Dari Hikayat Kita | Cinta terhadap Sastera. Seni. Sejarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dari Hikayat Kita | Cinta terhadap Sastera. Seni. Sejarah

Oleh NINOT AZIZ

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Walau jauh beribu batu,
Hilang di mata, di hati jangan.

 

Sudah tiga tahun lamanya ruangan ini — DARI HIKAYAT KITA. Di sinilah saya tumpahkan kasih dan cinta yang tidak terhingga kepada warisan bangsa — sastera, seni dan sejarah yang menjadi nadi kepada jiwa kita.

 

Inilah perasaan dan jiwa. Nurani dan raga. Menelusuri kembali akar umbi, menyusur hikayat dan pantun lama, dan menzahirkannya kembali kepada generasi hari ini.

 

Cinta pada Bumi Emas. Samudera Luas. Kayangan Teratas.

 

Tanah Semenanjung — Bhumi Emas

Tanah Semenanjung — juga dikenali sebagai Bhumi Emas, bumi emas yang memanjang dari utara ke selatan seperti jambatan zamrud yang menghubungkan dunia pulau-pulau nan riang di timur dengan empayar besar di tanah besar yang sibuk dan penuh liku.

 

Di pesisirnya berdiri negeri-negeri kota yang gah; dari Sungai Batu ke pusat tamadun awal, seperti Campa dan Langkasuka,  tempat berlabuhnya tamadun dan pertukaran ilmu serta budaya.

 

Negeri seperti Gangga Nagara, Gellangui, dan Inderapura  — muncul, dengan gah tetapi akhirnya lenyap ditelan arus zaman. Namun yang kekal dan tidak pernah tunduk ialah rimba dan belantara. Dilanggar musuh, ia tumbuh semula. Dibakar, hujan menyemarakkannya semula. 

 

Hujan emas di negeri orang,
Biarlah hujan batu di negeri sendiri;

 

Hutan ini, jutaan tahun umurnya, semakin subur arah ke selatan — akarnya menyusup ke dalam tanah yang kaya dengan emas dan timah. Pepohon tinggi menjulang langit, daun merimbun lebat, menjadi perlindungan si kecil — semut, burung, serangga. Bila musim bertukar dan angin tengkujuh menderu, hanya mereka yang akur dengan alam akan terus berdiri.

 

Di pesisir barat, angin mendayu-dayu, dilindungi banjaran gunung dan pulau-pulau api dari Serendip. Namun di pesisir timur, Laut China Selatan menggila — ombak seperti harimau mengaum, memukul pohon-pohon yang tunduk ketakutan. Hanya si pohon kelapa menari lentur, menawan segala bidalan dengan tarian lemah gemalainya dipukul angin.

 

Bahtera dan Samudera Luas

Walaupun bumi tempat kerajaan dibina, hakikatnya bangsa ini sentiasa menyelurusi lautan. Anak-anak Melayu dahulu adalah pelaut, pewaris maritim yang membina bahtera dari memori dan pengalaman — satu naluri purba, warisan berdarah, yang terbit seperti sensori dalam DNA. Mereka kenal jenis kayu terbaik dari hutan, dan bagaimana anyaman buluh menjadi layar melawan ribut dan gelombang.

 

Layar dilabuh di tengah samudera,
Berpaut bintang sebagai pedoman;
Bahtera sebaik mungkin dibina
Dari warisan, gagah bertahan.

 

Angin pulau mungkin menjadi rahsia ketenangan jiwa penduduknya. Ia menyuburkan harapan, tenaga dan kesyukuran. Alam meresap dalam jiwa mereka — dan manusia menjadi pemerhati yang cerdas. Mereka perhatikan rupa dan gerak tumbuhan, herba, awan dan bintang — dan dari situ, mereka cipta perkakas, alat dan seni yang memukau.

 

Dari kelopak bunga hingga kepada cengkih yang halus, dari awan larat di langit ke malam bertabur bintang — semua menjadi bahan renungan. Dan daripada renungan itu, lahirlah pantun — kemuncak bahasa hati bangsa ini.

 

Kalau tidak kerana bulan,
Takkan bintang bersinar terang;
Kalau tidak kerana pantun yang ditanam,
Takkan jiwa bangsa jadi cemerlang.

 

Sungai yang Berlagu

Untuk benar-benar memahami alam Melayu ini, kenalilah sungainya. Dari puncak gunung, hujan turun seperti tirai membelah langit. Air mengalir deras, membentuk jeram putih, memukul batu-batu purba. Kemudian kembali tenang, mengalir indah ke lembah dan desa, akhirnya ke laut. Sungai ini meliuk, membelok, berpatah balik ke kiri dan kanan seolah-olah menyimpan rahsia.

 

Ikan yang berenang dalam airnya memantulkan kilauan logam di dasar — emas, timah dan tembaga. Inilah sungai-sungai yang menjadi nadi tamadun.

 

Raja-raja dahulu membina rakit nan indah — Balai Gambang — lengkap dengan atap selindung sinar mentari, lengkap dengan ruang makan, ruang tidur, gambang dan gamelan, mengasyikkan irama. Perjalanan menyusuri sungai ini bukan sekadar pengangkutan, tapi satu pesta.

 

Arus deras membawa gambang,
Irama berdendang mengiring lalu;
Budi dan ilmu bagai penyandang,
Aman damai, selamat selalu.

 

Adab dan Budi

Dalam gaya hidup yang lembut tetapi mewah makna, manusia menyusun harapan, rasa dan fikir ke dalam bentuk puisi yang indah — pantun. Mereka hidup dalam keseimbangan antara laut dan darat. Namun yang paling utama — mereka junjung adab dan budi.

 

Kerana dalam dunia kita, hutang budi tidak bertepi. Sekali diberi, ia mengikat dua insan dalam kasih yang abadi.

 

Tumbuh kelapa di tepi perigi,
Batangnya tegak, buahnya lebat;
Hutang budi dibawa mati,
Jadi warisan paling keramat.

 

Bulan dan Bintang di Kayangan Teratas

Anak Bangsa membaca bintang, dan perjalanan bulan untuk merancang peredaran masa dan musim. Mereka mencipta alat, seni dan bahasa — hingga terlahir pantun, pusaka jiwa yang sukar ditandingi memuji dan mengambil iktibar dari alam semesta. 

 

Kalau tidak kerana bulan,
Takkan bintang bersinar terang;
Kalau tidak kerana pantun berzaman
Takkan jiwa bangsa jadi gemilang.

 

Segala yang dipelajari dari tujuh petala bumi dan tujuh petala langiti dihimpun dalam pantun. Dalam dua baris pembayang, dua baris maksud — tersembunyi falsafah hidup, kasih, dan harga diri. Kerana dalam dunia Melayu, hutang budi tidak berpenghujung. Ia mengikat insan dan keturunan. 

 

Ia menjadi nadi bangsa.

 

Terima kasih kepada pembaca setia DARI HIKAYAT KITA selama tiga tahun ini. Dari Langkasuka ke Inderapura, dari awan larat ke Balai Gambang — perjalanan sehingga akhir bulan Julai ini bukanlah penamat tetapi permulaan kepada kisah yang akan terus kita bawa bersama.

 

Dan insya-Allah, penghujung tahun ini, DARI HIKAYAT KITA akan muncul dalam bentuk buku — himpunan artikel dan esei Bahasa Melayu dan Inggeris sebagai pusaka untuk generasi akan datang.

 

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula;
Tiga tahun sudah bersama,
Berakhir di sini, bukan di jiwa.
 - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 yang telah menjadi kolumnis DagangNews.com menerusi kolum DARI HIKAYAT KITA sejak 11 Mei 2021. Sidang Editorial telah memutuskan untuk tidak meneruskan kolum ini mulai Ogos 2025 atas dasar komersial.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA