Di bawah langit yang membentang luas, saya kembali ke tanah kelahiran, Malaysia setelah 6 tahun di New Zealand.
Pada tahun 1989, setelah menjejakkan kaki di pelbagai bidang—sebagai penterjemah sambilan di NST, penulis di majalah Gila-Gila, dan pensyarah di sebuah institusi di Chow Kit.
Akhirnya, selepas liku hidup yang beraneka, saya menapak ke dunia pekerjaan tetap. Langit kerjaya saya semakin luas apabila pintu-pintu peluang terbuka lebar dalam sains komputer.
Dari eksekutif pemasaran perisian di ibu kota yang berdenyut rancak, ke jurutera kilang kayu moden di Pulau Mutiara yang dibuai ombak, sehingga akhirnya menjadi eksekutif jualan PC di syarikat komputer peribadi pertama negara—perjalanan hidup ini membawa saya merantau jauh, hingga akhirnya berlabuh di TV3 dan Mega TV, sebelum sayap takdir membawa saya terbang ke gurun pasir Riyadh dan kemewahan Dubai.
Betapa pengalaman bekerja di tempat-tempat ini seperti burung yang bebas. Saya terbang dari utara ke selatan, dari timur ke barat, menikmati setiap inci keindahan tanah air dari Perlis sehinggalah ke Sabah.
Kapal terbang menjadi kenderaan, membawa saya ke setiap ibu negeri untuk urusan tender, sambil mata ini menyerap panorama kehidupan di setiap pelosok Asia Tenggara.
Setiap langkah adalah makan angin yang membawa kepuasan, membawa saya menyelami budaya dan persekitaran yang berbeza. Saya memburu tender, menghantar dokumen, dan sering kali terlelap semalaman di tempat yang asing.
Ketika berteduh di flat Kerinchi, saya sering berbuka di surau kalau tidak di gerai-gerai. Setiap pagi, sebelum fajar menyingsing, saya bangun, mengalunkan azan Subuh dengan suara yang bergema di keheningan.
Makmum hanya segelintir—seorang tua yang turut tinggal di flat itu menjadi imam dan kadangkadang saya menjadi imam.
Selepas solat subuh, puluhan budak lelaki datang mengaji, dipimpin oleh seorang ustaz yang meminta saya membantu mengajar, membahagikan pelajar kepada dua kumpulan.
Saya, yang diajar mengaji sejak usia empat tahun oleh abah yang tegas, mengambil tanggungjawab itu dengan penuh kesungguhan. Walaupun sering menangis ketakutan di bawah didikan abah yang garang, saya khatam dengan bacaan yang sempurna.
Budak-budak di Kerinchi itu bersekolah petang. Hati tersentuh melihat mereka, anak-anak bangsa yang ibu bapanya bukan dari kalangan terpelajar agama, ramai yang kurang ambil peduli.
Saya mengajar selama sejam sebelum ke NST, kadang-kadang dua jam, tanpa gaji atau upah. Selepas mengaji, pada hari biasa, saya menikmati sarapan percuma dari sebuah restoran hingga makan malam—pemberian tanda terima kasih kerana anak pemiliknya turut belajar mengaji bersama.
Di Kg Kerinchi, saya dikelilingi ramai peminat, ada ustazah, pramugari, cikgu, pegawai KWSP, eksekutif, pekerja kilang, tukang jahit—semuanya mesra. Tukang jahit pula menghadiahkan servis percuma, rezeki yang tidak disangka dengan siap sehelai baju melayu.
Di Pulau Pinang, saya hampir dihantar ke Jerman untuk latihan setahun dan pembelian kilang baru. Gembira di hati, namun kontrak tiga tahun dan suasana kerja yang tidak selesa membuat saya berundur.
Saya, satu-satunya eksekutif IT Melayu, tinggal serumah dengan mereka yang menyantap babi sejak sarapan hingga makan malam. Pada bulan puasa, saya berhenti dalam masa 24 jam, mencari kebebasan dari ikatan yang tidak diredhai.
Ditawarkan Harimau
Kemudian, saya beralih ke dunia komputer mainframe di Kuala Lumpur. Pada Ramadan pertama, saya ke Bangkok untuk mengambil barang syarikat. Menginap di Hotel Hilton, saya terpesona dengan kesibukan di sekeliling termasuk Patpong.
Tiba-tiba, seorang lelaki bertanya perlahan dalam loghat Thai bercampur Inggeris di pintu hotel, “Would you like a tiger?”
Saya terkejut.
"I don't want any tiger," jawab saya.
Lelaki itu diam dan nampak sama terkejut. Hanya kemudian barulah saya sedar—bukan "tiger" tetapi "Thai girl" yang dimaksudkan bukan harimau. Saya tersenyum sendiri mengenang kekeliruan itu.
Di syarikat Microcomputer System, saya menjual PC buatan Malaysia—sebenarnya dari Hong Kong—kepada kerajaan dan GLC. Tender bernilai jutaan ringgit membuahkan komisen yang lumayan.
Mesyuarat sering berlangsung dalam bahasa Cina, tetapi saya tidak kisah; darah Cina mengalir dalam nadi, dan gaji serta komisen itu memadai.
Saya menjadi eksekutif penting yang menghubungi setiap jabatan dan GLC, saya selalu makan percuma di restoran mahal dan hotel ternama.
Mahu jadi pelakon?
Di Sungei Wang Plaza, saya bersolat dan bertemu Ahmad Yatim, pelakon filem ‘Abang’ yang diminati. Dia memiliki gerai di situ. Ketika solat tarawih, saya sekali lagi memintanya menjadi imam, tetapi dia menolak, memuji bacaan saya, “Bacaan kamu sedap.”
Saya tersenyum dalam hati—dia tidak tahu saya anak ulama. Sejak itu, saya menjadi imam setiap solat dan solat tarawih di bulan puasa, dan kami berkawan rapat. Dia menawar kalau mahu berlakon, tetapi saya menolak; kemasyhuran bukan cita saya. Tidak mahu kehilangan kebebasan.
Perjalanan tender membawa saya ke pantai timur. Di Kelantan, dua gadis anak Raja dengan nama Tengku adalah peminat saya—penggemar tulisan di Gila-Gila—menawarkan saya menaiki Porsche mereka. Saya teruja, tetapi protokol dan peraturan bukan cara saya.
“Tiada protokol?” tanya saya.
“Naik saja,” jawab mereka sambil ketawa.
Di Universiti Utara Malaysia pula, saya bermalam di masjid berhampiran lapangan terbang Alor Setar, berbuka bersama jemaah tabligh.
Jin suka bergurau
Pengalaman bersama tabligh bukan asing bagi saya dan pernah mengikutinya di Kuala Terengganu, New Zealand, dan Australia.
Malam itu, selepas Isyak, saya tidur dalam di masjid, tetapi sahur terbangun berada di luar. Seorang tabligh tergelak, “Jin Islam suka bergurau, dialah yang alihkan kau.”
Saya terpaku dan terkejut. Keterpesonaaan bertukar menjadi kegusaran. Setelah berulang dengan bas dari Serdang ke Jalan Pudu, selepas solat subuh sebelum orang ramai memenuhi bas.
Saya akhirnya membeli kereta second hand dan mula semakin merantau jika syarikat membenarkan tanpa membeli tiket kapal terbang. Saya ingat pertama kali melalui Lebuh raya Karak ke Kuantan dan kemudian ke Terengganu.
Di Kuantan mengambil tender untuk kerajaan negeri membeli PC sebelum Ramadan dan tidur di sebuah hotel di tepian sungai Kuantan. Saya tidak sangka pasukan bola sepak Pahang menempah hotel tersebut dan dapatlah bertemu semua pemain pasukan bola sepak Pahang.
Waktu itu sebagai orang Pahang (tetapi lahir di Johor), saya penyokong ketika era yang paling berjaya adalah pada tahun 1990-an, apabila pasukan ini berjaya menjejakkan diri ke final Piala Malaysia 4 kali walaupun mereka hanya berjaya sekali pada tahun 1990an dimana apabila berjaya memenangi 2 kejohanan, Piala Malaysia dan Liga Semi-Pro.
Pahang FA pada tahun itu dikenang sebagai Pasukan Impian apabila beberapa pemain berprofil tinggi memainkan peranan dalam kejayaan pasukan seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Khairul Azman Mohamed, Abdul Mubin Mokhtar, Ahmad Yusof, legenda bola sepak Australia, Alan Edward Davidson dan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad.
Sempat bermesraan dan malam itu di hotel tersebut terjadi pertemuan anak Raja Pahang dengan seorang aktres yang kemudiannya menjadi isteri dan aktres itu tinggal di London.
Kemudian saya memandu ke Terengganu di bulan puasa dan saya masih ingat ibu mencari saudara-mara dari keturunan Cina.
Namun saya berhenti kerja lagi, kali ini kerana terlibat dalam pembahagian rasuah dengan pegawai kerajaan. Seorang Ketua Setiausaha mendapat bahagian dari komisen yang saya terpaksa bayar cukai.
Dalam 24 jam, saya tinggalkan jawatan itu kerana membenci rasuah dan penyelewengan dengan segenap jiwa walau komisen untuk saya jutaan ringgit. - DagangNews.com
Mohd Fudzail Mohd Nor telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com








