Kerjaya Prospek raih kontrak pembangunan kediaman bernilai RM154.68 juta | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak pembangunan kediaman bernilai RM154.68 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jun - Kerjaya Prospek Group Berhad berjaya melepasi sasaran kontrak tahunan mereka selepas anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. meraih projek bernilai RM154.68 juta daripada Bangsar Hill Park Development Sdn. Bhd. bagi cadangan projek kediaman.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, kontrak yang berjaya diraihnya sehingga kini mencecah RM1.3 bilion melepasi sasaran RM1.2 bilion.

 

"Kontrak itu juga mengukuhkan tempahan kumpulan itu sebanyak RM4.3 bilion, sekali gus mencerahkan pendapatan untuk tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutig dan Pengarah Eksekutif kumpulan, Tee Eng Tiong berkata, kontrak itu melibatkan kerja-kerja melibatkan bangunan utama projek pembangunan kediaman yang dicadangkan untuk satu blok pangsapuri 39 tingkat yang terdiri daripada kawasan umum, unit komersial, tempat letak kereta bawah tanah dan tempat letak kereta lapan tingkat.

 

Projek berkenaan akan bermula pada 15 Julai 2022 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 35 bulan.

 

"Kejayaan melepasi sasaran awal untuk tempahan projek RM1.2 bilion untuk 2022 dalam tempoh enam bulan merupakan bukti kepercayaan pasaran terhadap produk dan perkhidmatan kami selain keupayaan mendapatkan kontrak baharu walaupun sentimen pasaran yang lemah.

 

"Untuk masa hadapan, kami menyemak naik sasaran projek kami kepada RM1.5 bilion dengan kami akan terus memanfaatkan kekuatan kompetitif kami ketika mendapatkan tender projek baharu," katanya. - DagangNews.com