Sebab utama mengapa anda perlu memilih syarikat amanah seperti Wasiyyah untuk merancang harta ialah elemen kelangsungan perniagaan (perpetuity).
Elemen ini pernah saya jelaskan sebelum ini, namun masih ramai dalam kalangan masyarakat yang belum benar-benar memahaminya.
Malah, ada yang menganggap unsur kelangsungan syarikat amanah ini sama seperti syarikat sendirian berhad (Sdn. Bhd.) atau perniagaan enterprise. Justeru, saya mengambil peluang untuk memperincikan lagi elemen ini dalam artikel kali ini.
Syarikat Amanah dan Kuasanya di Sisi Undang-Undang
Syarikat amanah ialah entiti yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Akta ini, khususnya Seksyen 8, memperincikan segala bidang kuasa yang dimiliki oleh sebuah syarikat amanah.
Syarikat amanah seperti Wasiyyah boleh dilantik sebagai wasi harta pusaka, menguruskan harta pusaka, bertindak sebagai pemegang amanah, pemegang kuasa wakil, pengurus harta alih dan tidak alih, serta penjaga harta anak di bawah umur atau anak kurang upaya.
Syarikat amanah juga boleh menguruskan apa-apa bentuk harta bagi pihak benefisiari, sebagaimana diarahkan oleh pemilik harta.
Apabila seseorang ingin memastikan segala hasratnya tentang pengurusan dan pewarisan harta dipenuhi, maka mereka perlu melantik entiti yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut — dan syarikat amanah memiliki kuasa itu.
Bagaimana Jika Individu atau Syarikat Sdn. Bhd. diberi Amanah?
Saya telah lama berkecimpung dalam industri ini, sejak tahun 1998. Saya tahu terdapat syarikat Sdn. Bhd. atau perniagaan enterprise yang turut menawarkan perkhidmatan serupa seperti syarikat amanah — membantu masyarakat menyediakan dokumen hibah, wasiat, dan menguruskan harta pusaka.
Saya tidak menafikan bahawa ramai antara mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran yang baik. Namun, apa yang masyarakat perlu faham ialah syarikat Sdn. Bhd. dan perniagaan enterprise tidak mempunyai punca kuasa undang-undang yang jelas bagi tujuan ini.
Sebagai contoh, mereka tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjadi wasi harta pusaka. Saya pernah menemui kes di mana syarikat Sdn. Bhd. dilantik sebagai wasi dalam dokumen wasiat, tetapi pelantikan itu ditolak oleh mahkamah kerana tiada asas perundangan yang sah.
Persoalannya: jika dokumen itu tidak boleh dikuatkuasakan, mengapa perlu bersusah payah berbelanja ratusan atau ribuan ringgit untuk menyediakan wasiat sedemikian? Mampukah kita “bangkit dari kubur” untuk membetulkan dokumen yang telah ditolak mahkamah?
Situasi ini tidak akan berlaku kepada syarikat amanah, kerana Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) jelas memberikan segala kuasa kepada syarikat seperti Wasiyyah untuk melaksanakan peranan tersebut.

Kelebihan Membuat Dokumen Hibah dengan Wasiyyah
Secara asasnya, sesiapa sahaja yang berkemahiran boleh menyediakan dokumen hibah — malah seseorang boleh menulis dokumennya sendiri, jika benar-benar memahami peruntukan undang-undang dan proses di Mahkamah Syariah.
Namun, kelebihan membuat dokumen hibah bersama syarikat amanah seperti Wasiyyah ialah ketelitian penyelidikan ilmiah (research-backed) yang menjadi asas kepada setiap perkhidmatan kami.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2004, Wasiyyah telah melabur lebih RM2 juta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh perkhidmatan kami.
Semua perkhidmatan Wasiyyah dijamin patuh Syariah sepenuhnya oleh Panel Syariah kami yang terdiri daripada tujuh orang ahli berpengalaman. Ini amat penting kerana ia menjamin bahawa dokumen hibah kami boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang semasa.
Sebaliknya, kebanyakan syarikat Sdn. Bhd. dan perniagaan enterprise tidak memiliki disiplin penyelidikan sedemikian, malah ramai yang tidak mempunyai Panel Syariah sendiri. Persoalannya, tanpa panel tersebut — siapakah yang memastikan kepatuhan Syariah perkhidmatan mereka?
Unsur Kelangsungan (Perpetuity) yang Tiada Pada Entiti Lain
Walau apapun kelebihan yang disebut, unsur paling penting yang membezakan syarikat amanah dengan entiti lain ialah unsur kelangsungan (perpetuity).
Menurut Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949, syarikat amanah tidak boleh digulung (ditutup) melainkan dengan kebenaran mahkamah — dan hanya jika semua tanggungjawab terhadap pelanggan telah diselesaikan sepenuhnya.
Wasiyyah kini mempunyai lebih 100,000 pelanggan, dan jumlah ini terus meningkat setiap hari. Adalah mustahil untuk operasi kami ditutup selagi masih ada amanah pelanggan yang perlu dilaksanakan. Maka secara undang-undang, Wasiyyah akan terus beroperasi walaupun pengasasnya sudah tiada.
Saya sendiri pernah bermesyuarat dengan sebuah syarikat amanah swasta di Australia yang sudah berusia 150 tahun. Pastinya pengasasnya telah lama meninggal dunia — tetapi syarikat itu masih wujud, masih menunaikan amanah pelanggannya.
Pelan Penerusan dan Kemapanan Wasiyyah
Saya mungkin pengasas Wasiyyah, tetapi di belakang saya terdapat pasukan pengurusan kanan yang berpengalaman, serta pasukan muda seramai 120 orang yang sedang dilatih di bawah pelan penerusan perniagaan (business continuity plan).
Jika saya meninggal dunia, pasukan inilah yang akan meneruskan tanggungjawab saya. Malah, struktur organisasi kami direka supaya setiap posisi boleh diambil alih dengan mudah sekiranya berlaku kekosongan.
Dari segi kewangan, model perniagaan Wasiyyah juga dibina untuk mampan dan bertahan lama, dengan rekod prestasi yang sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.
Untuk pewarisan saham saya sendiri, saya telah merancangnya menurut kaedah Syariah At-Tijarah Wasiyyah, memastikan ia boleh diturun milik kepada generasi seterusnya tanpa sebarang masalah.
Maknanya, jika pelanggan Wasiyyah meninggal dunia 10, 30, 50 atau 100 tahun akan datang sekalipun, insya-Allah Wasiyyah akan tetap di sini untuk membantu waris-waris mereka.
Sedangkan syarikat Sdn. Bhd. atau perniagaan enterprise boleh menutup operasi pada bila-bila masa — jadi bukankah lebih wajar anda memilih Wasiyyah bagi urusan perancangan harta anda? - DagangNews.com








