Haji Tanpa Visa (Bahagian Keempat) | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Haji Tanpa Visa (Bahagian Keempat) | Oleh Mohd Fudzail Mohd Nor

Saya tersedar sejam sebelum fajar menyinsing. Lelaki yang tadi berteleku di sisi, bersama tilam lusuhnya, sudah ghaib dari pandangan. Barangkali hanyut ke arah lain, atau tenggelam dalam lautan manusia yang bersimpuh dan bersandar di setiap ceruk Masjidil Haram. 

 

Ramai benar yang tidur bergelimpangan, seolah-olah dunia ini hanya hamparan tikar dan batu marmar. Barangkali mereka senasib dengan saya, yang tidur beralaskan langit dan berlapikkan lantai, namun lena bagai bayi yang dibuai kasih Ilahi. Di celah segala kekurangan, tersisip nikmat yang tak terungkap dengan kata-kata.

 

Keadaan di Masjidil Haram seperti biasa—sibuk, padat, dan penuh getar kerinduan. Saya sempat menjengah ke arah Kaabah, pusat tumpuan seluruh umat. Lautan manusia bertawaf tidak putus-putus, seperti zarah-zarah cinta mengelilingi pusat semesta. Cahaya lampu menari di permukaan marmar, mencipta keindahan yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana seniman dunia.

 

 

Fudzail

 

 

Saya bergegas mencari jalan keluar, menuju ke tandas yang letaknya agak jauh di bahagian bawah. Di setiap lorong dan tangga, manusia berpusu-pusu. Barisan di depan tandas panjang mengular, dan saya berdiri bersama yang lain, menanti giliran dengan sabar yang diuji. 

 

Di tengah barisan itu, ada yang cuba memotong, tidak mengendahkan adab atau susila. Ego dan pentingkan diri masih membekas, walau di tanah paling suci. Inilah wajah dunia nyata yang terbawa masuk ke rumah Allah.

 

Saya termenung, merenung dalam. Kalau Masjidil Haram tidak dipelihara oleh ribuan pekerja yang sentiasa menyapu dan membersih, barangkali keadaannya tidak ubah seperti hentian rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya antara Riyadh dan Makkah—penuh sampah sarap dan bau hancing. Kebersihan di sini bukan refleksi akhlak jemaah, tetapi hasil usaha sistematik kerajaan yang tekun menjaga rumah Tuhan ini.

 

Selesai urusan, saya sempat kembali ke dalam masjid sebelum azan subuh berkumandang. Dengan rezeki yang tidak disangka, saya sempat solat di saf hadapan. Seusai memberi salam, saya terus bergerak menuju ke asrama yang terletak berhampiran Mina, berjalan perlahan dalam kesegaran pagi, ditemani harapan agar tidak tersesat di tengah arus jemaah yang tidak pernah surut.

 

Saya menyimpan kerisauan kecil dalam hati. Andai apa-apa terjadi, tiada siapa mengenali saya. Tiada dokumen, tiada pengenalan. Pasport saya, bersama sekeping kertas bercap visa, dipegang oleh pensyarah Universiti Madinah yang menjadi ketua jemaah Indonesia dari Riyadh. 

 

 

Fudzail

 

 

Saya bukan gelandangan, bukan pula pelarian, tetapi seorang pengembara yang sedang menyusuri laluan tidak bertanda—the road less traveled. Pengalaman seperti ini bukan boleh dibeli, apatah lagi dirancang.

 

Dalam perjalanan, saya melewati restoran Indonesia yang masih tertutup rapat. Belum waktu sarapan. Langit masih lembayung, dan Makkah masih segar dalam dingin subuh. Melihat bukit-bukit sekeliling, teringat saya akan cerita almarhum ayah yang membesar di Makkah.

 

Dahulu tanah ini sunyi dan bersahaja; kini diselubungi keluli, kaca dan konkrit. Perubahan ini satu keperluan. Dengan jutaan jemaah setiap tahun, prasarana lama tidak mampu lagi menampung gelombang haji yang mendatang saban musim.

 

Saya tahu ada keluarga kerana ayah saya mempunyai 8 orang anak perempuan dari perkahwinan pertama yang menetap di Makkah. Namun saya memilih untuk tidak menghubungi mereka. 

 

Haji ini adalah perjalanan batin yang bersifat peribadi. Ia bukan liburan, bukan kunjungan. Ia perjalanan merentas sempadan akal dan ekspektasi. Saya tidak cukup tidur, namun rasa syukur mengatasi keletihan. 

 

Sebulan lalu, saya tidak pernah menyangka akan berada di sini. Tiada niat, tiada rancangan, namun saya terhantar juga ke Tanah Suci. Ini bukan kebetulan—ini jemputan dari langit.

 

Saya mempercepat langkah kerana selepas zohor nanti, kami dijadualkan bertolak ke Arafah. Paginya, akan diadakan taklimat dan ceramah oleh seorang ustaz dari Indonesia. Saya tidak mahu ketinggalan kerana ingin memahami manasik haji dengan lebih jelas dan mendalam.

 

Apabila sampai ke asrama, suasananya masih gawat seperti semalam. Saya mencari makanan yang disediakan, namun selera tiada. Lantas berjalan ke restoran berdekatan. Di bilik, masih ada yang terbaring, lena tidak sedarkan diri. Katanya, bekalan air sudah kehabisan. Menunggu tangki air datang. Mujur saya sempat mandi tengah malam tadi, dan sekali lagi di Masjidil Haram sebelum fajar.

 

 

Fudzail

 

 

Abdul Rahman, ketua rombongan kami, segera menyapa. “Ke mana menghilang?” tanyanya. Saya bercerita sepenuhnya. Dia ketawa, dan berkata, “Lain kali ajak saya. Saya pun nak merasa tidur atas bumbung macam tu.” 

 

Beberapa orang lain turut mencelah, ingin ikut serta dalam pengembaraan spontan saya. Saya hanya senyum. Mungkin mereka terpesona dengan kisah tidur bersendirian di bawah langit Makkah, dan bangun dalam kepungan jemaah wanita.

 

Sementara menanti taklimat, saya berjalan mengelilingi kawasan asrama. Ada sebuah masjid kecil, namun tandasnya kotor, dan bekalan air turut habis. Kami kemudian berkumpul di atas bumbung asrama. Ustaz dari Indonesia itu pernah menunaikan haji beberapa kali. Beliau memberi panduan bermula dari Arafah, ke Muzdalifah, hingga ke Mina.

 

Saya duduk paling hadapan agar dapat mendengar dengan jelas, kerana beliau bercakap dalam bahasa Indonesia. Ada kisah lucu yang diceritakan. Para jemaah tertawa. Saya tidak ingat sepenuhnya, cuma ia berkisar tentang seorang alim dari Indonesia yang ke Malaysia, lalu menipu orang-orang di sana. 

 

“Orang Malaysia ni mudah kena tipu,” katanya sambil ketawa.

Selepas ketawa reda, beliau bertanya, “Di sini, tiada orang Malaysia, ya?” Abdul Rahman pantas menunjuk ke arah saya, 

“Ada! Ini kawan kita dari Malaysia.” Sekali lagi bergema ketawa.

Ustaz itu terkejut, lalu meminta maaf jika saya terasa hati. Saya hanya senyum dan berkata, “Tidak, saya anggap itu jenaka.” 

Sejak itu, saya menjadi semacam ‘maskot’—satu-satunya bukan warga Indonesia dalam rombongan ini.

 

Kami pun bergerak menuju ke Arafah. Semangat berkobar, ekspektasi tinggi. Saya membayangkan khemah putih seperti yang sering terlihat dalam dokumentari. Namun, saat tiba di tempat penginapan kami, saya terpaku.

 

Bangsal terbuka, beratapkan pelepah kurma, tanpa dinding, tanpa privasi. Hanya alas tikar yang memisah badan dari tanah. Saya bertanya kepada Abdul Rahman, “Untuk semua? Lelaki dan perempuan sekali?” Dia hanya mengangguk.

 

Tiada pilihan

Saya mengajak Abdul Rahman menjelajah Arafah. Ramai yang mahu turut serta. Kami mendaki Jabal Rahmah, menyaksikan suasana yang penuh harapan. Kami juga sempat membantu mengedarkan makanan dari lori. “Sabil! Sabil!” kami laungkan—seolah di tanah kelahiran kami.

 

Petang itu, selepas asar, kami pulang ke bangsal. Dalam keletihan, tiba-tiba terdengar jeritan wanita. Keadaan menjadi gempar. Kami berkejar ke belakang khemah. Seorang jemaah wanita histeria. Katanya dirasuk. Orang ramai panik, suasana jadi huru-hara.

 

 

Fudzail

 

 

Abdul Rahman tampil ke depan. Rupa-rupanya dia juga seorang bomoh. Dengan yakin, dia memeluk wanita yang melolong itu. Saya terkesima. Bukankah wanita itu sama seperti yang tersenyum kepada saya di tandas semalam?

 

Abdul Rahman berkomat-kamit membaca doa dan ayat suci, pelukannya semakin erat. Saya memerhati dengan rasa kaget, tidak pernah membayangkan akan menyaksikan rasukan di Arafah, sehari sebelum wukuf.

 

Apabila suasana reda, dan wanita itu dibaringkan, saya mendekati Abdul Rahman.
“Kenapa kamu peluk dia? Dia isteri orang, kamu pun suami orang, bukan mahram!”

 

Saya bukan marah, cuma hairan—kenapa perempuan itu yang dirasuk, bukan yang lain? Abdul Rahman hanya tersenyum nakal. Menarik nafas panjang, sebelum menjawab... - DagangNews.com

(Bersambung dalam buku travelog,  Haji Tanpa Visa)