Minggu ini agak sentimental sedikit bagi saya kerana saya telah cukup umur untuk mengeluarkan keseluruhan wang KWSP. Syukur Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya untuk sampai ke detik ini — dalam keadaan ramai rakan sebaya tidak mendapat nikmat yang sama.
Orang di sekeliling mengusik bahawa kini sampailah masa untuk saya berehat dan menikmati hasil bekerja berpuluh tahun, seperti orang biasa yang bersara apabila sampai umur ini. Jujurnya, perkataan ‘bersara’ tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.
Walaupun pewarisan perniagaan (business succession) telah saya laksanakan dan pelapis pengurusan yang ada hari ini cukup berkemampuan serta berpengalaman untuk meneruskan kecemerlangan Wasiyyah walaupun selepas ketiadaan saya, saya akan terus menyumbang selagi hayat dikandung badan — cuma mungkin dalam kapasiti yang berbeza.
Apa Lagi yang Diinginkan?
Namun, setibanya di titik usia ini, banyak perkara yang terlintas dalam fikiran saya. Apa lagi yang mahu dikejar? Apa lagi yang diinginkan? Ini antara persoalan yang sering datang dalam hati.
Allah telah merahmati saya dengan nikmat yang sangat banyak. Nikmat sebagai seorang Islam yang memperjuangkan fiqh mawarith kerana telah melorongkan saya dalam perjalanan yang cukup jauh dan bermakna dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia melalui Wasiyyah.
Nikmat melihat di depan mata industri ini berubah sejak tahun 1998 hingga hari ini. Nikmat melihat Wasiyyah yang saya bangunkan bersama pasukan memberi manfaat besar dalam urusan harta pusaka orang Islam di Malaysia.
Nikmat melihat sendiri bagaimana kerja keras kami membantu ibu tunggal dan anak-anak yatim menuntut harta pusaka yang ditinggalkan dengan tepat, cepat dan percuma.

Pada tahun 2005, ketika saya sendiri mengendalikan kes pusaka pelanggan kami, seorang balu suri rumah menangis teresak-esak di hadapan saya kerana buntu dengan urusan harta pusaka Allahyarham suaminya. Saya berjanji kepadanya bahawa Wasiyyah akan membantu menguruskan kes itu dengan cepat dan tepat.
Urusan hibah yang dibuat suaminya berjalan lancar, dan permohonan pusaka di Pejabat Pusaka Kecil juga berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada empat bulan. Ketika saya bertemu semula dengannya selepas perbicaraan, dia sekali lagi menangis teresak-esak sambil mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantu memudahkan urusannya.
Bermula saat itu, saya bertekad untuk berusaha sedaya upaya membantu seberapa ramai orang Islam merancang harta pusaka dengan baik dan seterusnya melancarkan urusan pengurusan harta pusaka mereka.
Bergerak ke hadapan, hari ini lebih daripada 100,000 orang Islam di seluruh Malaysia telah mendapat manfaat daripada perkhidmatan Wasiyyah.
Menoleh ke belakang, saya merasa seronok melihat hasil kerja keras selama 21 tahun ini mula menunjukkan hasil. Daripada digelar ‘Ayah Pin 2’ kerana kononnya memperkenalkan hibah yang tidak wujud dalam Islam, hari ini hibah diterima sebagai instrumen perancangan harta secara Syariah pilihan utama masyarakat.
Kejayaan dan Ruang Penambahbaikan
Dari perspektif kerjaya, jika ditanya apa lagi yang saya mahu kejar pada usia ini, saya akan jawab, “Alhamdulillah, saya seronok dengan apa yang telah dicapai, namun masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu dikejar.”
Saya selalu berdoa agar Allah SWT menerima segala kerja keras Wasiyyah ini, termasuk usaha dakwah para da‘ie Wasiyyah, sebagai sebahagian daripada amal kebaikan kami di dunia dan menjadi asbab kami ke syurga.
Tidak Mahu Nikmat Harta yang Melimpah-Ruah pada Usia Ini
Saya melihat dengan mata sendiri bagaimana nafsu terhadap harta mampu memusnahkan kehidupan seseorang. Apabila dalam hati hanya tersemat niat untuk mencari harta sebanyak mungkin, seseorang akan terdorong melakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat itu.
Saya ada seorang kenalan, umurnya sudah lanjut dan hartanya melimpah-ruah, namun masih bernafsu untuk meraih keuntungan dengan apa cara sekalipun — termasuk memanipulasi, mengeksploitasi dan menipu orang. Allah mengizinkan dia kaya raya dengan cara itu, dan dia pula berbangga kerana mendapat sanjungan tinggi daripada masyarakat kononnya sebagai orang berjaya.
Tanpa disedari, itu hanyalah istidraj semata-mata kepada dirinya. Kejayaan itu datang dengan harga yang mahal. Hidupnya tidak tenang kerana sentiasa takut orang akan menganiayai dirinya sebagaimana dia sering menganiaya orang lain.
Dia tidak sedar bahawa orang yang dianiayainya itu sedang berdoa kepada Allah SWT, dan doa orang yang dianiaya itu makbul. Keluarganya pula simpang-perenang dengan pelbagai masalah. Dia cuba mempengaruhi saya dengan berkongsi ‘formula kejayaan’ untuk menjadi kaya raya, namun saya menolaknya dengan hormat.
Saya tidak terpesona dengan erti kejayaan seperti itu. Saya tidak mahu istidraj melanda kehidupan saya kerana saya tahu ujian itu sangat berat dan sukar untuk keluar daripadanya.
Saya hanya mahukan ketenangan dalam kehidupan.

Nikmat Ketenangan dan Kesederhanaan
Saya mengambil kisah kenalan ini sebagai iktibar. Pada detik usia ini, saya hanya mahukan ketenangan hidup bagi baki usia yang tersisa. Ketenangan hati dan fikiran itu satu rezeki yang sangat besar bagi saya, walaupun saya mungkin tidak sekaya orang lain dari segi harta.
Apa jua rezeki harta yang telah Allah kurniakan, pada saya sudah lebih daripada mencukupi untuk keperluan diri dan keluarga.
Saya mahu fikiran yang tenang supaya saya boleh pergi ke mana sahaja di dunia ini tanpa dihambat perasaan resah dan gelisah. Saya mahu melihat kebesaran Allah SWT di atas muka bumi ini dan mengerjakan ibadah dengan khusyuk.
Sedih apabila melihat ada yang sudah mencapai usia pengeluaran KWSP, tetapi masih dihambat pelbagai perkara duniawi yang melalaikan.
Nikmat Kesihatan Tubuh Badan
Melepasi usia pengeluaran KWSP ini, saya semakin sedar bahawa nikmat kesihatan merupakan antara nikmat paling berharga.
Saya pernah seberat 156 kilogram tiga tahun lalu dengan bacaan gula darah 26 mmol dan bergantung hidup dengan insulin.

Alhamdulillah, Allah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada saya bahawa kesihatan perlu dijaga kerana ia juga amanah Allah. Dengan bantuan doktor dan disiplin diri yang ketat, hari ini berat badan saya telah turun sebanyak 61 kilogram dan saya tidak lagi menghadapi masalah diabetes.
Saya menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, dan doktor yang telah merawat saya sejak enam tahun lalu mengesahkan bahawa saya tiada sebarang masalah kesihatan — seperti orang lain yang sebaya dengan saya.
Kesihatan tubuh badan ini memang anugerah terindah daripada Allah kepada saya. Dengannya saya lebih fokus dan bertenaga untuk terus berbakti kepada ummah.
Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? - DagangNews.com








