Grid nasional Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membangunkan negara selama beberapa dekad. Ia merangkumi lebih 500 pencawang dan ribuan kilometer talian penghantaran elektrik, menghubungkan pelbagai loji janakuasa termasuk arang batu, gas, hidro serta sumber renewable energy (RE) seperti solar dan biogas.
Namun, ketika dunia bergerak pantas ke arah sistem tenaga bersih dan teragih, Malaysia perlu menerima hakikat bahawa struktur grid sedia ada — yang direka bentuk berasaskan penjanaan fosil secara berpusat — tidak lagi relevan untuk masa depan.
Kebangkitan sumber tenaga teragih seperti solar atas bumbung, skim NEM, loji komuniti, stesen pengecas EV dan sistem storan tenaga (BESS) mewujudkan tekanan teknikal ke atas grid utama.
Aliran kuasa dua hala, turun naik voltan dan kestabilan frekuensi kini menjadi cabaran harian.

Grid yang Terpisah dan Tidak Disepadukan
Lebih membimbangkan, grid di Semenanjung, Sabah dan Sarawak masih tidak disambung antara satu sama lain.
Ini menyukarkan pengagihan sumber secara nasional. Contohnya, lebihan tenaga hidro di Sarawak tidak boleh dialirkan ke Semenanjung ketika permintaan tinggi.
Negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand pula sudah mula membina grid pelbagai nod dan sedang memanfaatkan kerjasama rentas sempadan di bawah inisiatif ASEAN Power Grid.

Grid Tunggal: Rentan dan Tidak Tahan Uji
Ketergantungan kepada satu grid nasional meletakkan Malaysia pada risiko tinggi. Insiden gangguan besar pada 1996 dan 2022 membuktikan betapa rapuhnya sistem yang terlalu tertumpu.
Dalam era digital hari ini, sebarang gangguan boleh melumpuhkan hospital, pusat data dan kemudahan kritikal.
Selain itu, penghantaran tenaga dari jarak jauh meningkatkan kehilangan tenaga dan kos operasi — yang akhirnya dibayar oleh pengguna.

Kekangan Kepada RE
Ramai pemaju solar kini berdepan kesukaran menyambung projek baharu ke grid kerana kapasiti sambungan yang terhad, terutamanya di kawasan luar bandar dan semi-urban. Ini menyekat pertumbuhan sektor RE.
Data industri terkini menunjukkan kadar pemasangan solar Malaysia meningkat pesat, hasil peluasan kuota NEM kepada 2,000MW dan insentif cukai di bawah GITA. Namun, langkah positif ini akan terbantut sekiranya grid tidak diperkasa.
Di peringkat global, lebih 500GW kapasiti baharu solar dan angin dipasang pada 2024 sahaja. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan bahawa grid yang lemah kini menjadi penghalang utama kepada agenda sifar bersih — bukan teknologi atau kos.
Kenapa Kita Perlukan Grid Kedua
Cadangan membina grid kedua bukan soal lebihan, tetapi satu keperluan untuk menjamin ketahanan, kesamarataan wilayah dan kesiapsiagaan masa depan.
Antara fungsi utamanya:
Ketahanan dan Sandaran Tenaga
Grid kedua menjadi laluan alternatif semasa bencana alam, banjir besar, serangan siber atau lonjakan permintaan. Ia memastikan bekalan tidak terputus kepada fasiliti kritikal seperti hospital, balai polis dan pusat data.Sokongan Kepada Tenaga Teragih
Reka bentuk modular dan pintar membolehkan sambungan sumber RE seperti solar komuniti, EV charging hub dan mikrogrid — tanpa menjejaskan kestabilan grid utama.Platform Teknologi Masa Depan
Grid ini boleh menjadi medan ujian bagi teknologi seperti hidrogen hijau, sistem kenderaan-ke-grid (V2G), AI pengurusan tenaga, turbin angin kecil dan loji sisa-ke-tenaga.Pembangunan Ekonomi Tempatan
Grid kedua mampu mengurangkan kebergantungan luar bandar kepada grid pusat, membuka peluang pekerjaan, menarik pelaburan dan menawarkan tarif elektrik yang lebih kompetitif.
Kerjasama Awam-Swasta Jadi Pemacu
Pelaburan besar diperlukan untuk membina grid kedua, namun bukan semuanya perlu datang daripada kerajaan. Model kerjasama awam-swasta (PPP) amat sesuai.
Kerajaan negeri boleh menyediakan tanah dan kelulusan, syarikat teknologi membekal platform pintar, manakala pelabur menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dengan pulangan melalui jualan tenaga, kredit karbon atau model perkhidmatan tenaga (Energy-as-a-Service, EaaS).
Model ini semakin berkembang di peringkat global dan boleh diterapkan di kawasan perindustrian, pelabuhan dan zon ekonomi khas di Malaysia.
Sokong Peralihan Tenaga & Agenda Net Zero 2050
Malaysia telah menyatakan komitmen untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Namun tanpa grid yang fleksibel, dua hala dan bersedia menerima storan tenaga, pelan peralihan tenaga akan terus terbantut.
Grid tradisional direka untuk bekalan stabil dan permintaan terkawal. Grid masa depan pula memerlukan sistem anjal yang boleh menampung bekalan tidak menentu dan permintaan dari pengguna aktif (prosumers).
Grid kedua adalah kunci kepada perubahan ini.
Agenda Nasional Bukan Isu Teknikal Semata
Grid kedua bukan sekadar naik taraf kejuruteraan. Ia ialah projek infrastruktur strategik — sama pentingnya dengan jalan raya, air bersih dan rangkaian internet.

Seruan Kepada Semua Pemegang Taruh
Kepada kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga (ST) – sudah tiba masanya grid kedua dimasukkan dalam agenda rasmi Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), lengkap dengan piawaian teknikal, pelesenan khas dan insentif PPP.
Kepada utiliti dan pemaju tenaga – grid kedua ialah peluang strategik untuk membina ekosistem tenaga yang lebih kompetitif, moden dan lestari.
Kepada komuniti dan PBT di luar bandar, kepulauan dan pertanian – grid kedua ialah jalan keluar daripada pergantungan kepada sistem lama. Ia membuka akses kepada tenaga bersih, murah dan berkualiti – yang boleh mengubah masa depan pendidikan, kesihatan dan ekonomi setempat.
Lonjakan seterusnya dalam evolusi tenaga Malaysia bukan sekadar lebih banyak panel solar atau kenderaan EV — tetapi sejauh mana kita mampu menghantar dan mengurus tenaga bersih ke seluruh pelosok negara secara cekap, pintar dan inklusif. - DagangNews.com
Ir. Ahmad Fathi Zainazlan merupakan Ahli Profesional Renewable Energy | Pengarah Teknikal, Solar Timur Sdn Bhd | Setiausaha Agung & Penasihat Dasar Persatuan Industri Tenaga Boleh Baru dan Alam Sekitar (PINTARE)

Nota Pengarang: Mulai 4 Ogos, Persatuan Industri Tenaga Boleh Baru dan Alam Sekitar (PINTARE) akan mengisi slot kolumnis setiap Isnin DagangNews.com sebagai satu pengiktirafan kepada sektor RE yang berkembang pesat di Malaysia.








