuk semua tetapi membayar harga fiskal yang tinggi dalam persekitaran minyak mahal.

 

BUDI95 memilih subsidi bersyarat dengan jejak data, kos lebih rendah dalam Ringgit Malaysia dan dolar AS, serta rintangan lebih baik terhadap kejutan minyak.

 

Inti kejayaan hanya akan diukur melalui disiplin fiskal yang mampu dipertahankan selepas subsidi berakhir.

 

Jika penjimatan disalurkan kepada pengangkutan awam, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur mobiliti, BUDI95 menjadi reformasi, bukan sekadar resit RM1.99. - DagangNews.com