Pantun berkait diperkenalkan kepada dunia sastera Perancis pada abad ke-19. Dan tokoh yang jatuh cinta pada pantun Melayu ini tidak lain tidak bukan adalah Victor Hugo, sasterawan teragung negara Perancis, penulis Les Miserable dan antara puisi kegemaran saya, “Demain, dès l'aube”.
Pada tahun 1829, Hugo menerbitkan koleksi puisi yang sangat terkenal, les Orientales. Di dalamnya beliau menyertakan catatan yang meluas, termasuk sebutan khas mengenai terjemahan Perancis pantun Melayu dari sahabatnya Ernest Fouinet yang diberi judul Pantoum Malai.
Victor Hugo jelas terpukau dengan pantun genre ini, menggambarkannya sebagai "d’une délicieuse origanlité" (keaslian yang mengasyikkan).

Pantun Melayu dalam aksara Jawi diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William Marsden dalam bukunya A Grammar of the Malayan Language (diterbitkan pada tahun 1812) dan kemudian diterjemah oleh Ernest Fouinet ke dalam Bahasa Perancis.
Kupu-kupu terbang melentang
Terbang di laut di hujung karang
Hati di dalam menaruh bimbang
Dari dahulu hingga sekarang
Terbang di laut di hujung karang
Burung nasur terbang ke Bandan
Dari dahulu hingga sekarang
Banyak pemuda sudah ku pandang
Burung nasur terbang ke Bandan
Bulunya jatuh di Patani
Banyak pemuda sudah ku pandang
Tiada sama pemuda ini
Bulunya jatuh di Patani
Dua puluh anak merpati
Tiada sama pemuda ini
Sungguh pandai membujuk hati.
Puisi dalam aksara Jawi ini ditampilkan di kulit buku Alam Pantun Melayu oleh Francois Rene Daillie (Nota: Alhamdulillah, berkat arwah datuk Hj Jaafar Awang Pekan membaca akhbar Jawi, saya boleh membaca Jawi tetapi ia merupakan seni budaya yang semakin pupus di Malaysia).
"Pantoum Malai" yang dinyatakan sebenarnya adalah pantun berkait, satu set pantun yang panjang dengan quatrain yang berkait antara satu sama lain.
Ketika pantoum pada zaman itu menarik perhatian di Perancis, salah seorang Sultan Melayu dibuang negeri ke Pulau Seychelles, Sultan Abdullah dari Perak. Sultan Abdullah boleh bertutur dalam Bahasa Perancis dengan baik, begitu juga anak-anaknya yang memainkan lagu kegemarannya, Les Rosalie dengan menggesek biola dan bermain piano, hingga akhirnya menjadi asas lagu kebangsaan kita (diceritakan sendiri cicit Sultan, Almarhumah Mak Ungku Teh Zaitun Raja Kamaralzaman).
Saya membayangkan bila Sultan Abdullah ke Paris, ‘Universal Gentleman’ Dunia Melayu ini bertemu Victor Hugo di Paris bercerita pantun dan pantoum.
Keindahan sebenar pantun terletak pada keupayaannya untuk mendedahkan lapisan makna yang dalam secara berperingkat. Ia mencipta sesuatu kerinduan dan rangkaian emosi yang mendalam yang tidak perlu diungkapkan, lama selepas pantun itu diucapkan. Ia bermain dengan pelbagai sutra indera, terutamanya isi hati.
Saya yakin ramai tidak menyangka karya dan lagu pemenang Anugerah Akademi, Oscar Hammerstein II ada kaitan dengan pantun. Karya genius teater muzikal dari era zaman lampau ini telah menulis 850 lagu, dan Hammerstein merupakan pengarang lirik dan dramawan tersohor dalam rakan kerjaya beliau.
Terdapat satu lagu sinonim dan abadi ditulis oleh Hammerstein yang diberi tajuk “I am Going To Like It Here” dari persembahan teater Flower Drum Song. Lagu Oscar Hammerstein sebenarnya merupakan contoh pantun berkait, diilhamkan pantun dan pantoum. Sungguh tidak disangka sama sekali.
Kebangkitan pantun
Saya berharap untuk melihat pantun mengalami kebangkitan seluruh dunia. Penghargaan sebagai Intangible Cultural Heritage Of Humanity (That Needs Saving) sebenarnya satu pesanan supaya kita tilak kehilangan warisan budaya yang begitu kaya dan unik. Namun ia perlu dipergiatkan di sekolah, di radio dan dalam masyarakat. Di iklan dan drama, filem dan lagu rakyat.
Ini antara pantun kegemaran saya, diabadikan untuk anak cucu.
Yang korek itu kundi
Yang merah itu, saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa
Nasi lemak buah bidara
Daun selasih saya lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kasih saya turutkan
Pulau Pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang jua
Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Tudung periuk pandai menari
Mainan anak putera mahkota
Kain yang buruk berikan kami
Buat menyapu air mata

Kalau roboh Kota Melaka
Papan Jawa saya dirikan
Kalau sungguh bagai dikata
Nyawa dan badan saya serahkanKalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur panjang
Boleh kita berjumpa lagi
Kelestarian pantun amat diperlukan. Jangan sampai anak kita hanya mendengar pantun semasa majlis perkahwinan.
Atau cucu-cucu yang belum dilahirkan, tidak kenal sama sekali. - DagangNews.com









