Maqasid Syariah di dalam perancangan harta: Wasiyyah bukan sekadar patuh Syariah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maqasid Syariah di dalam perancangan harta: Wasiyyah bukan sekadar patuh Syariah

Oleh ARIFFIN SABIRIN

Selama 21 tahun, Wasiyyah telah menjadi peneraju dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan ilmu fiqh mawarith (ilmu pembahagian pusaka Islam), faraid, wasiat dan hibah.

 

Perjalanan ini bukanlah mudah kerana pada awalnya, masyarakat kita sangat kurang pengetahuan tentang topik ini. Malah, ramai yang keliru antara konsep-konsep ini dan bagaimana ia diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

 

Sejak dari awal, fokus utama Wasiyyah adalah untuk memastikan segala perancangan harta dilakukan secara patuh Syariah. Kami membangunkan kerangka kerja yang ketat, dengan memastikan setiap langkah yang diambil mematuhi hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Islam. Ini adalah prinsip yang tidak boleh kami kompromikan.

 

Satu daripada langkah besar yang kami ambil adalah menubuhkan Panel Syariah yang berautonomi. Panel ini diberi kuasa penuh untuk menentukan keputusan berlandaskan hukum Syariah tanpa campur tangan daripada pihak pengurusan atau lembaga pengarah syarikat. Keputusan panel adalah muktamad, berpandukan kepada pandangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

 

Kami percaya bahawa hanya dengan adanya pengawasan yang bebas dan berautoriti, barulah kita dapat memastikan bahawa setiap perkhidmatan yang diberikan benar-benar mematuhi hukum Islam. Langkah ini juga membina kepercayaan masyarakat terhadap Wasiyyah sebagai peneraju dalam bidang ini.

 

 

bas

 

 

Namun, menjadi pelopor dalam sesuatu bidang juga bermakna kita harus bersedia untuk berdepan dengan cabaran dan kritikan. Ketika kami memperkenalkan perkhidmatan hibah harta bercagar pada tahun 2017, ia mencetuskan kontroversi yang hebat.

 

Ramai yang mengkritik dan menuduh bahawa kaedah ini tidak patuh Syariah. Panel Syariah kami difitnah dan dituduh menyeleweng.

 

Walau bagaimanapun, kami tetap teguh dengan pendirian kerana kami telah melakukan kajian mendalam yang membuktikan bahawa hibah harta bercagar boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat tertentu yang menepati hukum Islam.

 

Pembuktian saintifik dan pengiktirafan fatwa

Empat tahun kemudian, pada tahun 2021, fatwa rasmi di Selangor mengesahkan bahawa hibah harta bercagar adalah sah di sisi Syariah dengan syarat-syarat tertentu. Keputusan ini selari dengan dapatan kajian kami sebelum ini. Ia menjadi bukti bahawa pendekatan berasaskan ilmu dan kajian yang mendalam akhirnya membuahkan hasil.

 

Kejayaan ini memberi kami keyakinan untuk terus maju ke hadapan. Kami sedar bahawa perjuangan ini bukan sekadar untuk memastikan perkhidmatan kami patuh Syariah, tetapi untuk memastikan ia membawa manfaat yang sebenar kepada masyarakat.

 

Inilah titik di mana kami mula mengorak langkah ke arah yang lebih luas – memastikan setiap perkhidmatan kami memenuhi Maqasid Syariah, iaitu matlamat utama Syariah dalam menjaga kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.

 

Maqasid Syariah merangkumi lima elemen utama yang dikenali sebagai al-Dharuriyyat al-Khams:

  • menjaga agama (hifz al-deen)

  • menjaga nyawa (hifz al-nafs)

  • menjaga akal (hifz al-aql)

  • menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan

  • menjaga harta (hifz al-mal)

 

Konsep ini memberikan dimensi baru kepada pendekatan kami. Ia menuntut kami untuk melihat perancangan harta bukan sahaja dari sudut kepatuhan hukum, tetapi juga dari sudut kesan positifnya terhadap kehidupan waris dan masyarakat.

 

Sebagai contoh, dari sudut hifz al-deen, perancangan harta melalui kaedah yang patuh Syariah membantu memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia. Ia mengukuhkan lagi kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara.

 

Kepentingan Maqasid Syariah dalam perancangan harta

Dari sudut hifz al-nafs pula, apabila waris menerima harta pusaka dengan cepat dan percuma, ia dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup, terutamanya jika si mati adalah pencari nafkah utama.

 

Hifz al-aql pula dapat dicapai apabila perbalahan antara waris dapat dielakkan melalui perancangan harta yang teratur. Ini penting kerana pertelingkahan keluarga boleh memberi tekanan emosi yang besar dan menjejaskan kewarasan fikiran.

 

 

bas

 

 

Hifz al-nasl menekankan kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan. Apabila isu harta diselesaikan dengan cepat dan adil, silaturrahim antara ahli keluarga dapat dikekalkan.

 

Akhir sekali, hifz al-mal memastikan harta dapat diturunkan kepada penerima yang berhak dengan cepat. Ini mengelakkan harta daripada dibekukan terlalu lama, membolehkan ia digunakan atau dilaburkan untuk manfaat ekonomi yang lebih besar.

 

Pendekatan berasaskan Maqasid Syariah ini menjadikan perkhidmatan Wasiyyah lebih menyeluruh. Kami bukan sahaja menjaga aspek patuh Syariah, tetapi juga memastikan kesan positif yang meluas kepada waris dan masyarakat.

 

Dengan itu, perancangan harta bukan lagi sekadar proses pemindahan hak milik, tetapi satu usaha menjunjung matlamat Syariah yang murni – menjaga kemaslahatan dan mengelakkan mudarat, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. - DagangNews.com

 


 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hji Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Kumpulan Wasiyyah