Perjalanan Yang Sebenar Baharu Sahaja Bermula Untuk Saya dan Pasukan Wasiyyah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjalanan Yang Sebenar Baharu Sahaja Bermula Untuk Saya dan Pasukan Wasiyyah

Oleh ARIFFIN SABIRIN

“Selepas 21 tahun beroperasi, adakah WASIYYAH sudah capai ke destinasinya? Tak penatkah ? Adakah kau akan ‘cash out’ bila berpeluang?” Tanya seorang sahabat bertubi-tubi kepada saya. Saya hanya tersenyum mendengar soalan-soalan ini.   
 


Soalan ini memang biasa diajukan pada saya. Jawapan saya kepada soalan tentang destinasi ialah, “Perjalanan yang sebenar baru sahaja bermula!”

 

Ada terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan saya bagi memastikan WASIYYAH benar-benar mencapai objektifnya untuk membantu  umat Islam global di dalam urusan perancangan harta secara Syariah. Masih ada terlalu banyak cabaran yang perlu dihadapi.  

 

Rumusan perancangan harta secara Syariah yang inovatif perlu dibangunkan dengan lebih banyak bagi membantu umat Islam yang asetnya semakin kompleks dan sofistikated.

 

Penyelidikan ilmiah yang lebih agresif perlu dilakukan bagi membangunkan rumusan-rumusan ini. Di dalam proses ini, kami tidak mahu hanya sekadar berteka-teki, mengagak-agak atau bertanya-tanya sahaja. Ia bukan prinsip yang dipegang WASIYYAH.  

 

Apabila mahu membangunkan apa sahaja rumusan perancangan harta kami perlu memastikan ia disokong dengan hujah Syarak yang jelas dan boleh diaplikasi mengikut sistem perundangan semasa di Malaysia. WASIYYAH bertanggungjawab memastikan amanah yang diberikan umat Islam Malaysia kepada kami dapat ditunaikan sebaik mungkin.  

 

Saya sangat percaya kepada konsep akauntabiliti. Sebagai manusia kita diberikan kebebasan untuk memilih jalan yang baik atau sebaliknya. Apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini baik dari sudut kerja mahupun kehidupan peribadi, kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.  

 

Sekiranya perbuatan buruk yang kita lakukan maka bersedialah untuk menerima semua hukumanNya sebaliknya jika kita patuh kepada arahanNya, maka nikmatilah kurniaanNya.  
 

 

Xi

 

 

Atas kepercayaan inilah WASIYYAH sanggup melabur sehingga RM2 juta bagi proses pembangunan rumusannya. Perbelanjaan ini meliputi segala kos geran penyelidikan, muzakarah ilmiah, mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Syariah, Panel Syariah, proses pembangunan sistem dalaman dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan sehinggalah sesuatu rumusan itu ditawarkan kepada masyarakat.  

 

Tambahan pula sekarang WASIYYAH sudah pun memulakan langkah di peringkat antarabangsa. Proses ini menjadi lebih mencabar kerana kini kami juga perlu memastikan sistem perundangan antarabangsa/negara berkenaan dapat menerima rumusan yang kami bangunkan.

 

Dalam banyak keadaan rumusan-rumusan WASIYYAH perlu dikodifikasikan pula mengikut undang-undang negara berkenaan.  

 

Jadi adakah WASIYYAH sudah sampai ke destinasinya selepas 21 tahun beroperasi ? Jawapan tuntas saya ialah, “Belum! Perjalanan yang sebenar baru sahaja bermula”.

 

Jika dahulu kami hanya fokus kepada membantu umat Islam Malaysia (itu pun masih ramai umat Islam Malaysia tidak faham kepentingan perancangan harta secara Syariah), kini kami menyasarkan untuk membantu umat Islam global. Pastinya cabaran lebih besar menunggu kami dan kerja ini tidak akan berhabis-habisan selama-lamanya walaupun selepas saya sendiri sudah mati! 

 

Kepada soalan sama ada saya penat atau tidak membuat kerja ini berpuluh tahun, jawapan saya ialah , “Waktu saya berehat daripada kerja ini ialah apabila roh meninggalkan jasad kelak.” Waktu di dunia ini sangat singkat. Dunia ini ialah tempat meninggal dan bukannya tempat tinggal. Akhirat ialah dunia abadi kita.   

 

Maka segala usia dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT di dunia ini mestilah digunakan sebaik mungkin secara maksima untuk membantu umat Islam sedaya mungkin merancang harta mereka. Kita sudah diberitahu bahawa ada tiga perkara yang tidak akan putus daripada seorang anak adam walaupun selepas kematiannya iaitu amal jariah, ilmu yang bermanfaat yang ditinggalkannya serta doa anak yang soleh dan solehah.  

 

Insya-Allah jika diizin Allah SWT, perkara pertama dan ketiga kita mampu memperolehnya namun bekerja di WASIYYAH memberi saya peluang untuk mendapat perkara yang kedua. Segala kerja keras yang dilakukan puluhan tahun untuk membangunkan rumusan perancangan harta secara Syariah yang manfaatnya kini dinikmati oleh lebih daripada 100,000 orang dan ilmu yang disebarkan di dalam masyarakat selama 21 tahun ini, akan menjadi saham akhirat yang sangat berharga kepada saya dan semua rakan saya yang bertungkus-lumus di WASIYYAH.  

 

 

Xi

 

 

Jadi adakah saya perlu berehat sekarang? Jawapannya pastilah, “Tidak kerana belum masanya untuk berehat.” Masih banyak ruang pahala yang perlu diraih selagi hayat dikandung badan. Istilah bersara atau rehat tidak wujud di dalam fikiran saya.  

 

Soalan paling menarik yang dilemparkan kepada saya ialah, “Adakah saya akan ‘cash out’ dari WASIYYAH jika ada pihak ketiga yang berminat dengannya?” Ini persoalan ‘monetization’ atau menjadikan WASIYYAH sebagai alat kewangan untuk saya menjadi seorang jutawan.

 

Ramai usahawan di Malaysia yang telah menjalani proses ini. Mereka kini hidup senang-lenang berehat dan menikmati kehidupan yang selesa.  

 

Sebenarnya saya memang telah didekati oleh banyak pihak yang mengajar saya bagaimana saya boleh menjadi jutawan melalui WASIYYAH. Sebagai pengasas dan pemegang saham majoriti, saya berada pada kedudukan paling strategik untuk ‘monetize’ WASIYYAH supaya saya boleh menjadi jutawan.  

 

Ada strategi yang menjurus kepada saya ‘monetize’ WASIYYAH dalam keadaan saya masih lagi kekal sebagai pemegang saham majoriti. Ini opsyen menarik yang sedang saya pertimbangkan.

 

Tetapi ada juga pihak  yang mendekati saya untuk membeli saham majoriti  WASIYYAH daripada saya dengan nilai jutaan RM yang sangat mengujakan.  

 

Menurut mereka saya sudah bertungkus-lumus membangunkan WASIYYAH maka sudah selayaknya saya berehat dan menikmati laba daripada kerja keras itu seperti usahawan-usahawan lain. Mereka memberi contoh dato itu, tan sri ini dan orang-orang VIP lain yang sudahpun memilih jalan ini.  

 

Saya suka mendengar pandangan orang. Pandangan ini kadang-kadang di luar kotak pemikiran saya sendiri. Jadi saya terbuka menerima cadangan-cadangan ini.

 

Namun untuk saya  ‘cash out’ daripada WASIYYAH saya rasa mungkin tidak akan berlaku. Kenapa? Kerana daripada penulisan di atas saya sudahpun menjelaskan bahawa tiada rehat di dalam istilah hidup saya.  

 

 

Xi

 

 

WASIYYAH bukanlah sekadar satu perniagaan kepada saya. Lebih signifikan daripada itu, ia merupakan ladang akhirat untuk saya. Tempat di mana saya menyemai seberapa sebanyak pahala yang mungkin selagi saya masih hidup. Mata saya tidak pernah tersilau dengan kilauan wang ringgit di dalam perjalanan memimpin WASIYYAH.  

 

Namun saya tidaklah mengatakan wang ringgit tidak penting. Ia penting namun kepada saya wang ringgit hanyalah alat dan bukan matlamat saya.

 

Apa sahaja rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT, Alhamdulillah mencukupi dan saya sangat bersyukur dengannya.

 

Umur saya sudah melangkaui separuh abad. Masa semakin suntuk untuk saya. Atas sebab itu saya perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan Allah SWT melalui WASIYYAH. - DagangNews.com

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd