Hibah Bukan Untuk Orang Kaya Sahaja: Peringatan Kepada Bakal Jemaah Haji | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hibah Bukan Untuk Orang Kaya Sahaja: Peringatan Kepada Bakal Jemaah Haji

Seramai 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan pertama Musim Haji 1447H/2026M pada 18 April 2026. - Gambar ihsan AKPS KLIA
Oleh ARIFFIN SABIRIN

Dalam satu sesi penerangan yang saya kendalikan khusus untuk bakal jemaah haji beberapa tahun lalu, seorang peserta mengangkat tangan dan bertanya dengan nada yang cukup jujur:

 

“Tuan Haji, saya ini kerja biasa sahaja. Rumah pun masih ada hutang. Simpanan pun tidak banyak. Perlu ke saya buat hibah sebelum pergi haji?”

 

Saya tersenyum. Soalan ini bukan kali pertama saya dengar.

 

Sejak tahun 1998 lagi, soalan yang sama berulang, cuma bezanya kali ini ia datang daripada seorang yang sedang bersiap untuk menjadi tetamu Allah.

 

Hibah hanya untuk orang kaya?

Mungkin inilah antara salah faham terbesar dalam masyarakat, iaitu perancangan harta khususnya hibah hanya relevan untuk orang kaya.

 

Hakikatnya, persepsi ini bukan sahaja tidak tepat, malah boleh membawa mudarat besar kepada waris yang ditinggalkan, lebih-lebih lagi apabila seseorang bakal meninggalkan tanah air untuk satu perjalanan ibadah yang penuh risiko dan ketidakpastian dalam suasana perang di Timur Tengah ketika ini.

 

Ibadah haji ialah perjalanan yang suci. Ia adalah panggilan Allah. Namun dalam masa yang sama, ia juga satu perjalanan yang sering mengingatkan kita tentang hakikat kehidupan, bahawa kita ini hanyalah musafir dan setiap perjalanan mempunyai kemungkinan untuk tidak kembali.

 

Atas sebab itu, para ulama sejak dahulu menekankan keperluan menyelesaikan urusan dunia sebelum berangkat ke Tanah Suci, termasuk urusan hutang dan harta. Namun di sinilah ramai yang terlepas pandang.

 

Ramai yang melihat hibah dari sudut jumlah dan nilai harta. Mereka membayangkan hibah hanya sesuai untuk mereka yang memiliki jutaan ringgit, pelbagai hartanah atau aset yang kompleks. Sedangkan dalam realiti kehidupan hari ini, hampir setiap bakal jemaah haji sebenarnya mempunyai harta walaupun tidak banyak.

 

Sebuah rumah walaupun masih berhutang, simpanan di ASNB, polisi takaful, kenderaan atau sedikit wang dalam akaun bank. Semua ini adalah harta. Dan setiap harta ini, jika berlaku sesuatu ketika kita berada di Tanah Suci, akan melalui proses perundangan tuntutan dan pembahagian harta pusaka yang sama.

 

Masalah bukan bermula apabila harta itu banyak. Masalah bermula apabila harta yang tidak seberapa itu tidak dirancang. Saya pernah berhadapan dengan satu kes yang sangat memberi kesan kira-kira 10 tahun lalu.

 

 

solar

 


Komplikasi pewarisan sebuah rumah

Seorang lelaki meninggal dunia pada usia muda ketika mengerjakan ibadah haji. Dia meninggalkan isteri, seorang suri rumah, serta anak-anak yang masih kecil. Beliau juga masih mempunyai ibu bapa ketika itu.

 

Beliau bukan orang kaya. Hanya memiliki sebuah rumah kos sederhana yang masih dalam pembiayaan, sedikit simpanan dan perlindungan takaful. Namun selepas pemergiannya, waris berdepan dengan pelbagai kesukaran.

 

Rumah yang didiami balu dan anak-anak tidak boleh terus dipindah milik kerana masih dalam pembiayaan. Walaupun pinjaman itu dilindungi takaful, perlindungan tersebut tidak mencukupi untuk melunaskan keseluruhan baki hutang. Maka si balu terpaksa dilantik sebagai pentadbir dan berhempas-pulas mencari dana untuk menyelesaikan baki tersebut.

 

Dalam tempoh itu, berlaku pula satu lagi musibah apabila ibu bapa si mati meninggal dunia. Maka struktur waris berubah. Kini, bukan sahaja balu dan anak-anak yang berhak, malah adik-beradik si mati juga mewarisi bahagian melalui faraid daripada ibu bapa mereka.

 

Beberapa tahun kemudian, apabila semua baki pinjaman berjaya dilunaskan oleh si balu dan proses turun milik hendak dilakukan, timbul tuntutan daripada adik-beradik si mati terhadap bahagian mereka. Nilai rumah yang dahulu sekitar RM350,000 kini meningkat kepada RM650,000.

 

Apakah pilihan yang ada pada si balu? Jika mereka enggan melepaskan bahagian, maka nama mereka perlu dimasukkan ke dalam geran. Dan selepas mereka meninggal dunia, nama waris mereka pula akan menggantikan.

 

Akhirnya, sebuah rumah kecil menjadi milik ramai orang, termasuk sepupu-sepupu yang tidak pernah tinggal di situ. Inilah kemungkinan yang berlaku dan sepatutnya difikirkan oleh setiap bakal jemaah haji sebelum mereka melangkah ke Tanah Suci.

 

Kerana kita tidak tahu bagaimana pengakhiran perjalanan kita. Hibah, dalam konteks ini, bukan soal kekayaan. Ia soal kejelasan pembahagian harta.

 

Benar, kita sudah ada hukum faraid yang menetapkan bahagian waris, namun Islam juga mengizinkan kita merancang melalui kaedah hibah yang dibenarkan hukum syarak.

 

Hibah terus sampai kepada orang yang kita niatkan

Hibah ialah tentang memastikan bahawa jika sesuatu berlaku, harta yang kita tinggalkan terus sampai kepada orang yang kita niatkan tanpa menimbulkan kesukaran yang tidak perlu. Lebih penting lagi, hibah adalah tentang kasih sayang yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

 

Bayangkan seorang suami atau ibu bapa yang bakal berangkat ke Tanah Suci menyediakan hibah rumah kepada isteri atau anak-anak mereka. Rumah itu mungkin tidak besar, tetapi itulah tempat berteduh untuk anak-anak. Dengan adanya hibah, rumah itu telah jelas menjadi milik isteri atau anak-anak.

 

Tiada perebutan. Tiada kelewatan. Tiada tekanan. Bukankah itu satu bentuk perlindungan? Bukankah itu satu bentuk tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebelum kita menyahut panggilan menghadap Allah SWT?

 

Dalam Islam, kita sering bercakap tentang amanah. Harta yang kita miliki bukan milik mutlak kita. Ia adalah amanah yang akan dipersoalkan bagaimana kita memperolehnya dan bagaimana kita menguruskannya. Bagi bakal jemaah haji, persoalan ini menjadi lebih dekat.

 

Ini kerana kita sedang menuju kepada satu perjalanan yang mengingatkan kita tentang kematian, pengadilan dan pertemuan dengan Allah. Menguruskan harta bukan hanya semasa kita hidup, tetapi juga sebagai persediaan jika kita tidak kembali. Di sinilah perancangan harta menjadi sebahagian daripada ibadah.


 

solar

 


Apabila kita meninggalkan harta dalam keadaan yang teratur, kita sebenarnya sedang mengurangkan beban kepada waris. Kita mengelakkan pertelingkahan. Kita memelihara hubungan kekeluargaan. Dan semua ini adalah sebahagian daripada amal kebaikan yang berterusan.

 

Sebaliknya, apabila kita mengabaikan perancangan, kita mungkin secara tidak sedar meninggalkan masalah sebagai warisan sedangkan kita sedang menuju untuk mencari keampunan dan keredaan Allah.

 

Adakah bakal jemaah haji perlu membuat hibah?

Kembali kepada soalan tadi, “Perlukah saya buat hibah sebelum pergi haji?”

 

Jawapan saya tegas dan tuntas. Jika anda benar-benar bersedia untuk menjadi tetamu Allah, maka selesaikanlah juga urusan amanah anda kepada manusia.

 

Bukan dari sudut berapa banyak harta yang anda ada, tetapi dari sudut bagaimana harta itu akan memberi kesan kepada mereka yang anda tinggalkan. Hibah bukan tentang jumlah atau nilai. Ia tentang kesan, amanah dan tanggungjawab kepada orang yang anda sayangi.

 

Seorang yang mempunyai harta sedikit tetapi merancang dengan baik, insya-Allah akan dapat mengerjakan haji dengan hati yang lebih tenang dan fokus kerana dia tahu, jika sesuatu berlaku, keluarganya tidak akan terbeban.

 

Sebaliknya, seorang yang mempunyai harta banyak tetapi tidak merancang mungkin meninggalkan kekusutan yang panjang walaupun dia pergi dengan niat yang baik. Pilihan itu di tangan kita.

 

Hibah adalah untuk setiap bakal jemaah haji yang mahu memastikan bahawa perjalanan mereka ke Tanah Suci bukan sahaja bersih dari segi ibadah, tetapi juga tersusun dari segi amanah. Kerana dalam perjalanan menuju Allah, kita bukan sahaja membawa doa dan harapan, tetapi juga tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

 

Dan yang paling penting, bukanlah berapa banyak yang kita miliki, tetapi bagaimana kita meninggalkannya. - DagangNews.com


 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd