Ledakan AI AS$1 Trilion Malaysia Perlu Berwaspada Sebelum Gelembung Pecah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ledakan AI AS$1 Trilion Malaysia Perlu Berwaspada Sebelum Gelembung Pecah

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Bank for International Settlements (BIS) baru-baru ini mengeluarkan amaran mengenai pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Asia yang benar-benar membuka mata dan mengesahkan beberapa kebimbangan yang telah lama berlegar dalam fikiran.

 

Apabila bercakap tentang AI, ramai membayangkan robot canggih atau perisian yang mampu menulis puisi dalam beberapa saat. Namun, di sebalik keajaiban teknologi ini, terdapat satu realiti fizikal yang sering diabaikan, iaitu kewujudan pusat data berskala besar, cip komputer bernilai tinggi serta penggunaan tenaga elektrik yang luar biasa.

 

Menurut laporan BIS, syarikat gergasi teknologi atau `hyperscalers' dijangka membelanjakan lebih AS$1 trilion bagi perbelanjaan modal berkaitan AI pada tahun 2025 dan 2026. Angka ini amat mengejutkan kerana jumlah tersebut melebihi pendapatan serta aliran tunai bebas mereka sendiri.

 

Bagi menampung jurang kewangan itu, syarikat-syarikat terbabit terpaksa mendapatkan pembiayaan melalui pinjaman. Terbitan bon korporat oleh `hyperscalers' telah melebihi AS$100 bilion pada tahun 2025.

 

Bagi yang pernah menyaksikan krisis kewangan global pada 1997 dan 2008, corak ini amat membimbangkan. Apabila perbelanjaan jauh melebihi pendapatan sebenar, keadaan tersebut sering menjadi petanda awal kepada pembentukan gelembung ekonomi.

 

Pasaran bon juga mula menunjukkan tanda berhati-hati apabila 'credit default swap' atau CDS semakin melebar, menandakan pelabur semakin kurang yakin bahawa projek-projek besar AI akan menghasilkan pulangan seperti yang diharapkan.


 

BIS
Bangunan BIS (kanan) tersergam di Basel, Switzerland

 


Kewangan Gelap dan Risiko Rantaian

Lebih membimbangkan ialah kaedah pembiayaan yang digunakan dalam perlumbaan AI ini.

 

BIS mendedahkan, dana kredit swasta telah menyalurkan lebih AS$40 bilion pinjaman kepada syarikat berkaitan AI pada tahun 2025, meningkat dengan ketara berbanding hanya AS$3 bilion pada tahun 2010.

 

Pembiayaan ini sering berlaku dalam bentuk pembiayaan sekular. Pembuat cip dan `hyperscalers' mengambil pegangan ekuiti dalam makmal AI, yang kemudiannya berkomitmen membeli cip serta kuasa pengkomputeran daripada syarikat yang sama yang membiayai mereka.

 

Keadaan ini ibarat membina rumah daripada kad. Struktur pembiayaan seperti ini sering kurang telus dan meningkatkan risiko aset yang sama dicagarkan lebih daripada sekali.

 

Ramai bergantung kepada kestabilan ekosistem ini untuk mencari rezeki. Jika rantaian pembiayaan ini terputus, kesannya bukan sahaja dirasai syarikat besar, malah pekerja bebas yang berada di peringkat akar umbi.

 

Asia Pusat Data atau Pusat Risiko?

Asia, khususnya Malaysia telah menerima limpahan besar daripada pembangunan infrastruktur AI global.

 

Johor terutamanya, berjaya menarik pelaburan pusat data bernilai kira-kira AS$39 bilion sehingga suku kedua 2025.

 

Dalam tempoh hanya tiga tahun, lebih 900 megawatt kapasiti pusat data telah dibangunkan, satu pencapaian yang mengambil masa lebih sedekad untuk dicapai oleh Singapura.

 

Namun, BIS memberi amaran bahawa pembekal di hujung rantaian, termasuk kontraktor kejuruteraan dan pembinaan, mempunyai kedudukan kewangan yang lebih lemah.

 

Mereka tidak mempunyai penampan kewangan yang mencukupi sekiranya `hyperscalers' memperlahankan perbelanjaan atau menangguhkan projek baharu.

 

Asia, yang menjadi lokasi utama pembangunan infrastruktur AI tanpa memiliki permintaan akhir yang sepadan, pada asasnya menanggung risiko kontrak yang bukan berpunca daripada rantau ini sendiri.

 

Selain itu, terdapat juga cabaran fizikal yang besar. Kos elektrik boleh menyumbang antara 60 hingga 70 peratus daripada kos operasi pusat data.

 

Kerajaan Malaysia sendiri sebelum ini terpaksa mengetatkan kelulusan kemudahan bukan AI berikutan kekangan bekalan elektrik dan air.

 

Jika pembangunan infrastruktur serta kapasiti tempatan tidak dirancang secara bertanggungjawab, Malaysia mungkin berdepan pembetulan pasaran yang menyakitkan.

 

Paradoks Produktiviti dan Masa Depan

Satu perkara yang sering difikirkan ketika bekerja dengan model AI ialah persoalan produktiviti.

 

Walaupun kajian peringkat tugasan menunjukkan AI mampu menjimatkan masa antara 20 hingga 50 peratus, anggaran peningkatan produktiviti secara agregat masih berada di bawah satu peratus dalam jangka panjang.

 

Ini mencerminkan betapa sukarnya untuk menskalakan teknologi tersebut ke dalam proses pengeluaran sebenar.

 

BIS turut mengemukakan satu pandangan yang menarik. Apabila automasi memindahkan pendapatan daripada tenaga kerja kepada pelaburan AI, asas pengguna yang menyokong permintaan terhadap pusingan pelaburan seterusnya mungkin semakin mengecil.

 

Ini bermakna pulangan pelaburan boleh terhenti bukan kerana teknologi itu gagal, tetapi kerana semakin kurang pengguna yang mampu membeli produk atau perkhidmatan yang dihasilkan.

 

Teknologi akan terus berkembang, tetapi asas ekonomi dan nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan.

 

Kita perlu memastikan revolusi AI ini bukan hanya menguntungkan segelintir pihak, sebaliknya membawa manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

 

Amaran Awal

Ini bukan sekadar sebuah laporan kewangan, tetapi satu amaran awal.

 

Kita perlu lebih berhati-hati dalam memilih projek dan pelanggan. Kita tidak boleh bergantung kepada satu platform atau satu teknologi sahaja.

 

Kepelbagaian kemahiran adalah kunci untuk terus bertahan dalam industri yang berubah dengan pantas.

 

Bagi pihak berkuasa dan pemain industri di Asia, khususnya Malaysia, sudah tiba masanya untuk melihat melangkaui angka pelaburan yang mengagumkan.

 

Kita perlu memahami siapa yang membiayai siapa, bagaimana struktur pembiayaan itu dibentuk dan apakah risiko yang mungkin wujud di sebaliknya.

 

Jika tidak, kita mungkin mendapati diri terperangkap apabila gelembung infrastruktur AI ini akhirnya pecah.

 

Pengalaman telah mengajar kita bahawa setiap ledakan teknologi lazimnya akan disusuli fasa pembetulan.

 

Persoalannya, adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk menghadapinya? - DagangNews.com