Setiap generasi mewarisi sesuatu yang mereka tidak pilih. Generasi X mewarisi hutang pembangunan, milenial mewarisi hutang kehidupan. Generasi Z mewarisi sistem yang kehilangan logik.
Mereka lahir antara 1997 dan 2012, kini hampir 7.7 juta orang atau hampir suku daripada populasi Malaysia.
Generasi ini membesar dengan keyakinan digantikan algoritma, dan pasaran yang bergerak lebih pantas daripada dasar. Mereka tidak menentang institusi, tetapi tidak lagi mempercayainya sepenuhnya.
Ekonomi Yang Tidak Membesarkan Manusia
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan gaji median rakyat pada 2024 ialah RM2,793. Pada masa sama, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) melaporkan harga rumah purata mencecah RM430,000 pada suku pertama 2025.
Jurangnya terlalu luas sehingga seorang anak muda perlu bekerja lebih 12 tahun tanpa berbelanja untuk memiliki rumah pertama. Itu bukan sekadar statistik; itu tanda sistem yang gagal membalas usaha manusia.
Graduan baharu menerima gaji sekitar RM2,600 manakala inflasi makanan kekal pada paras 4.2% dan kadar sewa di bandar meningkat sekitar 6%. Kadar penyertaan tenaga buruh Malaysia berada pada 70.4%, tetapi peningkatan produktiviti tidak mencipta mobiliti sosial.
Malaysia terus berbicara tentang inovasi, tetapi perbelanjaan untuk penyelidikan dan pembangunan kekal sekitar 1% daripada KDNK. Kita melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia, tetapi dunia menanti mereka masih beroperasi dengan logik lama.
Duit Digital, Realiti Tanpa Jaring
Bank Negara Malaysia merekodkan purata 409 transaksi e-pembayaran bagi setiap rakyat sepanjang 2024. Dunia tanpa tunai sudah menjadi rutin, tetapi dunia tanpa jaminan masih menghantui.
Kajian Etiqa menunjukkan 64% rakyat Malaysia tidak dapat bertahan lebih tiga bulan tanpa gaji tetap. Struktur sosial masih berpaksikan pekerjaan konvensional walaupun penyelidikan Khazanah Research mendapati 26% tenaga kerja kini bekerja secara bebas.
Undang-undang buruh belum menyesuaikan diri, sistem pencen masih statik, dan skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja belum benar-benar menampung generasi tanpa kontrak.
Teknologi memberi kebebasan memilih, tetapi tidak memberi kepastian. Segala-galanya boleh dibayar dengan satu imbasan, kecuali masa depan yang stabil.
Kapitalisme Yang Kehilangan Empati
Generasi ini ialah pengguna paling bijak yang pernah wujud, tetapi juga paling sinis. Mereka tidak lagi percaya mitos pasaran yang kononnya rasional.
Pelabur terus melaungkan komitmen terhadap ESG, sementara sungai kekal beracun dan gaji pekerja tidak berubah. ESG kini berfungsi sebagai kosmetik korporat menutup kerak tamak; keuntungan kekal disembah sebagai tuhan ekonomi.
Kapitalisme moden kehilangan empati apabila manusia dikira sebagai kos dan bukan nilai. Mereka membeli bukan kerana diseru iklan, tetapi mahu menegakkan moral kecil di tengah sistem besar yang hilang moral.
Dari pilihan kecil di Shopee hingga sokongan kepada pemoengaruh bebas di TikTok Shop, lahir pasaran moral yang tumbuh daripada keletihan terhadap kepura-puraan.
Pasaran hari ini bukan lagi tempat menentukan harga, tetapi tempat manusia menilai watak, lalu menjualnya kepada yang paling murah.
Politik Yang Menjadi Cermin
Selepas pelaksanaan Undi18, Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan hampir 29% pemilih berumur di bawah 30 tahun. Jumlah itu besar, tetapi suara mereka tenggelam dalam struktur lama yang masih bernafas. Politik kehilangan kreativiti, hanya menukar dekorasi.
Manifesto diulang, ideologi dilupus. Negara telah menjadi pameran calon kitar semula. Wajah yang sama kembali bertanding di bawah lambang baharu selepas melompat parti, seolah warna mampu menutup sejarah.
Politik Malaysia berubah menjadi industri yang cekap menghasilkan slogan tetapi gagal menghasilkan dasar. Dalam sistem yang dibina atas kebergantungan, perubahan bukan ancaman, ia dosa.
Generasi muda tidak marah, mereka sudah berhenti berharap. Bagi mereka, politik bukan medan pertarungan idea tetapi urus niaga masa depan kuasa. Permainan ini tidak pernah tentang masa depan rakyat. Ia sekadar strategi menjamin masa depan pemain.
Cermin Serantau Yang Tidak Menipu
Laporan e-Conomy Asia Tenggara 2024 mencatatkan Vietnam menggandakan saiz ekonomi digitalnya dalam lima tahun terakhir.
Singapura mengekalkan penarafan kredit tertinggi dunia selama lebih tiga dekad kerana disiplin institusinya. Korea Selatan terus menjadi penanda aras dengan pelaburan penyelidikan dan pembangunan hampir 5% daripada KDNK.
Malaysia masih menulis laporan tentang reformasi fiskal tetapi gagal menepati garis masa pelaksanaannya. Subsidi disusun mengikut musim pilihan raya, bukan mengikut keperluan rakyat.
Negara cemerlang dalam merancang, tetapi gagal melaksanakan. Kita mengukur kemajuan dengan laporan, bukan hasil.
Masa Depan Tanpa Izin
Menjelang 2035, Generasi Z akan menguasai pasaran kerja. Sepuluh tahun kemudian, mereka akan mengisi kabinet, lembaga pengarah dan institusi dasar. Mereka akan menilai ekonomi seperti algoritma; jika berfungsi, dikekalkan, jika gagal, dipadam.
Pentadbiran mereka akan berpaksikan data dan kecekapan, bukan keangkuhan politik. Ekonomi akan diukur melalui keberkesanan, bukan retorik. Politik akan dinilai seperti sistem operasi; jika gagal, diganti.
Negara mungkin tidak menjadi lebih lembut, tetapi akan menjadi lebih jujur. Kepimpinan baharu tidak akan muncul dengan perarakan atau slogan. Ia akan datang seperti audit tidak diundang, memeriksa siapa membelanjakan terlalu banyak kepercayaan kepada sistem yang tidak membayar dividen keadilan.
Generasi Z bukan sekadar pewaris masa depan. Mereka hakim kepada masa kini. Apabila sistem gagal, mereka tidak menulis aduan. Mereka menulis semula peraturan. - DagangNews.com








