Saya masih ingin mengulas isu yang berkaitan dengan penulisan saya minggu lepas kerana saya rasa sebagai ‘orang tua’ dalam industri (bukan sahaja tua dari segi umur tetapi juga dari segi pengalaman), saya bertanggungjawab memberikan penjelasan yang seterang-terangnya kepada masyarakat.
1. Pembangunan format dokumen yang patuh Syariah sepenuhnya
Aspek ini telah saya terangkan minggu lepas. Bagi memberi penekanan lagi, saya nyatakan sekali lagi bahawa di Wasiyyah (saya tidak boleh bercakap bagi pihak syarikat amanah lain), semua format dokumen hibah kami diputuskan secara ilmiah dan diluluskan secara kolektif oleh tujuh orang Panel Syariah yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Setakat pengetahuan saya, semua syarikat amanah di Malaysia mempunyai Panel Syariah masing-masing. Pembaca boleh semak di laman sesawang kami siapa ahli Panel Syariahnya.
Dokumen hibah kami telah melalui proses penyelidikan ilmiah, dibentangkan dan dibahaskan oleh sekumpulan pakar undang-undang Syariah bagi memastikan kepatuhan Syariah dan keselarasan dengan undang-undang semasa yang diguna pakai di Malaysia.
Justeru, masyarakat tidak perlu ragu-ragu dengan keberkesanan dokumen hibah yang dibuat bersama Wasiyyah. Semuanya telah diuji di Mahkamah Syariah dan terbukti berkesan berdasarkan rekod 21 tahun kami — bukan rekod setahun dua.
2. Setiap format dokumen hibah berbeza mengikut jenis harta dan undang-undangnya
Masyarakat sering salah faham dengan menganggap semua format dokumen hibah adalah sama. Ramai percaya format untuk hartanah (rumah dan tanah) boleh digunakan juga bagi akaun simpanan, pelaburan, barang kemas, saham koperasi, kenderaan, saham syarikat dan lain-lain.
Kenapa masyarakat keliru? Kerana wujud individu yang mendakwa semua dokumen hibah ini sama sahaja, jadi tidak perlu membayar untuk format berlainan bagi setiap jenis harta.
Apa yang individu itu tidak tahu ialah rukun dan syarat hibah untuk setiap harta adalah berbeza kerana sifat harta itu sendiri berbeza.
Sebagai contoh, rukun dan syarat hibah bagi hartanah yang masih bercagar dengan bank adalah berbeza dengan hartanah yang sudah bebas daripada cagaran.
Wasiyyah menghabiskan masa dan kos yang besar untuk mengkaji perbezaan ini secara ilmiah agar dokumen hibah kami menepati semua keperluan Hukum Syarak dan undang-undang teknikal berkaitan.
Kami melalui proses yang rumit ini kerana kami tahu apabila kes dibawa ke Mahkamah Syariah kelak, isu-isu teknikal undang-undang akan timbul. Jika semua format digeneralisasikan secara semberono, besar kemungkinan hibah tersebut menjadi tidak sah dan hasrat pemberi hibah tidak akan tercapai.
3. Sebagai syarikat amanah, kami tertakluk di bawah Akta Syarikat Amanah 1949
Sebagai syarikat amanah yang terikat dengan Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100), Wasiyyah perlu terus beroperasi bagi menjalankan amanah yang telah diberikan oleh lebih 100,000 pelanggan.
Tidak seperti individu atau syarikat sendirian berhad (Sdn. Bhd.), Wasiyyah tidak boleh menutup operasi tanpa kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil. Jika ditutup tanpa kebenaran mahkamah, setiap ahli Lembaga Pengarah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.
Ariffin mungkin akan mati, tetapi Wasiyyah insya-Allah akan terus wujud 100 tahun akan datang.
Ini memberi jaminan bahawa walaupun pemberi hibah meninggal dunia 100 tahun dari sekarang, perkhidmatan runding cara yang dijanjikan kepada waris pelanggan tetap akan dilaksanakan.
Waris tidak akan terkeliru — mereka akan dibimbing langkah demi langkah sehingga keseluruhan proses perundangan selesai.
4. Proses pengesahan hibah secara PERCUMA di Mahkamah Syariah
Pelanggan Wasiyyah yang memilih pakej hibah komprehensif akan menikmati proses perundangan pengesahan hibah secara PERCUMA di Mahkamah Syariah. Waris tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan untuk tujuan ini.
Semuanya diperuntukkan melalui tabung tabarru’, iaitu akaun amanah yang diuruskan oleh Wasiyyah bagi menampung kos perundangan pengesahan hibah. Ini selaras dengan bidang kuasa kami di bawah Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949.
Apabila proses pengesahan hibah ingin dimulakan, Wasiyyah akan menggerakkan mana-mana panel peguam kami (kini terdiri daripada 21 firma guaman di seluruh Malaysia) untuk memulakan prosiding di Mahkamah Syariah.
Panel peguam ini berpengalaman dan memahami selok-belok format hibah Wasiyyah. Ini memudahkan penghujahan dan mempercepatkan proses mendapatkan pengesahan hibah. Yuran peguam pula dibayar melalui tabung tabarru’ — waris pelanggan tidak akan menanggung sebarang kos perundangan.
5. Risiko jika membuat dokumen hibah dengan individu
Ada individu yang menawarkan caj ‘penyediaan dokumen hibah’ lebih murah, tetapi masyarakat perlu faham risiko besar di sebaliknya:
Risiko pengetahuan terhad
Dokumen hibah dibuat berdasarkan pengalaman peribadi tanpa penyelidikan ilmiah. Tidak ada semakan kolektif oleh pakar Syariah dan undang-undang sebagaimana dilakukan oleh syarikat amanah.
Risiko individu menutup perniagaan
Individu atau syarikat kecil boleh tutup operasi pada bila-bila masa. Bila waris perlukan bantuan, mereka mungkin sudah tiada — menyebabkan waris terpaksa berdepan proses perundangan sendirian.
Risiko tiada liabiliti fidusiari
Individu tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang khusus seperti Akta Syarikat Amanah 1949. Jika timbul masalah, mereka boleh melepaskan tanggungjawab tanpa dikenakan tindakan.
Risiko individu meninggal dunia lebih awal
Jika individu tersebut meninggal dunia sebelum pelanggan, tiada siapa akan membantu waris menyelesaikan urusan hibah di mahkamah.
Risiko kos tambahan selepas kematian
Individu hanya menyediakan dokumen asas tanpa kontrak perkhidmatan menyeluruh. Waris akhirnya perlu menanggung kos tambahan perundangan yang semakin meningkat saban tahun.
6. Dokumen hibah bukan perkara kecil
Membuat dan melaksanakan dokumen hibah bukan perkara kecil. Ia melibatkan proses perundangan jangka panjang dan teknikal yang rumit.
Oleh itu, kita perlu jaminan bahawa semua urusan akan berjalan lancar. Wasiyyah memberikan jaminan ini melalui struktur korporat, tadbir urus yang baik, rekod operasi 21 tahun, dan pematuhan undang-undang amanah.
Masyarakat perlu bijak membuat pilihan. Jika berlaku kesilapan dalam hibah, anda tidak boleh bangun dari kubur untuk memperbetulkannya. - DagangNews.com








