Perniagaan adalah satu legasi, bukan mesin pencetak duit untuk pengasasnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perniagaan adalah satu legasi, bukan mesin pencetak duit untuk pengasasnya

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Alhamdulillah, saya telah direzekikan selama 21 tahun membina Wasiyyah. Bermula daripada sebuah laptop, saya meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan kini berlari dalam perniagaan (dan kehidupan seharian saya juga). Satu perjalanan yang tidak mudah dan penuh dengan segala ranjau dan duri.

 

Membina Wasiyyah selangkah demi selangkah telah memberikan saya perspektif yang jelas tentang erti sebuah perniagaan. Pengalaman mengajar saya bahawa perniagaan ialah satu legasi yang akan ditinggalkan kelak apabila sampai waktunya.

 

Legasi yang ditinggalkan dengan baik akan memberi manfaat berterusan kepada pengasasnya yang telah meninggal dunia (insya-Allah), kepada keturunan pengasas yang bakal meneruskan legasi ini, kepada pasukan pengurusan yang bakal menggalas tanggungjawab syarikat, serta kepada semua pemegang taruh dan masyarakat yang perlu dipastikan terus mendapat manfaat daripada perniagaan ini walaupun pengasasnya sudah tiada di dunia.

 

 

Wasiyyah

 


Manipulasi?

Pengasas perniagaan sentiasa boleh memanipulasi perniagaan dengan mudah untuk menjadi kaya. Kebanyakan pengasas memilih untuk menjadikan perniagaan mereka sebagai mesin pencetak wang.

 

Satu perkara biasa apabila saya bertemu dengan rakan-rakan pengasas perniagaan lain yang mengeksploit sepenuhnya perniagaan mereka bagi manfaat kewangan peribadi.

 

“Sebagai pemilik perniagaan, kau kena kaya! Kau kena dapat banyak duit daripada perniagaan kau sebab kaulah yang telah bertungkus-lumus membawa perniagaan kau sampai ke tahap ini,” kata seorang hamba Allah yang juga seorang pengasas perniagaan.

 

Dengan bangganya, dia bercerita kepada saya bagaimana dia memanipulasi semua peluang yang ada dalam syarikatnya untuk kepentingan dan manfaat peribadi walaupun syarikat itu turut mempunyai pemegang saham lain.

 

Salahkah mereka mendapat manfaat peribadi daripada perniagaan yang telah mereka bertungkus-lumus bina selama puluhan tahun? Ini soalan yang sering dilemparkan kepada saya apabila saya mengulas isu ini secara kritikal.

 

Jawapan saya ialah:

“Tentu tidak salah jika pengasas itu memang berniat berniaga untuk kaya secara peribadi, dan perniagaan itu hanyalah satu alat semata-mata baginya. Tidak salah juga jika semua keuntungan peribadi itu diperoleh mengikut undang-undang dan peraturan yang betul.”

 

Sebagai tuan punya syarikat, memang dia mempunyai segala hak untuk menikmati hasil daripada kerja kerasnya. Ramai juga orang yang mempunyai sebab kukuh untuk kaya.

 

Saya juga percaya bahawa orang Islam memang perlu kaya supaya mereka boleh membayar zakat serta bersedekah dengan banyak demi manfaat ummah.

 

Namun, jika anda mahukan perniagaan anda menjadi satu legasi mapan yang hasilnya boleh dinikmati bukan sahaja oleh anda sebagai pengasas, tetapi juga oleh semua pemegang taruh semasa dan masa depan seperti keturunan anda, pemegang saham lain, pekerja, dan masyarakat secara keseluruhannya — maka pendekatan mengeksploit perniagaan sebagai mesin pencetak wang peribadi hari ini adalah kurang sesuai.

 

 

Wasiyyah

 


Bagaimana pengasas memanipulasi perniagaan mereka?

Ramai pengasas melayan wang syarikat seperti wang peribadi mereka. Mereka menggunakan wang syarikat sewenang-wenangnya untuk membeli hartanah, kereta mewah, melancong dan melabur, seolah-olah ia wang milik peribadi mereka. Sangat biasa kita dengar kisah pengasas perniagaan yang mampu kaya-raya dalam jangka masa yang singkat.

 

Masyarakat akan kagum dengan orang seperti ini kerana bakat mereka dianggap luar biasa. Namun, sering kali juga kita lihat perniagaan yang naik secara mendadak kemudiannya jatuh merudum dan terus lenyap!

 

Dari sudut tadbir urus, amalan ini salah kerana wang syarikat bukan wang pengasas. Ia milik syarikat dan hanya boleh dibelanjakan bagi tujuan operasi perniagaan yang dibenarkan oleh undang-undang. Ia bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang syarikat, malah merugikan pemegang saham minoriti yang lain (jika ada).

 

Kakitangan yang bekerja juga tidak akan mendapat apa-apa manfaat kerana apabila syarikat rugi, tiada bonus dan kenaikan gaji boleh diberikan walaupun mereka telah bertungkus-lumus menjayakan syarikat. Ironinya, syarikat seperti ini mempunyai pendapatan tahunan ratusan juta ringgit!

 

 

Bagaimana pengasas dapat menikmati manfaat daripada perniagaannya secara bertadbir urus?

Tadbir urus korporat yang baik merupakan asas kepada kemapanan sesuatu perniagaan. Saya pasti ramai pengasas perniagaan mahukan perniagaan mereka berdaya maju dan berpanjangan supaya semua pemegang taruh mendapat manfaatnya.

 

Apa yang perlu dilakukan oleh pengasas perniagaan bagi menikmati manfaat daripada perniagaannya ialah mengikuti semua kaedah tadbir urus korporat yang telah ditetapkan undang-undang. Berusahalah bersungguh-sungguh untuk menjadikan perniagaan itu untung melalui pembangunan strategi mapan dan pelaksanaan yang tepat.

 

Apabila syarikat mencatat keuntungan, bayarlah cukai dan isytiharkan dividen kepada pemegang saham. Sebagai pengasas atau pemegang saham, anda layak menikmati dividen itu.

 

Sebagai pengasas yang bertindak sebagai pengarah pula, anda berhak menerima elaun bulanan, elaun mesyuarat, atau apa-apa elaun lain. Jika anda bekerja di syarikat, ambillah gaji bulanan. Bayarlah cukai bagi semua pendapatan itu kerana ia tanggungjawab peribadi anda sebagai rakyat Malaysia.

 

Pastikan semua manfaat itu diminit dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah. Lagi banyak keuntungan syarikat dan lebih baik prestasinya, maka lebih banyaklah manfaat yang dinikmati oleh pengasas. Inilah cara yang betul untuk memperoleh manfaat daripada perniagaan.


 

Wasiyyah

 

Wasiyyah



Wasiyyah mengamalkan tadbir urus korporat terbaik

Wasiyyah mempunyai Lembaga Pengarah yang kesemuanya profesional dan berpengalaman luas dalam sektor korporat.

 

Sebagai pengasas dan pemegang saham majoriti, saya sebenarnya tidak perlu melantik Lembaga Pengarah seramai ini. Malah, Lembaga Pengarah Wasiyyah lebih ramai daripada Lembaga Pengarah sesetengah syarikat tersenarai awam.

 

Namun, saya berpendirian bahawa Lembaga Pengarah ini dapat membantu mengukuhkan tadbir urus korporat Wasiyyah.

 

Saya perlu meletakkan asas yang kukuh supaya Wasiyyah, bersesuaian dengan lesennya sebagai syarikat amanah, dapat bertahan 30, 50, 100 malah 150 tahun akan datang walaupun saya sudah lama meninggal dunia.

 

Tidak cukup dengan itu, saya juga telah mengambil langkah bagi tujuan pewarisan dalam konteks saham Wasiyyah serta pelan penerusan perniagaan (business continuity plan) dari sudut pengurusan syarikat.

 

Insya-Allah, apabila saya meninggal dunia, Wasiyyah akan terus beroperasi seperti biasa melalui amalan tadbir urus korporat terbaik yang telah pun dilaksanakan.

 

Wasiyyah tiada pilihan selain bertahan selama yang mungkin kerana kami memegang amanah lebih daripada 100,000 umat Islam yang membuat dokumen perancangan harta seperti hibah dan wasiat bersama kami.

 

Saya faham dengan jelas bahawa ini merupakan satu amanah yang akan saya, sebagai pengasas dan pemegang saham, dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

 

Atas sebab itu, dari perspektif saya, Wasiyyah bukan sekadar satu perniagaan semata-mata, malah merupakan satu legasi yang perlu dipertahankan.

 

Justeru, saya tidak melayan Wasiyyah sebagai mesin pencetak wang saya, sebaliknya sebagai satu ladang dunia yang hasilnya, insya-Allah, akan saya tuai di akhirat. Aameen. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd