Ini merupakan artikel saya yang ke-231 di kolum Anekdot Mawarith ini. Saban minggu saya menukilkan serba sedikit pengalaman dan pengetahuan yang Allah pinjamkan kepada saya di dalam industri perancangan harta secara Syariah ini.
Alhamdulillah, selepas 27 tahun melihat industri ini berubah di depan mata, saya masih direzekikan untuk berada di sini.
Adakah cabaran harta pusaka umat Islam menjadi semakin mudah?
Ini persoalan yang kerap ditanya kepada saya.
Jawapan saya tuntas dan tepat berdasarkan fakta dan pengalaman saya. Cabaran untuk menguruskan harta pusaka umat Islam sebenarnya semakin lama semakin mencabar dan sukar! Jika masyarakat menyangkakan proses ini akan menjadi lebih mudah dengan pengenalan sistem baharu dan sebagainya, mereka silap.
Saya pernah ulas sebelum ini kenapa ia semakin mencabar. Boleh skrol untuk membaca artikel-artikel saya sebelum ini jika berminat mengetahuinya secara terperinci. Secara umum, proses harta pusaka ini tidak mudah kerana ia melibatkan emosi manusia, bukan sekadar hukum, SOP atau undang-undang sahaja.
Waris atau sesiapa sahaja yang menguruskan harta pusaka itu mungkin faham hukum, undang-undang dan SOP. Namun, jika dia tidak tahu bagaimana menguruskan emosi waris-waris, proses ini tetap akan mencabar. Di sinilah Wasiyyah mempunyai kelebihan kerana pengalaman 21 tahun kami membantu memediasi emosi waris dengan lebih baik.
Kami faham, selain daripada harta pusaka itu mesti diurus dengan tepat prosesnya, tidak membebankan waris dari segi kewangan (Wasiyyah menguruskan harta pusaka secara PERCUMA) dan diturun milik dengan cepat kepada waris/pihak yang berhak, paling penting sekali ialah hubungan sesama waris selepas proses ini selesai tetap terpelihara, malah semakin harmoni asbab harta pusaka yang diterima.
Saya seorang bapa, dan seperti ibu bapa yang lain, saya percaya kita tidak mahu harta serba sedikit yang kita tinggalkan menjadi punca waris-waris kita berbalah dan bermasam muka. Inilah tajuk ceramah yang sudah saya gunakan semenjak 1998 lagi apabila saya turun ke dalam masyarakat, iaitu “Pusaka atau Puaka”.

Tiada guna pun harta pusaka dapat diterima waris tetapi selepas itu mereka bermasam muka dan terputus hubungan. Tiada manfaat pun semasa hidup membuat segala jenis dokumen wasiat, hibah, harta sepencarian, amanah jika selepas itu waris tidak faham fungsinya dan tetap berbalah.
Fakta yang masyarakat perlu faham ialah menyediakan dokumen perancangan harta seperti wasiat atau hibah mungkin akan membantu mencapai hasrat pembahagian harta seperti yang anda inginkan.
Namun, ia tidak memastikan waris-waris anda akan bermuafakat dan berharmoni selepas kematian anda. Anda memerlukan syarikat amanah yang berpengalaman luas seperti Wasiyyah bagi memastikan pelaksanaan dokumen-dokumen ini berjalan lancar dan waris-waris kekal bersatu.
Bagaimana Wasiyyah melaksanakan mediasi waris?
Pengalaman menunjukkan kepada kami bahawa pengurusan emosi ialah faktor eksplisit terpenting dalam memastikan proses harta pusaka berjalan lancar.
Bagi pelanggan Wasiyyah yang melanggan perkhidmatan Al-Wasitah kami semasa hidupnya, sebaik diberitahu pelanggan meninggal dunia, kami akan segera menetapkan tarikh untuk bertemu semua waris, sama ada secara dalam talian atau secara fizikal (bergantung kepada jadual pasukan undang-undang kami).
Waris-waris akan diberikan nasihat profesional tentang dokumentasi dan proses perundangan yang perlu mereka lalui bagi menuntut harta pusaka. Mereka juga akan dimaklumkan tentang hak mereka ke atas harta melalui hukum faraid atau apa-apa dokumen perancangan harta yang telah dibuat oleh si mati semasa hidupnya.
Semua maklumat ini diberikan secara telus tanpa menyembunyikan apa-apa fakta. Kami bukan bekerja bagi kepentingan mana-mana waris.
Kami bekerja sebagai pihak profesional ketiga yang mana kepentingan kami ialah untuk memastikan hasrat si mati tercapai. Perkhidmatan ini kami berikan secara PERCUMA tanpa waris perlu membayar apa-apa fi.
Masa sebagai faktor penentu penting urusan harta pusaka
Faktor kecepatan bertemu dengan waris-waris ini sangat kritikal kerana sekiranya isu harta pusaka ingin dibincang hanya selepas bertahun kematian pemilik harta (seperti kebiasaan dalam masyarakat kita), waris-waris sudahpun terlupa kenangan bersama si mati. Mereka sudah tidak ingat kepada kasih sayang dan jasa si mati kepada mereka.
Pada ketika ini mereka lebih memikirkan tentang berapa banyak harta yang berhak mereka terima. Ditambah pula dengan kehadiran ‘penasihat-penasihat’ tidak rasmi di sekeliling mereka, keadaan akan menjadi semakin kusut dan kompromi sukar dicapai.
Atas kerana itulah di Malaysia hari ini ada ribuan kes harta pusaka yang tertangguh. Ia tertangguh bukan sahaja kerana isu teknikal proses perundangan yang sukar difahami waris, malah lebih besar lagi ialah kerana perbalahan dan ketidakpermuafakatan waris.

Apabila Wasiyyah berjaya menggerakkan proses pengurusan pusaka dengan cepat sebaik selepas kematian, pengalaman menunjukkan bahawa waris-waris lebih mudah untuk disepakati. Mereka akan lebih mudah berkompromi dan bersedia memberikan kerjasama.
Bukankah kita semua mahu harta pusaka kita menjadi asbab waris-waris kita berkasih sayang dan bermuafakat selepas kematian kita?
Marilah bersama Wasiyyah di dalam usaha dakwah fiqh mawarith ini
Dari awal penubuhan Wasiyyah pada tahun 2004, saya memang tahu bahawa untuk membolehkan usaha dakwah ini berjaya, kita memerlukan seberapa ramai daie yang boleh tanpa mengira latar belakang pendidikan atau kerjaya.
Sesiapapun umat Islam yang mempunyai niat untuk membantu masyarakat merancang harta mereka mengikut kaedah Syariah, saya alu-alukan untuk bersama Wasiyyah.
Jangan risau tentang ilmu kerana di Wasiyyah, ilmu fiqh mawarith telah dimodulkan secara sistematik dengan bantuan Panel Syariah kami yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman luas.
Wasiyyah ialah syarikat amanah PERTAMA di Malaysia yang membangunkan struktur daie. Atas gelaran ‘daie’ itu, kami selalu mengingatkan bahawa apa yang kita lakukan ini lebih daripada sekadar satu perniagaan, ia merupakan satu usaha dakwah. Wasiyyah hari ini mempunyai bilangan daie paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 5,000 orang.

Wasiyyah telah berusaha keras secara istiqamah selama 21 tahun bagi mencapai keseimbangan dan kelestarian di dalam modul perniagaannya.
Elemen kepimpinan beretika berteraskan nilai, kepatuhan Syariah dan undang-undang dalam operasi dan produk, inovasi produk berterusan, digitalisasi, tadbir urus korporat terbaik, strategi kemapanan, motivasi kakitangan dan daie, pengurusan sumber manusia, pembangunan jenama yang dipercayai, perkhidmatan pelanggan yang cemerlang serta pengurusan kewangan yang berhemat dan telus telah digabung jalin dengan sebaiknya bagi memberikan hasil yang bersifat ‘menang-menang-menang-menang’ kepada semua pemegang taruh: agama, umat, pelanggan/waris-waris, syarikat dan daie.
Anda ingin bersama-sama saya berjuang di atas platform Wasiyyah yang telah terbukti keberkesanannya semenjak 21 tahun yang lepas? Saya alu-alukan, jom… - DagangNews.com








