Saya telah dirujukkan satu VTT seorang individu yang menyatakan: “Kenapa awak minta bayaran beribu ringgit untuk buat dokumen hibah? Tak waras ke?”
Hujahnya, kenapa perlu bayar beribu-ribu ringgit semata-mata untuk menyediakan dokumen hibah sedangkan kos sebenar penyediaan dokumen itu amat murah. Individu itu juga mempromosikan dirinya sebagai orang yang boleh menyediakan dokumen hibah dengan murah.
Sebagai orang tua di dalam industri (dan saya bukan makan gaji dengan sesiapa), saya menghormati semua pihak yang terlibat dalam bidang ini.
Mungkin beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan tersendiri dalam urusan harta pusaka, namun saya juga mempunyai pengalaman tersendiri sebagai pengasas Wasiyyah yang menggerakkan industri sebagai first mover hibah semenjak 2004.
Perintah pengesahan hibah pertama oleh Wasiyyah diperoleh pada tahun 2005 daripada Mahkamah Tinggi Syariah Alor Setar — bukti kelebihan pengalaman kami dalam urusan hibah.
Walaupun nama mana-mana pihak tidak disebut, saya terpanggil menjawab kerana masyarakat perlu faham apa sebenarnya yang mereka bayar.

Urusan hibah bukan sekadar menyediakan dokumen semata-mata!
Individu tersebut mungkin berpengalaman dalam membantu masyarakat menyediakan dokumen harta pusaka seperti hibah dan wasiat.
Secara peribadi, saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membantu masyarakat — kerana saya percaya Wasiyyah tidak mampu menyelesaikan semua isu pusaka secara bersendirian.
Namun masyarakat perlu faham bahawa urusan hibah bukan urusan mencetak kertas atau isi borang semata-mata.
Hibah adalah proses ilmiah, hukum dan pentadbiran yang saling berkait, dan setiap satu memerlukan asas undang-undang Syariah yang kukuh agar hibah itu sah, boleh dikuatkuasakan dan melindungi hak pewaris.

Pembangunan dokumen hibah bukan kerja ‘tiru template’
Pembangunan dokumen hibah di Wasiyyah merupakan proses ilmiah yang komprehensif dan konstruktif, bukan sekadar teka-teka atau salin template yang beredar di pasaran.
Wasiyyah mempunyai 7 orang ahli Panel Syariah, setiap seorang berpengalaman puluhan tahun dalam kepakaran masing-masing.

Pengerusinya, Dato’ Seri Dr Yusup Che Teh, ialah mantan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah (JKSM) yang berkhidmat lebih 35 tahun — termasuk mengadili ribuan kes hibah dan mengeluarkan alasan penghakiman bagi kes ikonik harta bercagar di Negeri Sembilan.
Panel Syariah kami turut dianggotai tokoh ilmuwan seperti Dr Mohd Zamro Muda, Datin Dr Noor Lizza Mohd Said, Prof Madya Dr Nasrul Hisyam Nor Muhammad dan Prof Madya Dr Nik Abdul Rahim Nik Ghani, pakar dalam fiqh mawarith dan muamalat. Mereka banyak terlibat dalam penggubalan fatwa serta undang-undang berkaitan hibah di peringkat nasional dan negeri.
Selain itu, Wasiyyah turut disokong dua pakar pentadbiran harta pusaka berpengalaman — Tuan Seh Nilamuddin Hassan (bekas Pengarah Pusaka Kecil Persekutuan) dan Tn Hj Sulaiman Kadimi (bekas Ketua Penolong Pengarah Pusaka Kecil Pahang).
Perkhidmatan hibah berasaskan penyelidikan ilmiah sistematik
Gabungan pengalaman dan kepakaran puluhan tahun ahli-ahli Panel Syariah ini disertai pula dengan penyelidikan ilmiah berterusan yang dilaksanakan oleh Wasiyyah bersama universiti tempatan sejak 21 tahun lalu.
Lebih daripada RM2 juta telah dilaburkan bagi memastikan setiap urusan hibah berjalan lancar — bukan hanya pada tahap penyediaan dokumen, tetapi juga dari segi kepatuhan Syariah dan penguatkuasaan selepas kematian.
Risiko besar jika dokumen hibah dibuat tanpa disiplin ilmiah
Ada pihak yang beranggapan mudahnya membuat hibah — hanya cetak, tandatangan dan siap. Malah ada yang hanya meniru template sedia ada atau bergantung pada pengalaman peribadi dan nasihat kawan-kawan.
Mereka tidak memahami bahawa di sebalik setiap dokumen hibah perlu ada hujah Syarak yang lengkap, serta elemen perkhidmatan selepas kematian.
Jika dibuat tanpa disiplin ilmiah kolektif, dokumen hibah boleh terbatal atau tidak patuh Syariah, dan akhirnya yang rugi ialah pemberi dan penerima hibah itu sendiri.

Pilihan di tangan masyarakat
Jika masyarakat sanggup mengambil risiko tanpa jaminan patuh Syariah kolektif (kerana tiada Panel Syariah) dan tanpa jaminan perkhidmatan jangka panjang (kerana individu penyedia dokumen itu juga akan mati), maka itu pilihan mereka.
Namun, jika masyarakat mahukan jaminan pelaksanaan masa hadapan dan kepatuhan Syariah hasil disiplin penyelidikan ilmiah kolektif dengan trek rekod 21 tahun — maka pilihlah Wasiyyah, syarikat amanah patuh Syariah terbesar di Malaysia.
Urusan hibah ialah urusan jangka panjang, bukan hari ini sahaja
Kita mungkin meninggal dunia 5, 10 atau 50 tahun akan datang. Adakah individu yang mencetak dokumen hibah hari ini masih hidup ketika itu untuk membantu waris?
Inilah kelebihan Wasiyyah sebagai syarikat amanah berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Seksyen 33) — undang-undang mengikat Wasiyyah untuk terus beroperasi dan melaksanakan amanah pelanggannya dalam jangka panjang.
Saya mungkin mati, tetapi Wasiyyah tidak akan mati.
Dengan Lembaga Pengarah profesional, Panel Syariah berpengalaman, dan pasukan kerja muda seramai 120 orang berkelulusan sarjana dan doktor falsafah dalam bidang Syariah, undang-undang, kewangan dan pengurusan, Wasiyyah akan terus membantu umat Islam hingga 100 tahun akan datang.

Beradab lebih baik daripada beremosi
Nasihat saya kepada individu tersebut dan semua pihak dalam industri — marilah kita membantu masyarakat dengan niat kerana Allah SWT, tanpa memperlekeh pihak lain sebagai “tidak waras”.
Kita semua mempunyai kekuatan dan model perkhidmatan masing-masing. Setiap fi mempunyai asas dan justifikasi tersendiri.
Analogi mudah: kenapa bayar mahal untuk hotel 5 bintang sedangkan boleh tidur di hotel bajet? Kerana orang bijak tahu nilai, bukan hanya harga.
Sebagai orang tua, tidak manis bersikap emosional dan menyerang di media sosial. Bukankah kita sering diingatkan — orang beradab itu lebih baik daripada sekadar orang berilmu?
Masyarakat hari ini sudah bijak dan tahu membuat pilihan. - DagangNews.com
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH









