Ketika saya mula bercakap tentang hibah kepada masyarakat sekitar tahun 2004 ketika Wasiyyah baru ditubuhkan, saya dituduh sebagai “Ayah Pin 2” kerana dikatakan membawa ajaran sesat tentang hibah yang masyarakat dakwa tidak wujud di dalam Islam.
Saya berdepan dengan pelbagai kritikan ketika itu malah selalu berdepan ‘one-to-one’ berdepan dengan pelbagai pihak yang menuduh saya membawa ajaran hibah ini kerana mahu mengaut keuntungan hasil menjualnya.
Selama 9 tahun saya bertahan dan bersabar dengan segala ujian dan tohmahan hibah itu ajaran sesat sehinggalah Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 yang menceritakan tentang hibah takaful diperkenalkan.
Akta ini diperkenalkan untuk memberi panduan jelas tentang bagaimana manfaat takaful boleh diwariskan termasuklah melalui penamaan benefisiari (penerima hibah).
Bergerak ke hadapan, 21 tahun selepas Wasiyyah beroperasi, masyarakat sudahpun mula memahami bahawa hibah itu ialah sebahagian daripada transaksi muamalat yang memang wujud di dalam Islam dan merupakan cara yang paling berkesan untuk membahagikan harta.
Institusi kewangan di Malaysia juga mulai memahami konsep hibah dan ada yang sudah mengaplikasikannya di dalam operasi mereka.
Alhamdulillah, saya merasa sangat puas kerana sedikit sebanyak Wasiyyah telah mencorakkan industri perancangan harta di Malaysia dengan mempelopori kaedah hibah semenjak 2004 di saat masyarakat langsung tidak memahami tentangnya.
Hari ini Wasiyyah sudahpun muncul sebagai penyedia dan pelaksana dokumen hibah yang paling banyak di Malaysia.

R&D Ilmiah
Melalui penyelidikan ilmiah berterusan, proses pembangunan perkhidmatan yang berteraskan disiplin ilmu yang ketat yang patuh hukum syarak sepenuhnya, Wasiyyah hari ini membantu masyarakat membuat hibah melalui 245 format meliputi perkhidmatan seperti hibah hartanah bercagar, hibah hartanah tidak bercagar, hibah saham syarikat sdn bhd, hibah barang kemas, hibah akaun bersama, hibah akaun CDS Bursa Malaysia, hibah akaun saham amanah, hibah akaun pelaburan emas, hibah kenderaan, hibah barang berharga, hibah akaun private mandate dan private equity dan hibah saham koperasi.
Walaupun sudah berada di dalam kedudukan sebagai peneraju industri perancangan harta di Malaysia, Wasiyyah tidak berhenti di situ.
Kami sentiasa memikirkan apa lagi yang boleh ditambah baik supaya masyarakat mendapat manfaat yang lebih banyak daripada kami. Antara perkara yang kami perhalusi ialah implimentasi digital di dalam industri perancangan harta di Malaysia.
Pengalaman ketika zaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) era COVID-19 memberi pengajaran bahawa perkhidmatan kami tidak boleh bergantung kepada dokumentasi secara berkertas semata-mata.
Era di mana semua dokumen mesti dicetak, ditandatangani dan disaksikan secara fizikal sudahpun berlalu. Memang benar ada dokumen yang masih perlu melalui prosedur manual itu sepertimana peruntukan undang-undang yang terkait dengannya, namun ada banyak lagi dokumen yang boleh dibuat secara digital tanpa kertas.

Hari ini, urusan membuat dokumen berkaitan harta pusaka perlulah dibuat melalui digital, rentas sempadan, ‘realtime’ dan pantas tetapi yang paling penting, patuh hukum Syarak dan boleh diterima oleh Mahkamah Syariah.
Menyedari hakikat ini, Wasiyyah telah bekerja bertungkus-lumus bermula daripada tahun 2020 untuk membangunkan kaedah akad hibah digital. Kami melihat kepada aspek teknikal kepatuhan SOP dan ciri-ciri sistem digital akad ini kepada hukum Syarak dan undang-undang Syariah yang terpakai di Malaysia.
Kami memberikan pembentangan kepada semua 14 Mahkamah Syariah seluruh Malaysia bagi mendapatkan maklumbalas mengenai sistem ini.
Selepas melalui proses yang teliti dan memakan masa hampir 3 tahun, pada Mac 2023, Wasiyyah melancarkan sistem aplikasi mudah alih Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) iaitu kaedah akad hibah digital tanpa kertas yang pertama di dunia.
Aplikasi ini memudahkan pemberi dan penerima hibah berakad hibah hanya melalui telefon bimbit sahaja. Mereka boleh berada di mana-mana lokasi seluruh dunia dan akad ini boleh disempurnakan di dalam masa kurang daripada 15 minit berbanding kaedah tradisional menandatangani dokumen hibah berkertas yang kebiasaannya mengambil masa sehingga beberapa jam. Akad yang telah sempurna kemudiannya disimpan di sistem penstoran awan.
Setakat 31 Disember 2024, lebih daripada 9,000 orang telah menggunakan kaedah ini. Wasiyyah juga telah menerima perintah pengesahan hibah digital ini daripada Mahkamah Syariah.
Apa yang lebih menarik UsraHDD ini bukan sahaja mudah, pantas, selamat dan patuh Syariah, ia juga selari dengan konsep kemampanan ESG yang dipegang oleh Wasiyyah.

Pendigitalan
Bukan sahaja masyarakat mendapat manfaat dari usaha pendigitalan ini malah kakitangan dan daie Wasiyyah juga menikmati manfaatnya. Kini lebih daripada 50% kakitangan Wasiyyah bekerja secara ‘Flexible Working Arrangements’.
Mereka bebas bekerja daripada mana-mana lokasi dan tidak terikat dengan jadual kerja di pejabat. Bagi daie pula, digitalisasi akan memudahkan mereka untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan walau di mana mereka berada pada bila-bila masa.
Hari ini Wasiyyah sudahpun bergerak agresif ke arah usaha pendigitalan keseluruhan perkhidmatan kami untuk muncul sebagai organisasi perancangan harta secara Syariah berasaskan teknologi kewangan (fintech) sepenuhnya yang pertama di dunia.
Bukan sesuatu yang mudah untuk bergerak di dalam eko-sistem digitalisasi terutamanya sebagai ‘innovator’. Banyak cabaran, ujian dan dugaan yang akan menunggu di hadapan kami. Usaha ini memerlukan modal yang sangat besar, SOP terperinci yang terkait dengan, sistem yang mantap, dan pastinya ia akan melibatkan anjakan minda dan disiplin semua pemegang taruh daripada pemegang saham, lembaga pengarah, kakitangan, daie dan juga pelanggan.
Di dalam tempoh 5 tahun yang akan datang, saya percaya usaha ini akan meletakkan Wasiyyah sebagai peneraju bukan sahaja di Malaysia malah di dalam pasaran perancangan harta di peringkat global.
Secara langsung ia juga akan meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai hub kepada industri perancangan harta secara Syariah. Semoga Allah SWT mengurniakan ilham, kekuatan dan kesihatan yang baik kepada saya dan pasukan saya untuk kami terus mengejar matlamat ini.
Yang pastinya apa yang kami lakukan ini bukanlah semata-mata mengejar ‘business plan’ tetapi lebih besar daripada itu ia merupakan satu legasi yang bakal kami tinggalkan untuk kemaslahatan ummah dan berharap ia menjadi pelaburan kami untuk dibawa ke akhirat kelak. - DagangNews.com









