Kesan konflik Hamas-Israel terhadap pasaran minyak masih minimum, CGS-CIMB jangka harga tidak melonjak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kesan konflik Hamas-Israel terhadap pasaran minyak masih minimum, CGS-CIMB jangka harga tidak melonjak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - CGS-CIMB Securities tidak menjangkakan lonjakan harga minyak akan terjadi memandangkan kesan fizikal daripada konflik Hamas-Israel terhadap pasaran minyak adalah minimum buat masa ini.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa konflik Hamas-Israel yang tercetus pada 7 Oktober tidak mencukupi untuk menyokong lonjakan harga minyak.

 

“Pasaran minyak belum lagi bimbang terhadap gangguan fizikal dalam bekalan; ini menjelaskan mengapa niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat pada hanya AS$88 setiap tong minyak mentah (bbl) pada 9 Oktober.

 

“Ini lebih rendah daripada harga purata AS$92/bbl pada bulan September 2023 selepas Arab Saudi mengumumkan bahawa ia akan melanjutkan pengurangan 1 juta tong sehari (mbpd) pengeluaran minyak secara sukarela sehingga Disember 2023 dan Rusia turut mengekalkan pemotongan eksport minyak mentah sebanyak 0.3 mbpd sehingga Disember,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pada pandangan firma itu, harga minyak kelihatan dihadkan oleh kadar faedah AS yang 'lebih tinggi untuk lebih lama'.

 

CGS-CIMB menambah bahawa kumpulan pengeluar minyak OPEC+ berkata bahawa ia bersedia untuk "mengambil langkah tambahan" untuk "menyokong kestabilan pasaran" jika diperlukan selepas serangan Hamas ke atas Israel.

 

“Ini menunjukkan bahawa pemotongan pengeluaran yang berterusan oleh pengeluar utama seperti Arab Saudi mungkin dikurangkan lebih awal daripada jadual, sekiranya konflik semakin meluas hingga melibatkan Iran,” katanya.

 

Memandangkan konflik Hamas-Irael masih tidak mencukupi untuk menyebabkan kenaikan harga minyak, firma itu kekal ‘neutral’ terhadap sektor minyak dan gas (O&G) dengan Yinson Holdings Berhad (harga sasaran [TP]: RM3.27), Bumi Armada Berhad (TP: 75 sen)  dan Dayang Enterprise Holdings Berhad (RM2.50) sebagai pilihan utama sektor.

 

Menurut CGS-CIMB, syarikat yang memperoleh manfaat secara langsung daripada kenaikan harga minyak adalah Hibiscus dan Dialog Group Berhad yang mengendalikan medan O&G

 

Firma itu menganggarkan bahawa setiap kenaikan AS$1/bbl dalam harga jualan minyak mentah boleh meningkatkan unjurannya terhadap keuntungan bersih teras Dialog bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24)  sebanyak 1%.

 

Sementara itu, bagi penerima manfaat tidak langsung adalah termasuk syarikat perkhidmatan seperti Velesto Energy Berhad (pegang, TP: 26 sen), pengendali pelantar penggerudian jack-up dan Dayang yang mempunyai pendedahan kepada penyelenggaraan luar pesisir dan kapal sokongan luar pesisir; memandangkan kadar sewa harian bagi aset ini semakin meningkat disebabkan oleh perbelanjaan modal yang kukuh oleh syarikat huluan.

 

Bagaimanapun, syarikat terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) seperti Yinson dan Bumi Armada tidak mungkin menyaksikan peningkat pendapatan mereka dalam jangka masa terdekat memandangkan sifat kadar tetap piagam FPSO, tetapi boleh mendapat manfaat dalam jangka panjang daripada peningkatan perbelanjaan modal oleh syarikat huluan. - DagangNews.com