Bagaimana Wasiyyah Shoppe kekal relevan kepada industri selepas 20 tahun? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bagaimana Wasiyyah Shoppe kekal relevan kepada industri selepas 20 tahun?

Oleh Ariffin Sabirin

Saya orang tua di dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia. Semenjak 1998, saya telah melihat dengan mata sendiri bagaimana industri ini berubah.

 

Semenjak 2004, saya menerajui Wasiyyah Shoppe Berhad melalui pelbagai ujian yang sangat menduga ketabahan hati.

 

Saya melihat juga bagaimana begitu banyak syarikat dan individu yang masuk di dalam industri ini kerana merasakan ia industri yang mudah dan mesti untung, hanya untuk kemudiannya mengibarkan bendera putih, menyerah kalah selepas beberapa waktu.

 

Ramai rakan daripada syarikat amanah pula mengeluh kerana merasakan segala penat lelah dan kerja keras mereka tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Mereka masih terpaksa bertungkus-lumus ‘survive’ di dalam industri ini walaupun selepas beberapa tahun beroperasi. 

 

Selalu rakan-rakan tanya bagaimana saya membawa Wasiyyah Shoppe Berhad terus kekal relevan kepada industri malah semakin melangkah gagah dari masa ke semasa  walaupun sudah mencecah umur 21 tahun.

 

Sebenarnya apa yang saya akan kongsikan ini bukan hanya relevan kepada Wasiyyah Shoppe Berhad malah untuk semua organisasi perniagaan.

 

parafrasa

 

 

Langkah strategik paling penting yang saya mahu kongsikan di dalam artikel minggu ini  ialah SENTIASALAH MENAMBAH NILAI kepada pasaran sasaran anda.

 

Bunyinya macam senang saja kan namun ia tidak semudah yang disangkakan. Ia perlu dilakukan secara sistematik serta didokong kukuh oleh semua pemegang taruh organisasi itu.

 

Di Wasiyyah Shoppe Berhad, Lembaga Pengarah, Panel Syariah, pasukan pengurusan, kakitangan dan semua daie-daie kami faham perkara ini dan menyusun langkah berusaha keras bergerak  ke arah ini.

 

Di peringkat pengurusan, setiap hari kami mencari idea-idea baru yang akan memberikan kami ruang dan peluang untuk menambah nilai kepada masyarakat.

 

Kami sangat faham bahawa kewujudan dan kejayaan kami selama 20 tahun ini ialah kerana kami berjaya secara konsisten menambah nilai ke dalam masyarakat melalui aktiviti perniagaan kami.

 

Penambahan nilai ini dibuat dilaksanakan melalui strategi 5 menang yang secara konsisten telah kami bangunkan semenjak 20 tahun yang lepas ; menang-menang-menang-menang-menang. Siapakah yang menang?

 

1. Islam di Malaysia menang

Islam di Malaysia menang kerana inisiatif dan kerja keras Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 21 tahun lepas untuk mendaulatkan perancangan harta secara Syariah telah membawa kepada perubahan signifikan kepada industri ini.

Contohnya, pengenalan hibah sebagai instrumen perancangan harta oleh Wasiyyah Shoppe Berhad pada 2004 telah menggerakkan industri kewangan Malaysia untuk mula membangunkan kaedah hibah sehingga diperkenalkan Jadual 10 berkaitan hibah takaful di dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam  2013.

Pengenalan produk hibah harta bercagar kami pada 2017, walaupun kontroversi pada ketika itu kerana pandangan majoriti mengatakan harta yang masih bercagar (dalam pembiayaan bank) tidak boleh dihibahkan, membawa kepada pelbagai penyelidikan ilmiah dibuat dan akhirnya pelbagai fatwa dikeluarkan oleh negeri-negeri.

 

2. Ummah dan negara menang 

Ummah dan negara menang kerana harta yang dirancang dengan baik dan harta pusaka yang diurus melalui perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad berjaya diturunmilik dengan cepat, tepat dan PERCUMA (tiada fi pengurusan pusaka dikenakan kepada waris atau dipotong daripada harta pusaka) dapat digembleng untuk membantu ekonomi ummah dan negara menjadi lebih kukuh.

Bagi harta-harta ini tidak timbul isu hartanah terbeku dan tidak terurus, cukai tanah tidak berbayar, perniagaan tutup kerana operasi syarikat terjejas akibat saham direbutkan waris-waris, wang simpanan di bank terbeku sehingga diserah kepada Jabatan Akauntan Negara Malaysia di bawah Akta Wang Tidak Dituntut 1965 dan waris tidak berbalah maka institusi kekeluargaan terpelihara walaupun selepas kematian ibu bapa.  

 

3. Waris-waris menang

Waris-waris menang kerana mereka tidak terbeban untuk membayar apa-apa fi pengurusan pusaka bagi melalui proses perundangan menuntut harta pusaka ibu bapa mereka.

Di Malaysia sehingga artikel ini ditulis setakat pengetahuan saya, hanya Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja yang menyediakan perkhidmatan pengurusan harta pusaka PERCUMA.

Waris-waris juga menang kerana harta pusaka yang diurus dengan baik mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka.

 

4. Daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad menang

Pembangunan perkhidmatan patuh Syariah inovatif yang komprehensif dan menambah nilai signifikan kepada masyarakat memudahkan pula daie-daie Wasiyyah Shoppe Berhad di seluruh Malaysia untuk memasarkannya.

Mereka berpeluang memperoleh pendapatan lumayan sehingga ada yang memperoleh pendapatan mencecah RM 1 juta setahun! Peluang ini memotivasikan lagi mereka untuk bekerja lebih kuat untuk membantu lebih ramai lagi umat Islam.

 

5. Wasiyyah Shoppe Berhad menang

Sebagai organisasi berniaga, aplikasi tepat strategi 5 menang ini memberikan kesan positif pula kepada Wasiyyah Shoppe Berhad. Setiap tahun prestasi kewangan kami semakin meningkat.

Setakat Disember 2024, kami berjaya memenuhi jangkaan pelan perniagaan yang dirancang dan berdasarkan perkembangan semasa, saya percaya kami akan mencatat satu lagi rekod kejayaan baru pada tahun kewangan 24/25 yang akan berakhir pada 30hb Jun 2025. 

 

 

wasiyyah

 

 

Nampak macam senang saja kan? Inilah sangkaan rakan-rakan saya apabila mereka melihat perkembangan Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Realitinya, mencari formula yang dapat menyeimbangkan kemenangan kelima-lima pihak ini bukanlah sesuatu yang mudah. Semua tindakan taktikal yang diambil mestilah dapat menambah nilai secara signifikan kepada semua pihak.  

 

Pembangunan formula ini memerlukan kami mempertimbangkan kepentingan semua pihak secara terperinci. Dalam hidup, apabila kita membuat sesuatu keputusan, pastinya ia akan memberi kesan kepada pihak-pihak tertentu. Pasti akan ada pihak yang menang dan yang kalah.

 

Jika setakat satu pihak sahaja yang menang dan nilainya bertambah sedangkan pihak pemegang taruh lain yang terlibat tidak menikmati manfaat yang sama atau lebih teruk lagi mengalami kerugian, formula ini akan gagal.  

 

Alhamdulillah, di atas nawaitu yang jelas dan tepat, sokongan padu keseluruhan pasukan kerja yang sangat percaya kepada ‘purpose’ kami bekerja dan tentunya di atas keizinanNya, formula ini berjaya kami bangunkan dengan pelaksanaan yang tuntas.

 

Hasilnya, Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga hari ini kekal relevan di dalam industri. Prinsip MENAMBAH NILAI ini memang terbukti berkesan dan kami ialah contohnya. - DagangNews.com

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

 

 

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd