Antara BRICS dan Washington: ASEAN mencipta jalannya sendiri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Antara BRICS dan Washington: ASEAN mencipta jalannya sendiri

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur berlangsung dalam suasana sarat simbolisme. Bagi warga kota, yang paling terasa bukanlah wacana diplomasi tetapi kesesakan luar biasa: jalan ditutup sejak awal pagi, konvoi rasmi bersusun dan jadual harian terganggu.

 

Di media sosial, warga kota bergurau tentang pesawat dan konvoi yang silih berganti, seolah Kuala Lumpur menjadi simpang utama tempat kuasa besar dunia bertembung buat seketika.

 

Protokol yang tersusun dan senyuman para pemimpin hanya menutup hakikat yang lebih besar. Dunia sedang menyusun semula imbangan kuasanya dalam sistem multipolar, sementara ASEAN berdiri di tengah arus perubahan itu, mencari kedudukan yang lebih bermakna dalam landskap global yang baharu.

 

Persoalan utama bukan siapa yang menguasai dunia, tetapi bagaimana Asia Tenggara mahu menentukan haluannya sendiri.

 

Dua Kuasa, Satu Rantau

Dalam setiap sidang ASEAN, dua graviti besar sentiasa terasa. Di satu sisi, blok BRICS semakin menarik minat negara membangun yang ingin melepaskan diri daripada struktur kewangan lama. Di sisi lain, Amerika Syarikat mengekalkan pengaruhnya melalui pelaburan, keselamatan dan teknologi.

 

BRICS kini melangkaui sekadar akronim ekonomi. Ia mencerminkan kebangkitan Global South yang menuntut struktur baharu lebih adil dan setara. Melalui New Development Bank (NDB), BRICS menawarkan pembiayaan alternatif dengan syarat yang lebih fleksibel.

 

Di Kuala Lumpur, beberapa pegawai ASEAN dilapor mengadakan perbincangan dengan wakil NDB berhubung pembiayaan projek tenaga hijau dan infrastruktur digital.

 

Pendekatan BRICS membuka ruang kepada ASEAN untuk mempelbagaikan sumber modal tanpa terlalu bergantung kepada institusi tradisional. Ia bukan soal menolak Barat, tetapi memperluas pilihan dan membina keupayaan berdikari.

 

Amerika Syarikat pula kekal sebagai pelabur terbesar ASEAN. Delegasi Washington menumpukan tiga keutamaan utama iaitu keselamatan maritim, tenaga bersih dan rantaian bekalan semikonduktor.

 

Melalui US–ASEAN Digital Partnership, kerjasama teknologi diperluas kepada bidang data governance, ethical AI dan cybersecurity. ASEAN kini perlu bijak menyeimbangkan akses teknologi dengan kedaulatan dasar agar tidak menjadi pengguna dalam sistem yang dicipta orang lain.

 

Kuala Lumpur Sebagai Titik Peralihan

Tema rasmi Malaysia sebagai pengerusi, Inclusivity and Sustainability, bukan sekadar retorik diplomatik. Ia diterjemahkan dalam hasil konkrit apabila Timor-Leste disahkan sebagai anggota ke-11 ASEAN, menandakan bab baharu dalam sejarah integrasi serantau. Langkah ini memperkukuh ekonomi Asia Tenggara dan menguji keupayaan blok memimpin pembangunan anggota baharu.

 

Sidang kali ini turut mencatat kemajuan besar dalam rundingan Digital Economy Framework Agreement (DEFA) – kerangka ekonomi digital pertama seumpamanya di dunia yang kini mencapai tahap “substantial conclusion”.

 

Perjanjian ini bakal menjadi tulang belakang pasaran digital ASEAN yang diunjur bernilai lebih AS$2 trilion menjelang 2030, melibatkan perdagangan data, pembayaran digital dan keselamatan siber.

 

Bagi pelabur, Kuala Lumpur menjadi lambang kestabilan dasar dan kematangan institusi ASEAN. Penandatanganan 80 dokumen hasil menunjukkan komitmen baharu ke arah pelaksanaan dan bukannya sekadar kenyataan bersama.

 

Sisi Ketiga: Strategi Baharu ASEAN

Daripada berpihak kepada BRICS atau Amerika, ASEAN perlu membina sisi ketiga – satu strategi berdikari yang membolehkan rantau ini menetapkan rentaknya sendiri dalam ekonomi, diplomasi dan teknologi.

 

Sidang Kuala Lumpur menegaskan tiga asas utama bagi visi tersebut.

1. Kedaulatan Digital
DEFA bukan hanya perjanjian ekonomi, tetapi simbol kedaulatan digital ASEAN. Melalui aliran data rentas sempadan dan penyelarasan piawaian keselamatan siber, rantau ini sedang membina pasaran digital tunggal yang berdaya saing setara dengan Eropah dan Amerika.

 

2. Kepelbagaian Pembiayaan
Negara anggota bersetuju memperkukuh ASEAN Infrastructure Fund serta membangunkan inisiatif blended finance untuk projek hijau dan infrastruktur digital. Matlamatnya jelas: mengurangkan pergantungan kepada satu sumber modal dan memperkukuh autonomi kewangan jangka panjang.

 

3. Diplomasi Inklusif
Sidang ini turut membuka ruang dialog dengan rakan luar rantau termasuk Timur Tengah dan Afrika. Prinsip open regionalism menegaskan bahawa kekuatan ASEAN bukan pada tertutupnya sempadan, tetapi pada keupayaan mengatur pelbagai hubungan ekonomi secara tersusun.

 

Strategi ini menuntut keberanian politik dan ketangkasan institusi. Sekretariat ASEAN perlu lebih responsif, manakala mekanisme konsensus perlu disesuaikan agar keputusan serantau dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

 

Dinamik Ekonomi Pasca-Sidang

Dari sudut pasaran, keputusan di Kuala Lumpur memberi isyarat positif kepada pelabur antarabangsa. DEFA menjanjikan rangka peraturan digital yang jelas, manakala penyertaan Timor-Leste membuka pasaran tenaga kerja baharu. Kedua-duanya mengukuhkan keyakinan bahawa ASEAN sedang bergerak daripada retorik kepada pelaksanaan sebenar.

 

Dengan ekonomi berjumlah lebih AS$3.9 trilion, ASEAN kini merupakan blok kelima terbesar dunia. Unjuran IMF menunjukkan pertumbuhan gabungan sekitar 4.6% pada 2025.

 

Walaupun jurang digital dan birokrasi dalaman kekal mencabar, Kuala Lumpur membuktikan bahawa masa depan rantau ini bergantung pada keupayaan bertindak, bukan pada kebiasaan menunggu.

 

Kebebasan yang Dicipta Sendiri

Apabila konvoi diplomatik meninggalkan Kuala Lumpur dan jalan kembali dibuka, kota ini pulih daripada protokolnya. Tetapi selepas tiga hari sidang, satu hakikat kekal: dunia tidak menunggu sesiapa.

 

Asia Tenggara ingin bebas memilih tetapi ruang untuk berkecuali semakin kecil. Menolak Barat bukan pembebasan sebenar dan memeluk Selatan bukan jaminan keamanan.

 

Kebebasan sejati muncul apabila ASEAN berani mencipta sistemnya sendiri, bukan sebagai pelengkap kepada kuasa besar tetapi sebagai arkitek kepada kerangka global yang sedang berubah.

 

Sisi ketiga bukan jalan selesa, tetapi medan keberanian untuk mentakrif makna arah sendiri.

 

Ketika sejarah sedang ditulis semula, masa depan bukan lagi milik mereka yang kuat, tetapi milik mereka yang berani menulisnya dengan pena sendiri. - DagangNews.com